Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AFGHANISTAN digemparkan dengan letupan bom terbaharu yang mengorbankan 20 orang awam dan 13 tentera Amerika Syarikat (AS) yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul semalam.

Kejadian tersebut belaku ketika mereka yang berada di lapangan terbang itu mahu meninggalkan negara tersebut, menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk AS dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan,

Setakat ini kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar.

Menurut Taliban, dua letupan dalam insiden berkenaan telah mengorbankan antara 13 hingga 20 orang, namun seorang pegawai kesihatan daripada kerajaan terdahulu yang enggan dikenali pula memaklumkan angka terbabit berkemungkinan boleh mencecah hingga 60 mangsa.

Serangan itu juga dilapor mengakibatkan bilangan kematian tertinggi dalam tempoh sehari membabitkan tentera AS di Afghanistan sejak 2011.

Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.

Susulan itu, Presiden AS, Joe Biden yang menyifatkan tentera AS terkorban dalam letupan berkenaan sebagai perwira, berikrar untuk memburu pihak bertanggungjawab atas serangan terbabit.

“Kita tidak akan memaafkan. Kita tidak akan melupakan. Kita akan memburu anda sehingga dapat dan membuat anda menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Taliban bersekongkol dengan IS dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, proses pemindahan keluar dari Afghanistan akan diteruskan dan tamat mengikut jadual pada akhir bulan ini.

Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memberitahu AFP bahawa antara 13 hingga 20 orang maut dan 52 lagi cedera dalam dua letupan berkenaan, manakala hospital di Kabul pula melaporkan enam mati serta 90 mangsa mengalami kecederaan. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here