Tag: kata Loke

  • Penerbangan khas bawa jenazah Salahuddin ke JB, kata Loke

    Penerbangan khas bawa jenazah Salahuddin ke JB, kata Loke

    KEMENTERIAN Pengangkutan telah mengatur penerbangan khas bagi membawa pulang jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub dari Alor Setar ke Johor Bahru untuk dikebumikan di kampung halamannya.

    Menterinya, Loke Siew Fook berkata, penerbangan khas itu menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS), malam ini.

    “Saya telah menerima khabar duka ini kira-kira satu jam lalu daripada pegawainya dan saya telah aturkan untuk penerbangan khas membawa jenazah dari Alor Setar ke Johor Bahru.

    “Pesawat MAS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam ini dan dijangka tiba di Alor Setar, pukul 1 pagi sebelum pesawat akan terus bergerak ke Johor Bahru,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, di Seremban.

    Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.

    Sementara itu, Loke yang juga setiausaha Agung DAP berkata, kehilangan Salahuddin memberi kesan kepada kepada kepimpinan PH kerana disifatkan sebagai seorang pemimpin amat disayangi dan mempunyai prinsip perjuangan disegani.

    “Beliau seorang pejuang dan pemimpin PH yang sangat disanjungi dan disayangi atas prinsip perjuangan yang tak pernah tinggalkan rakan dalam parti.

    “Beliau juga telah melaksanakan tugas dengan cukup baik selain banyak inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat seperti Menu Rahmah,” katanya, lapor FMT.

  • DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP menafikan dakwaan kononnya bakal mendominasi pemerintahan Kerajaan Perpaduan menerusi jalinan kerjasama yang telah dibentuk.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bukti itu boleh dilihat berdasarkan kedudukan dan angka yang jelas melibatkan Ahli Parlimen di dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Biar fakta berbicara kerana kerajaan hari ini didokong oleh 148 Ahli Parlimen yang terdiri daripada 77 bumiputera beragama Islam, (16) bumiputera bukan Islam, Cina (43), India (12) dan lain-lain.

    “Maksudnya di sini majoriti dalam Kerajaan Perpaduan masih didokong oleh Melayu beragama Islam dan bumiputera,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ucapan pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Mengulas lanjut, Loke menyatakan, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur negatif malah DAP juga tidak meletakkan syarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk gabungan politik.

    Katanya, kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini juga menjadi bukti setiap parti politik mendokong penuh prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara.

    “Perkara ini adalah selepas titah Yang di-Pertuan Agong yang mencadangkan kesemua parti politik agar bekerjasama untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan kedudukan Parlimen yang tergantung.

    “Matlamat utama ketika ini adalah memastikan jalinan kerjasama yang jitu melibatkan pelbagai kaum kerana persaingan bukanlah tertumpu di dalam negara namun melibatkan dunia luar,” katanya lapor Astro Awani.

  • Ismail Sabri macam nak lihat perpecahan kerajaan perpaduan, kata Loke

    Ismail Sabri macam nak lihat perpecahan kerajaan perpaduan, kata Loke

    DAP tidak dapat ‘membaca’ apa yang terkandung dalam pandangan diutarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kedudukan kerajaan perpaduan sekarang.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebaliknya menasihatkan Ahli Parlimen Bera itu agar memahami pembentukan kerajaan selepas PRU pada tahun lalu adalah dengan mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong.

    Sebagai parti yang menjunjung Rukun Negara, katanya, DAP setia dan patuh kepada pandangan yang diberikan Agong agar kerjasama dalam kerajaan peraduan diperkukuhkan.

    “Janganlah sebagai bekas Perdana Menteri dia tiap-tiap hari ingin melihat perpecahan dalam kerajaan ini.

    “Saya tak tahulah apa apa hasrat beliau (sebab) seolah-olah nak lihat perpecahan dalam kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini,” katanya juga Menteri Pengangkutan ketika ditemui pada sidang media di Putrajaya hari ini.

    Terdahulu media melaporkan Ismail Sabri sebagai menyandarkan perselisihan faham di antara pemimpin UMNO dan DAP ketika ini seperti sebuah perkahwinan paksa.

    Kata Ismail Sabri, dalam sesebuah perkahwinan ia mestilah dibina atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

    “Apa pun yang kita buat mesti suka sama suka, kahwin paksa memang tak akan jadi. Jadi kalau kawin paksa macam ini, tidak ada perasaan antara satu sama lain, akan berlakulah keretakan.

    “Setakat ini baru permulaan tetapi dah ada DAP komen tentang UMNO. UMNO komen tentang DAP. Kahwin paksa tidak boleh, dia mesti suka sama suka,” katanya dipetik Utusan Online di Kuala Lumpur.

    Pergeseran di antara kedua-dua parti berlaku semakin ketara sejak akhir-akhir ini termasuk membabitkan isu mendapatkan pengampunan buat seorang lagi bekas perdana menteri dari UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

    Suasana tidak harmoni itu berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba bekerjasama menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    Loke berkata, pada asasnya sesebuah perkahwinan merupakan suatu institusi yang mesti dilindungi dan dalam konteks kerjasama politik, tidak wajar ia disamakan begitu.

    “Ia (perkahwinan) tidak terpakai dalam konteks kerjasama politik. Kerjasama politik bukan sebuah perkahwinan, sebab ia melibatkan pembentukan kerajaan yang stabil.

    “Kerjasama itu juga digalakkan oleh Agong. Justeru saya suka mengingatkan Ismail Sabri bahawa kerjasama ini di antara PH dan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.