Tag: kajang

  • Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    RAKAMAN video menunjukkan sekumpulan murid sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam keadaan banjir sehingga tular berlaku di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak di Kajang petang semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, hasil pemantauan dijalankan mendapati banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat yg berterusan melebihi sejam di kawasan Kajang.

    Beliau berkata, banjir kilat tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan mencapai ketinggian 0.6 meter.

    “Ketika kejadian seramai 64 murid berumur 11 tahun sedang menduduki peperiksaan UPKK yang dipantau penjaga peperiksaan melibatkan lapan orang guru.

    “Keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, air kemudian surut sepenuhnya kira-kira jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Norazam memberitahu, kawasan sekolah yang terlibat dalam banjir kilat itu merupakan kawasan rendah.

    “Siasatan mendapati kawasan tersebut sering berlaku banjir kilat.

    “Selain itu, kejadian banjir kilat berkenaan hanya melibatkan kawasan sekolah” katanya.

    Hari ini tular video di media sosial merakamkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semasa banjir.

  • Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    PARAS air Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country, Hulu Langat kini berada pada paras bahaya dan semakin menaik.

    Peringatan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) petang tadi.

    “Dinasihatkan agar penduduk sentiasa waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata JPS.

    Rakaman video dan gambar situasi banjir kilat di sekitar Pekan Kajang juga tular dalam media sosial.

  • Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    WARGA emas yang meninggal dunia di kerusi ruang kaunter menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam, telah diberikan layanan khas tanpa perlu beratur untuk berurusan.

    Kenyataan JPJ hari ini memaklumkan suhu badan lelaki berusia 76 tahun itu semasa memasuki premis adalah normal dan status MySejahtera juga menunjukkan vaksinasi mangsa telah lengkap.

    “Lelaki itu dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ dan semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

    “Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik yang tiba dan memeriksa mangsa mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Mayat beliau kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter JPJ cawangan Bangi dan kejadian tersebut tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 10.21 pagi semalam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA