Tag: Kabinet bayangan

  • KJ cadang PN bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’

    KJ cadang PN bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’

    PERIKATAN Nasional (PN) dicadang membentuk Kabinet bayangan yang dilancarkan sebelum ini secara rasmi bagi membuktikan kelayakan “alternatif” dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

    Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu adalah perkembangan positif dibuat PN yang mewujudkan Kabinet bayangan buat kali pertama.

    “Sebelum ini waktu Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional menjadi pembangkang, kita tiada Kabinet bayangan. Sebaliknya kita ada jawatankuasa dengan hanya beberapa orang dipertanggungjawabkan untuk menjadi jurubahas di Parlimen berkenaan isu tertentu.

    “Tapi kali ini hanya seorang sahaja, maknanya dia telah melantik seorang menteri bayangan. Kalau saya di pihak PN, saya akan menaikkan imej menteri bayangan tersebut supaya rakyat tahu siapa menteri itu,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan” yang dimuat naik hari ini.

    Mengambil contoh di United Kingdom, Khairy berkata, sebahagian besar pemerhati politik akan tahu siapa menteri bayangan portfolio tertentu.

    “…dan merekalah yang akan buat kenyataan dengan segera selepas satu isu ditimbulkan dan media turut akan menantikan komen daripada menteri bayangan tersebut.

    “Tetapi di sini kita tak tahu siapa menteri tersebut sedangkan ia tidak rasmi di sini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Sementara itu, Khairy berkata, parti berkenaan boleh meminta berunding supaya sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) pada masa akan datang lebih bersifat pertembungan dengan membuka satu sesi antara menteri dengan pembangkang sahaja bagi tempoh 10-15 minit tanpa melibatkan Ahli Parlimen lain.

    “Itulah pentas yang dapat menunjukkan bahawa pembangkang pun dapat menjalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan dengan baik, manakala ketua pembangkang pula dilihat sebagai seorang perdana menteri ‘alternatif’ sebagaimana yang berlaku ketika kes Keir Starmer di UK pada waktu ini,” katanya.

    Pada 2 Feb lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Kabinet bayangan gabungan itu. Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan senarai jawatankuasa portfolio PN diumumkan itu bukan Kabinet bayangan gabungan berkenaan.

    Beliau berkata, ketua portfolio yang dilantik itu adalah untuk meneliti, mengkaji dan menjuarai isu membabitkan kementerian berkaitan.

  • Muhyiddin perkenal Kabinet bayangan PN

    Muhyiddin perkenal Kabinet bayangan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan barisan ‘Kabinet bayangan’ Perikatan Nasional (PN) yang akan menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.

    Beliau yang juga Pengerusi PN menyatakannya pada sidang media selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN, di sebuah hotel di ibu negara.

    Kabinet bayangan PN

    Menurut beliau, PN bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.

    “Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing,” katanya.

    Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin diberikan tugas penting iaitu portfolio kewangan dan ekonomi.

    “Kita setuju sekretariat PN akan keluarkan kenyataan polisi, tentang semua perkara, berkaitan ekonomi apa pendirian dasar, alam sekitar, antarabangsa, pertahanan atau keselamatan dalam negara.

    “Kita akan bentang supaya rakyat tahu apa kita bentangkan dan kita bersedia memikul amanah besar kalau rakyat beri mandat tadbir negara,” katanya.

    Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Ahli Parlimen itu diberikan portfolio berdasarkan kepentingan dan kepakaran individu, dan input mereka akan dikeluarkan sebagai kenyataan oleh sekretariat PN.

    Jelasnya, dasar itu akan menjadi kesinambungan Wawasan Kemakmuran Bersama ketika pentadbirannya.

    Antara 26 Ahli Parlimen termasuk bekas menteri dari pentadbiran Muhyiddin sebelum ini, kini ditugaskan membayangi pengganti mereka, termasuk Ahli Parlimen PN penggal pertama.

    Menerusi senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi diberikan portfolio kewangan dan ekonomi, manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, memegang portfolio pendidikan.

    Ahli Parlimen Bersatu penggal pertama yang dinamakan termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, membayangi portfolio komunikasi dan digital, serta Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyelia kementerian luar.

    Daripada Pas, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad memegang portfolio hal ehwal agama, manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyelia portfolio sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim.

    Selain itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah memegang portfolio pembangunan wanita keluarga dan masyarakat.

  • PN susun ‘Kabinet bayangan’, sumbang kepakaran kepada kerajaan – Khairil Nizam

    PN susun ‘Kabinet bayangan’, sumbang kepakaran kepada kerajaan – Khairil Nizam

    PERIKATAN Perikatan Nasional (PN) sedia memainkan peranannya sebagai pembangkang yang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia, untuk kemaslahatan negara.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin memaklumkan, ketika ini PN dalam usaha menyusun ‘kabinet bayangan’ dengan kepakaran yang mereka miliki sebagai semak dan imbang serta sokongan kepada kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

    Beliau optimis kerjasama antara kerajaan dan pembangkang boleh terjalin sepertimana sebelum ini untuk bersama menyelesaikan masalah negara dan mengangkat Malaysia kembali ke persada dunia.

    “Kita dalam usaha menyusun ‘kabinet bayangan’ atau kepakaran melalui kementerian-kementerian. Apatah lagi, kita pernah memimpin sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia.

    “Saya yakin ‘template’ yang sama juga akan dibawakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita mewujudkan satu kekuatan yang ampuh,” katanya dalam program Agenda AWANI kelmarin.

    Menurut Khairil, selain sokongan kepada kabinet, pembangkang juga boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen.

    “Kalau ditakdirkan ada badan-badan atau jawatankuasa-jawatankuasa yang diperlukan untuk pembangkang menjadi ketuanya, mengapa tidak?

    “Sebelum ini pun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kita berikan kepada DAP untuk mengetuainya.

    “Sewajarnya, segala fasiliti dan prasarana untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan kepada setiap jawatankuasa tersebut maka perkara itu akan diperkasakan oleh pihak kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” tambahnya, lapor Astro Awani.