Tag: kata MB

  • Banjir di Johor agak kritikal, kata MB

    Banjir di Johor agak kritikal, kata MB

    MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan banjir yang melanda negeri itu sekarang sebagai agak kritikal dengan lebih 20,000 penduduk terjejas akibat bencana alam berkenaan.

    Katanya semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri berganding bahu bagi memastikan rakyat menerima bantuan secepat mungkin.

    “Saya harap mangsa bersabar dan kita doa banjir kali ini cepat surut dalam masa terdekat, cuaca hari ini bertambah baik di Segamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, di Segamat hari ini.

    Onn Hafiz berkata mangsa banjir yang dilaporkan terperangkap sebelum ini juga berjaya diselamatkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

    Dia menambah dalam keadaan krisis seperti kini komitmen yang diberikan semua pihak adalah baik terutamanya dalam menyediakan makanan, khemah serta keperluan lain.

    Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Makhota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyumbangkan bantuan makanan dan prihatin dengan nasib mangsa banjir.

    Setakat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi ini melibatkan semua 10 daerah.

    Segamat merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 PPS, diikuti Kluang (1,559 keluarga di 39 PPS); Kota Tinggi (769 keluarga di 18 PPS); Johor Bahru (607 keluarga di 12 PPS) dan Pontian (58 keluarga di lima PPS).

    Tinjauan Bernama di Segamat mendapati paras air turun tetapi beberapa laluan masih tidak dapat dilalui untuk kenderaan ringan.

    Keadaan air Sungai Segamat yang tinggi dan deras turut menjadi perhatian orang ramai dengan beberapa kenderaan dilihat diletakkan di tepi jalan sepanjang laluan masuk ke bandar Segamat selepas rumah dinaiki air.

  • DUN Negeri Sembilan dibubar Mei atau Jun, kata MB

    DUN Negeri Sembilan dibubar Mei atau Jun, kata MB

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Mei dan Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun.

    “Memasuki tahun baru ini fokus utama kerajaan negeri bagi memberi ruang kepada proses pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

    Jelasnya, keputusan itu juga selari dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang mahu memberikan khidmat genap selama lima tahun.

    “Awal dulu kita dah maklumkan insyaAllah sekitar bulan Mei atau Jun (bubar), bermakna kita sampai ke penghujungnya kerana kita rasa bahawa mandat diberikan sebelum ini adalah (untuk) lima tahun.

    “Kita gunakan tahun ini dengan baik untuk pastikan negeri dapat ditadbir sebaik mungkin kerana dalam keadaan sekarang ini politiknya juga agak dinamik dan tidaklah runsing sangat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di Seremban hari ini.

    Mengulas lanjut ujarnya, meskipun dinamik politik negara dan negeri dilihat stabil ketika ini, namun fokus kepada isu itu tidak perlu diberi keutamaan memandnagkan keharmonian masyarakat lebih utama.

    “Kita tidak mahu lah asyik cerita soal politik, tetapi apa pun saya rasa kita tetap kena hadapi supaya kita boleh dilihat sebagai negara dan negeri yang mempunyai potensi masa depan dalam bidang ekonomi.

    “Kita tidak mahu orang lari kerana (kita) sibuk berpolitik, jadi kita harap dalam tempoh berbaki Januari sehingga Mei ini kita dapat lah lakukan yang terbaik untuk negeri dan juga negara,” katanya.

  • Harap jangan pinggirkan Perlis, kata MB

    Harap jangan pinggirkan Perlis, kata MB

    KERAJAAN Perlis berharap kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri itu terutama dalam soal pembangunan meskipun Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menjadi pembangkang dan tidak menyertai kerajaan perpaduan.

    Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, meskipun kerajaan pusat adalah kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu memberi makna mereka perlu bersama dengan semua negeri termasuk Perlis.

    “Pada pendapat saya, sekiranya di pusat (kerajaan) itu adalah kerajaan perpaduan maknanya ia turut bersama sekalilah dengan kami.

    “Perpaduan ini mestilah membabitkan semua dan tidak hanya di peringkat pusat saja maka di negeri juga perlu juga diberikan perhatian dan untuk hal ini, secara tidak langsungnya, kami turut berasa bahawa kami sebahagian dengan kerajaan pusat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, di Kangar hari ini.

    Ditanya berhubung perjalanan kerajaan negeri Perlis yang baharu selepas PN bertindak untuk menolak bersama kerajaan perpaduan di pusat menjadikan gabungan itu sebagai wakil pembangkang di Parlimen.

    Dalam masa yang sama juga, Mohd. Shukri yang mewakili kerajaan negeri Perlis turut mengucapkan tahniah di atas perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 kelmarin.

    “Kami sudah pun mengirim ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.

    “Diharapkan beliau mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri yang baharu sebaik mungkin dalam membawa amanah rakyat bersama,” katanya lapor Harian Metro.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) minggu lalu, PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN selain ‘menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di Padang Besar, Kangar dan Arau.

    Kejayaan gemilang PN itu juga sekaligus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir kerajaan Perlis selama 65 tahun.