Tag: kata Dr. Radzi

  • Tak kenal, maka tak cinta, kata Dr. Radzi

    Tak kenal, maka tak cinta, kata Dr. Radzi

    TEGAR melaungkan slogan #EraBaharuPutrajaya, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin semakin bersemangat selepas masuk dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Tidak gentar menghadapi pertarungan enam penjuru berdepan dengan lima pencabar lain, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tekad untuk terus fokus dengan kekuatan yang dimiliki jentera PN dalam usaha menawan Putrajaya.

    Beliau semasa berkempen di Presint 11 (Putrajaya) hari ini, gembira sempat bertemu rakan-rakannya.

    “Alhamdulillah, dapat berjemaah bersama-sama sahabat di Presint 11 (Putrajaya) sebentar tadi.

    “Sambil-sambil tu dapat dengar apa penambahbaikan yang amat diperlukan untuk Putrajaya. Insya-Allah, kita akan usahakan yang terbaik demi #EraBaharuPutrajaya,” katanya dalam ciapan terbaharu dalam Twitter miliknya @RadziJidin.

    “Kepada warga Putrajaya yang ingin mengenali saya dengan lebih lanjut, jom sertai saya dalam mana-mana program sepanjang tempoh berkempen ini. Saya juga ada share dalam Facebook story saya. Kita jumpa, kita ‘borak-borak’.

    “Sambil borak-borak, dapat juga saya kenali saudara, rakan-rakan Putrajaya dengan lebih dekat. Kata orang, tak kenal maka tak cinta,” tweet beliau lagi.

    Beliau juga merendah diri untuk memperkenalkan dirinya sekali gus akan keperibadian empunya diri, biarpun satu negara mengetahui beliau merupakan Menteri Pendidikan Kanan Malaysia pada ketika ini.

    Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk Putrajaya khususnya agar melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15.

    “Laksanakanlah tanggungjawab saudara, rakan-rakan sebagai pengundi (pada PRU-15) sebaik-baiknya dan buatlah pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar. Insya-Allah, kita mampu mengubahnya.

    “Undilah Perikatan Nasional! Prihatin, Bersih dan stabil,” kata Radzi, lapor Harakahdaily.

  • KPM terima 19 aduan kes buli, kata Dr. Radzi

    KPM terima 19 aduan kes buli, kata Dr. Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menerima sebanyak 19 aduan berkaitan kes buli melalui portal aduan yang dilancarkan baru-baru ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, jumlah itu melibatkan 16 aduan diterima daripada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM dan tiga lagi daripada aplikasi WhatsApp.

    “Kementerian sedang membuat penelitian sebelum mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan yang diterima.

    “Setiap aduan kita teliti terlebih dahulu dan dapatkan maklumat lanjut untuk pastikan apa sebenarnya yang berlaku.

    “Melalui e-mel setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan atau maklum balas, manakala menerusi talian khas aduan buli kita terima sebanyak lima panggilan yang berkaitan dengan pertanyaan, bukan aduan.

    “Melalui telefon bimbit pula, terdapat dua panggilan pertanyaan dan WhatsApp ada 10 pertanyaan dan tiga aduan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di Putrajaya, hari ini.

    Mohd. Radzi menjelaskan, jumlah tersebut merupakan data terkini yang diterima KPM selepas pelancaran portal aduan buli pada 18 Ogos lalu.

    Ujarnya, ibu bapa khususnya dan pemegang taruh dalam sektor pendidikan melihat portal berkenaan sebagai satu platform yang boleh digunakan bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi juga pertanyaan dan menyalurkan maklumat.

    “Yang paling penting, kita mahu setiap aduan tersebut dibuat dengan maklumat lengkap yang membolehkan kita membuat siasatan lanjut supaya proses ini menjadi lebih cekap dan berkesan,” katanya.

    Ditanya mengenai statistik aduan yang diterima, beliau memaklumkan tidak mempunyai data terperinci mengenai lokasi sekolah yang terlibat dengan kes buli yang dilaporkan dalam portal.

    “Kita tidak menganaktirikan sama ada sekolah bandar atau luar bandar,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Apa yang penting katanya, satu sistem diwujudkan dan sekiranya terdapat kes-kes berlaku yang perlu dilaporkan secara terus, maka KPM akan mempunyai laporan tersebut.

    “Isu buli tidak kenal bandar, luar bandar atau negeri mana. Yang penting, sistem ini memberi impak yang optimum dan maklumat akan sampai kepada kementerian secepat mungkin dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.