Tag: Kabul

  • Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    PENDIRIAN rasmi Malaysia mengenai pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin berkata Malaysia berhubung dengan semua pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kumpulan kemanusiaan di Afghanistan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai isu itu.

    Beliau berkata Malaysia buat masa ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan pendirian rasminya mengenai perkara berkenaan, dan ia akan dibincangkan serta mendapatkan nasihat Kabinet bagi membolehkan keputusan konkrit dibuat.

    “Petang ini, saya akan menghubungi Menteri Luar Qatar (Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani) dan setiausaha agung OIC (Yousef Al-Othaimeen) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai urusan (hal-ehwal) di Afghanistan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini, hari ini.

    Kumpulan Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu. Berikutan itu, presiden Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan negara berkenaan.

    Saifuddin berkata, Malaysia memantau keadaan di Afghanistan menerusi pelbagai saluran termasuk melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India yang ditauliah serentak ke Kabul, selain perwakilan di Pakistan.

    Mengenai status duta Afghanistan di Malaysia Dr Moheb Rahman Spin Ghar, Saifuddin berkata, diplomat itu dilantik oleh kerajaan Afghanistan terdahulu dan beliau tidak dipanggil pulang ke negaranya. 

    Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan dua rakyat Malaysia di Afganistan yang bekerja untuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa di Kabul.- BERNAMA

  • Lebih 20 maut termasuk 13 tentera AS dalam serangan bom di lapangan terbang Kabul

    Lebih 20 maut termasuk 13 tentera AS dalam serangan bom di lapangan terbang Kabul

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AFGHANISTAN digemparkan dengan letupan bom terbaharu yang mengorbankan 20 orang awam dan 13 tentera Amerika Syarikat (AS) yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul semalam.

    Kejadian tersebut belaku ketika mereka yang berada di lapangan terbang itu mahu meninggalkan negara tersebut, menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk AS dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan,

    Setakat ini kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar.

    Menurut Taliban, dua letupan dalam insiden berkenaan telah mengorbankan antara 13 hingga 20 orang, namun seorang pegawai kesihatan daripada kerajaan terdahulu yang enggan dikenali pula memaklumkan angka terbabit berkemungkinan boleh mencecah hingga 60 mangsa.

    Serangan itu juga dilapor mengakibatkan bilangan kematian tertinggi dalam tempoh sehari membabitkan tentera AS di Afghanistan sejak 2011.

    Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.

    Susulan itu, Presiden AS, Joe Biden yang menyifatkan tentera AS terkorban dalam letupan berkenaan sebagai perwira, berikrar untuk memburu pihak bertanggungjawab atas serangan terbabit.

    “Kita tidak akan memaafkan. Kita tidak akan melupakan. Kita akan memburu anda sehingga dapat dan membuat anda menanggung akibatnya,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Taliban bersekongkol dengan IS dalam serangan berkenaan.

    Bagaimanapun, katanya, proses pemindahan keluar dari Afghanistan akan diteruskan dan tamat mengikut jadual pada akhir bulan ini.

    Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memberitahu AFP bahawa antara 13 hingga 20 orang maut dan 52 lagi cedera dalam dua letupan berkenaan, manakala hospital di Kabul pula melaporkan enam mati serta 90 mangsa mengalami kecederaan. – AFP