DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Mei dan Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Memasuki tahun baru ini fokus utama kerajaan negeri bagi memberi ruang kepada proses pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

Jelasnya, keputusan itu juga selari dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang mahu memberikan khidmat genap selama lima tahun.

“Awal dulu kita dah maklumkan insyaAllah sekitar bulan Mei atau Jun (bubar), bermakna kita sampai ke penghujungnya kerana kita rasa bahawa mandat diberikan sebelum ini adalah (untuk) lima tahun.

“Kita gunakan tahun ini dengan baik untuk pastikan negeri dapat ditadbir sebaik mungkin kerana dalam keadaan sekarang ini politiknya juga agak dinamik dan tidaklah runsing sangat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di Seremban hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, meskipun dinamik politik negara dan negeri dilihat stabil ketika ini, namun fokus kepada isu itu tidak perlu diberi keutamaan memandnagkan keharmonian masyarakat lebih utama.

“Kita tidak mahu lah asyik cerita soal politik, tetapi apa pun saya rasa kita tetap kena hadapi supaya kita boleh dilihat sebagai negara dan negeri yang mempunyai potensi masa depan dalam bidang ekonomi.

“Kita tidak mahu orang lari kerana (kita) sibuk berpolitik, jadi kita harap dalam tempoh berbaki Januari sehingga Mei ini kita dapat lah lakukan yang terbaik untuk negeri dan juga negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here