Tag: kailan ikan masin

  • ‘Mungkin juruwang silap key-in harga’ jelas pemilik restoran kailan ikan masin RM18

    ‘Mungkin juruwang silap key-in harga’ jelas pemilik restoran kailan ikan masin RM18

    PENGUSAHA restoran yang tular dalam media sosial selepas menjual masakan kailan ikan masin berharga RM18 di Kepala Batas, Pulau Pinang akhirnya tampil memberi penjelasan.

    Menerusi catatan yang dimuat naik di laman Facebook Anjung Ikan Bakar Nory, pengusaha berkenaan berkata, insiden itu mungkin berlaku akibat salah faham pekerjanya ketika menyediakan tempahan pelanggan.

    “Kesilapan kami mungkin juruwang tersilap ‘key in’ harga hidangan saiz L (besar) atau mungkin pelanggan memesan saiz L, tetapi kru bahagian dapur sediakan kailan ikan masin itu dalam saiz S (kecil) berdasarkan gambar (yang tular).

    “Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukan ditularkan,” katanya menerusi laman Facebook Anjung Ikar Bakar Nory hari ini.

    Papan tanda harga yang memaparkan harga makanan dan minuman di restoran Anjung Ikan Bakar Nory.

    Turut dipaparkan menerusi catatan Facebook itu adalah penjelasan mengenai harga masakan kailan ikan masin mengikut saiz iaitu S berharga RM6; M (RM12) dan L (RM18) dengan memaparkan gambar menu restoran.

    Dalam catatan sama pemilik restoran itu menambah, dengan penjelasan tersebut pihaknya berharap dapat menyelesaikan isu berkenaan dan memohon kerjasama pengadu terlibat menghubungi mereka.

    Sebelum ini, seorang individu yang juga pelanggan di restoran berkenaan bertindak memuat naik menu kailan ikan masin yang dibelinya berharga RM18 untuk seorang makan

    Perkara itu menjadi tular di dalam media sosial selepas ramai yang beranggapan harganya terlalu mahal dan tidak masuk akal.

    Ekoran itu juga, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang bertindak mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pemilik restoran berkenaan semalam yang perlu dijawab dalam tempoh dua hari bekerja.

  • Restoran jual kailan ikan masin RM18 diberi notis

    Restoran jual kailan ikan masin RM18 diberi notis

    PENGUSAHA sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang diberi tempoh dua hari oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang untuk menjelaskan mengenai harga sebungkus kailan ikan masin yang dijual berharga RM18.

    Notis itu dikeluarkan selepas pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di restoran tersebut semalam selepas mendapat maklumat awam sebaik sahaja isu harga masakan tersebut tular di dalam media sosial.

    PPDNHEP Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pengusaha restoran terbabit yang perlu diberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja.

    “Pegawai Penguat Kuasa telah hadir ke lapangan untuk menyiasat aduan yang telah diterima berkenaan perkara ini pada hari yang sama melalui aduan pengguna.

    “Satu NPMB bagi kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga dan peniaga perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.

    kailan
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa harga makanan yang dijual di restoran tersebut.

    Semalam, pengguna di Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan dengan harga masakan kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 untuk seorang makan yang disifatkan luar biasa mahal.

    Harga makanan itu tular di dalam media sosial selepas seorang individu dipercayai pelanggan memuat naik resit makanan yang dibelinya yang didakwa di sebuah restoran di Kepala Batas.

    “Kita sedia maklum barang mentah naik harga la (sekarang) ni. Harga (ikan) jenahak, sayur campur, ulam dan sambal, takpalah kita terima dengan reda.

    “Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” demikian seperti dimuat naik pelanggan itu seperti dipetik menerusi laman Facebook.

    kailan ikan masin
    Harga makanan dan minuman yang dijual di restoran terbabit.

    Berdasarkan bil yang turut dimuat naik, pelanggan berkenaan turut membeli lauk ikan jenahak berharga RM90; sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan jumlah bil keseluruhan RM122.

    Bagaimanapun, pelanggan berkenaan tidak mendedahkan nama restoran berkenaan namun catatan di Facebook hanya menyebut restoran terbabit terletak di Kepala Batas.

    Sebelum ini, harga makanan di Pulau Pinang turut menjadi perdebatan di dalam media sosial selepas sebuah restoran terkemuka di negeri itu, Hameediyah menjual dua sotong goreng pada RM100.