Tag: KAFA

  • Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    TARIKH pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) (Bertulis) yang dijadualkan pada 14 hingga 17 Nov depan dipinda kepada 28 Nov hingga 1 Dis berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata ujian Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) pada 14 Nov dipinda ke 28 Nov serta Sirah Jawi dan Khat pada 15 Nov kepada 29 Nov.

    Selain itu, Adab pada 16 Nov kepada 30 Nov dan Lughah Al-Quran pada 17 Nov kepada 1 Dis.

    “Pindaan ini dibuat bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan PRU15 yang berlangsung pada 19 Nov,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Jakim hari ini.

    Menurutnya Jakim amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan UPKK kali ini. – BERNAMA

  • Guru KAFA disyaki hempas murid hingga patah kaki direman

    Guru KAFA disyaki hempas murid hingga patah kaki direman

    SEORANG guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Marang, direman tiga hari selepas disyaki menghempas seorang anak murid lelakinya sehingga patah kaki.

    Perintah reman terhadap lelaki itu yang bermula hari ini hingga Ahad itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.

    guru KAFA terengganu pukul murid
    Tangkap layar video TV9.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata, perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilapor patah kaki kanannya selepas didakwa dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru KAFA sewaktu sesi pengajaran pada 6 Julai lepas.

    Kejadian itu dikatakan dilakukan kerana guru KAFA tersebut berang dengan perlakuan murid Tahun Tiga berkenaan di dalam kelas. – BERNAMA

  • Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    GURU Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang bersalin bakal menikmati elaun cuti bersalin bermula tahun ini.

    Berita baik itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mengatakan kumpulan tersebut sebelum ini diberikan cuti bersalin, tetapi tidak layak dibayar elaun RM1,000 setiap bulan.

    Memetik laporan Berita Harian Idris berkata, pembayaran elaun itu adalah usaha kerajaan menjaga kebajikan guru KAFA wanita sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan agensi pelaksana KAFA negeri.

    “Elaun yang diterima mereka RM1,000 sebulan sebelum ini berjalan seperti biasa walaupun mereka sedang cuti bersalin,” katanya pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini.

    Sementara itu, Idris memberitahu, khidmat 1,000 guru takmir akan diperluaskan di agensi kerajaan yang lain berbanding hanya di masjid dan surau sebelum ini yang kuotanya berdasarkan nisbah jumlah institusi terbabit.

    Menurut beliau, pihaknya mahu meluaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi lain seperti institusi penjara, institusi kebajikan warga emas Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    “Tahun ini, terdapat 5,000 guru takmir di seluruh negara, termasuk 1,000 yang baru dilantik dan pengagihan akan dibuat berdasarkan permohonan serta kuota yang kita tetapkan.

    Insya-Allah, nama-nama (guru) kita pun sudah minta daripada pihak berkuasa agama negeri dan kita saringkan nanti,” katanya.

    Untuk rekod, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM65 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru KAFA Terengganu pada tahun ini.