Tag: Kamarazaman Yaakob

  • Abang PM bukan lagi Presiden sementara parti Mira

    Abang PM bukan lagi Presiden sementara parti Mira

    KAMARAZAMAN Yaakob kini bukan lagi Presiden sementara Parti Tindakan Rakyat Malaysia (Mira) selepas digugurkan daripada jawatan tersebut baru-baru ini.

    Walau bagaimanapun, abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu masih menyandang jawatan Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat (Kuasa).

    Memetik laporan Malaysiakini, Presiden sementara Mira yang baharu, K Palanisamy menjelaskan, tindakan itu diambil ekoran isu teknikal berdasarkan perlembagaan parti.

    “Keputusan itu diambil pada mesyuarat pimpinan tertinggi parti dua hari lalu. Ini kerana permohonannya untuk meluluskan parti Kuasa masih dalam proses di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    “Menurut perlembagaan parti, seorang individu tidak boleh memegang jawatan presiden dalam dua parti politik berbeza pada satu masa.

    “Maka, secara lantikan Kamarazaman sebagai presiden sementara menjadi batal dan tidak sah,” katanya.

    Beliau memberitahu, Mira akan mengadakan mesyuarat agung tergempar dalam masa terdekat untuk memilih pucuk pimpinan baharu.

    Pada 21 Disember lalu, Kamarazaman dilaporkan akan mengambil alih Mira setelah dilantik sebagai presiden sementara.

    Keputusan itu merupakan sebahagian daripada langkah ke arah penggabungan Mira dan Kuasa..

    Mira merupakan rakan strategik Pakatan Harapan (PH) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meninggalkan gabungan setelah ia ditumbangkan pada Februari 2020.

    Sejak itu, Mira memilih jalan tidak memihak manakala Kuasa yang masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah mengumumkan pendekatan mesra BN.

    Palanisamy yang juga bekas ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC sebelum ini berkata bahawa nama Mira akan dikekalkan sehingga membuat permohonan di RoS untuk menukarkannya kepada Kuasa.

  • Parti Kuasa Rakyat bawa ideologi nasionalisme marhaenisme

    Parti Kuasa Rakyat bawa ideologi nasionalisme marhaenisme

    PARTI Kuasa Rakyat yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini mengetengahkan ideologi nasionalisme marhaenisme sebagai teras dalam perjuangannya membela nasib rakyat khususnya golongan B40, M40 dan anak muda.

    Presiden (Penaja) Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob berkata, antara agenda perjuangan partinya adalah menuntut hak-hak dan keperluan rakyat terutamanya mereka yang dalam tiga kategori terbabit.

    Antaranya adalah pelajaran percuma, kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan dan penumpuan terhadap para petani.

    “Turut membaris perjuangan parti adalah kelestarian dan keadilan alam sekitar dan membebaskan rakyat dari cengkaman orang tengah serta kaum modal,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran parti tersebut.

    Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaacob berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Parti Kuasa Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kamarazaman yang juga abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Parti Kuasa Rakyat bukan hanya sebuah parti yang benar-benar demokratik, malah merupakan parti yang pertama di negara ini yang memberi kuasa autonomi sebenarnya kepada para ahli di Sabah dan Sarawak.

    Menurut beliau, mereka bukan hanya diberi kebebasan memilih kepimpinan di peringkat negeri, juga memilih wakil dalam Jawatankuasa Pusat bagi memenuhi kuota, yang bermula dari jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota JKP.

    Kamarazaman juga menjelaskan, hasrat ingin menubuhkan sebuah parti berbilang bangsa dan kaum itu mula bercambah sejak beliau menunut di Universiti Malaya.

    “Ia berbunga selepas saya meninggalkan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) pada 1984. Tetapi tiada kemampuan dan kesempatan. Bagaimanapun,ianya terus segar merimbun di dalam fikiran.

    “Sehinggalah saya menemui rakan-rakan progresif sejak lebih dua tahun lepas. Kami serius dalam penubuhannya, sehingga ingin meluncurkannya pada 10 Oktober 2020.

    “Namun usaha itu tidak tercapai. Alhamdulillah pada hari ini 10 Oktober 2021, muncul ke gelanggang politik tanah air,” ujarnya.

    Ahli-ahli Jawatankuasa (Penaja) Parti Kuasa Rakyat adalah seperti berikut:

    Presiden: Kamarazaman Yaakob (aktivis politik)

    AJK:

    1. Nik Abdul Aziz Nik Hassan (bekas pensyarah)
    2. Dr Gabriel Walter (jurutera)
    3. N Gobalakrishnan (bekas Ahli Parlimen Padang Serai)
    4. Prof Datuk Dr Mohamad Nasir Saludin (ahli akademik)
    5. Dr Hamzah Jaaffar (bekas Pengerusi PAN Pahang)
    6. Datuk Anas Yusof Sulaiman (usahawan)
    7. Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah (penyelidik)
    8. Helmi Ibrahim (bekas pengamal media)
    9. Razali Abd Razak (aktivis belia)
    10. Suharmili Rosle (bekas pengarah sebuah kolej universiti)
    11. Datuk Ching Eu Boon (Presiden Gabungan Persatuan Perkembangan Budaya dan Ekonomi Malaysia – GABEM)