Tag: karam

  • 11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    SEBUAH bot laju penumpang yang terlebih muatan karam di perairan wilayah barat Riau, Indonesia pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan lebih sembilan lagi hilang, lapor Xinhua memetik seorang penyelamat.

    Bot laju SB Evelyn Calisca 01 karam di perairan Pulau Burung daerah Indragiri Hilir, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari sebuah pelabuhan di daerah itu.

    Bot itu sedang menuju ke sebuah pelabuhan di Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau, kata I Nyoman Sidakarya, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah.

    “Kini, jumlah korban mencecah 11 orang, dan lebih 9 lagi disahkan hilang,” katanya dalam kenyataan yang diterima Xinhua.

    Sidakarya berkata jumlah korban dan orang hilang mungkin meningkat kerana ramai penumpang tidak disenaraikan dalam senarai penumpang.

    Beliau berkata 58 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat bersama terdiri daripada pejabat mencari dan menyelamat, tentera, polis dan sukarelawan.

    Pejabat mencari dan menyelamat akan menunggu laporan daripada saudara atau keluarga mengenai kehilangan anggota mereka dalam beberapa hari akan datang, menurut Kukuh Widodo, pegawai akhbar di pejabat mencari dan menyelamat di wilayah Riau kepada Xinhua melalui telefon.

    “Bot laju ini terlalu kecil untuk membawa lebih 80 orang. Ia membawa terlalu ramai penumpang,” katanya. – BERNAMA

  • Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA nelayan tempatan hilang manakala dua lagi terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik sebelum karam dipukul ombak besar pada kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam di Batu Pahat, pukul 5 petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada orang awam sebelum Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mereka.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dikendalikan empat kru yang merupakan rakyat tempatan berbangsa Cina yang keluar ke laut untuk memukat ikan.

    “Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya karam. Tekong bersama seorang nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot.

    “Mangsa yang terselamat ialah Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33. Mereka telah diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, dua lagi nelayan, Te Chia Rong, 38, yang merupakan adik kepada Chia Haur, dan Chia Hock Neng, 60, tidak sempat menyelamatkan diri dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat.

    Jelasnya, Chia Rong yang beralamat di Kampung Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat semasa hilang memakai baju warna kuning dan berseluar pendek hitam.

    Sementara Hick Neng pula yang beralamat di Taman Impian, Rengit di Batu Pahat memakai baju hitam toada lengan dan seluar panjang warna biru, katanya.

    “Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi pada pukul 8 malam tadi dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

    “Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut tidak kelihatan kerana telah tenggelam sepenuhnya. Mangsa yang selamat telah dipindahkan ke Bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat,” katanya.

    Beliau menambah, pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan sebelum kedua-dua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing.

    Katanya, operasi mencari dua mangsa yang masih belum ditemui itu diteruskan pada pagi tadi dengan tambahan aset dan anggota Maritim Malaysia dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.

  • [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    RESTORAN Terapung Jumbo, destinasi menjamu selera terbesar di dunia, karam di Laut China Selatan beberapa hari selepas ia ditunda dari pelabuhan Hong Kong setelah hampir setengah abad berlabuh di situ.

    Restoran terapung tiga tingkat setinggi 260 kaki itu mempunyai rekaan unik seperti sebuah istana empayar China, berlabuh di pelabuhan Aberdeen Hong Kong selama 46 tahun sebelum ditunda minggu lalu, menurut United Press International (UPI).

    Pemiliknya, yang menutup restoran itu semasa pandemik COVID-19 pada 2020 selepas menanggung kerugian terkumpul lebih AS$13 juta, berkata mereka sangat sedih dengan insiden itu.

    Menurut syarikat induk Jumbo King bot itu terbalik pada Sabtu selepas berdepan keadaan buruk berhampiran Kepulauan Parcel dan tenggelam lebih 3,000 kaki.

    Kedalaman air di tempat kejadian melebihi 1,000 meter, menyukarkan kerja-kerja menyelamat, lapor UPI memetik kenyataan Aberdeen Restaurant Enterprises. Tiada anak kapal yang cedera.

    Restoran Terapung Jumbo dibuka pada 1976 dan terkenal dengan hiasan tradisional Cina serta hidangan makanan laut istimewa yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

    Malah restoran itu turut dipaparkan dalam beberapa filem termasuk filem Jackie Chan 1985, The Protector, dan James Bond: The Man with the Golden Gun.

    Restoran itu, yang hanya boleh diakses dengan feri kecil, juga pernah dikunjungi Ratu Elizabeth II, Jimmy Carter dan Tom Cruise.

    Selepas ditutup pada 2020, beberapa pelabur menarik diri daripada usaha menyelamatkan struktur ikonik restoran itu kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi. – BERNAMA

  • Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    SEBUAH bot membawa 60 pendatang asing, karam di luar pantai bandar Tripoli, Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut Palang Merah Lubnan pada Sabtu.

    “Bot yang membawa 60 penumpang itu karam. Pasukan Palang Merah Lubnan menghantar tujuh ambulans ke pelabuhan Tripoli untuk bantuan,” ciapnya di Twitter.

    Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan seorang remaja terbunuh dan 27 lagi mangsa hilang manakala yang lain diselamatkan tentera laut.

    Sementara itu di Jepun, empat penumpang bot pelancong KAZU 1 yang dilaporkan hilang di pantai Hokkaido Jepun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Sputnik memetik penyiar NHK.

    Dalam kemas kini pada Ahad, NHK melaporkan penyelamat menjumpai tiga lagi penumpang namun keadaan mereka masih tidak dapat dipastikan.

    Pada Sabtu, bot persiaran KAZU 1 menghantar isyarat kecemasan selepas belayar meninggalkan pelabuhan Utoro di Hokkaido.

    Bot itu membawa 24 penumpang, termasuk dua kanak-kanak serta dua anak kapal.

    Sebuah helikopter dan kapal peronda telah dihantar ke lokasi bot itu disyaki hilang tetapi penyelamat gagal menemukan kapal berkenaan. – BERNAMA