Tag: JPJ

  • 118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    SERAMAI 118 penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) dikenakan kompaun kerana melanggar lampu isyarat merah dalam Ops Merah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sejak 8 Oktober lalu.

    Mereka merupakan sebahagian daripada 236 penunggang motosikal yang dikesan melakukan kesalahan sama sepanjang operasi berkenaan yang akan dijalankan sehingga 7 November ini.

    Jumlah itu juga menunjukkan penunggang p-hailing berkenaan merupakan kumpulan pengguna jalan raya tertinggi yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah seperti mana yang sering menjadi rungutan banyak pihak sebelum ini.

    Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, antara alasan popular penunggang p-hailing berkenaan melanggar lampu isyarat merah meskipun menyedari risiko berlaku kemalangan kerana mahu mengejar trip melakukan khidmat menghantar makanan.

    Bagaimanapun jelas beliau, tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut merisikokan pengguna jalan raya yang lain lebih-lebih lagi sekiranya berlaku nahas atau kemalangan.

    “Apatah lagi ketika ini keadaan jalan raya semakin sesak ekoran banyak aktiviti sosial seperti rentas negeri sudah dibenarkan, jadi kita perlu bertindak tegas dan tanpa kompromi mengeluarkan saman kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Merah itu di Jalan Tenggiri, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan tambah Adenan, operasi yang sama setakat ini turut merekodkan sebanyak 537 kesalahan membabitkan penunggang motosikal di Pulau Pinang termasuk tiada lesen memandu membabitkan 142 kes.

    Kesalahan lain tambahnya, adalah melanggar isyarat lalu-lintas jalan sehala sebanyak 25 kes; tidak memakai topi keledar (27); memandu bawah umur (2); nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (79) serta lain-lain kesalahan (26).

  • Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    WARGA emas yang meninggal dunia di kerusi ruang kaunter menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam, telah diberikan layanan khas tanpa perlu beratur untuk berurusan.

    Kenyataan JPJ hari ini memaklumkan suhu badan lelaki berusia 76 tahun itu semasa memasuki premis adalah normal dan status MySejahtera juga menunjukkan vaksinasi mangsa telah lengkap.

    “Lelaki itu dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ dan semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

    “Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik yang tiba dan memeriksa mangsa mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Mayat beliau kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter JPJ cawangan Bangi dan kejadian tersebut tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 10.21 pagi semalam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA

  • Pengurangan 70 peratus bayaran saman JPJ

    Pengurangan 70 peratus bayaran saman JPJ

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JPJ dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, pengurangan saman yang berlangsung sehingga 16 September itu ditawarkan bagi meringankan beban rakyat, berikutan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat ekoran pandemik COVID-19.

    Bagaimanpun, potongan pembayaran saman itu bagaimanapun tidak membabitkan kes yang masih dalam sebutan mahkamah, termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

    “Potongan ini akan diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan bagi kesalahan bawah Angka Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

    “Pengurangan terhadap notis saman berkenaan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ.

    Kenyataan berkenaan turut menyebut, tawaran berkenaan turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September.

    “Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), kiosk atau secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/),” kata kenyataan berkenaan.

    Pun begitu, bagi pesalah lalu lintas yang disenarai hitam, mereka dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan atau negeri), bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan. 

  • Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    TEMPOH lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV)  tidak akan disambung selepas 30 Sept ini, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata tempoh lanjutan yang diberikan sebelum ini adalah mencukupi untuk individu melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, selain ia boleh diperbaharu secara dalam talian.

    Selain kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan pembaharuan boleh dibuat di Pos Malaysia Bhd dengan membuat janji temu, dan menerusi perkhidmatan dalam talian MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) bagi mengelakkan kesesakan di premis, katanya.

    “Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian bagi mereka yang cekap internet dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai urusan pembaharuan LKM dan LMM hari ini.

    Menurut rekod urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, JPJ mencatatkan sebanyak 639,965 rekod pembaharuan, Pos Malaysia (373,805), MyEG (322,231) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula 8,400 bagi urusan LKM sahaja.

    Pos Malaysia sebelum ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata buat masa ini terdapat peningkatan transaksi yang tinggi dan pihaknya berusaha memastikan setiap transaksi dapat dihantar kepada pelanggan sebelum 30 Sept ini.

    “Bagi pelanggan di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), sekiranya terdapat kelewatan penghantaran, boleh hubungi talian 03-7801 8888 bagi urusan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA

  • Tiada lagi moratorium pembaharuan lesen memandu, cukai jalan

    Tiada lagi moratorium pembaharuan lesen memandu, cukai jalan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMILIK kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) sebelum 30 September ini susulan tempoh penamatan moratorium.

    Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, pengguna jalan raya akan berdepan tindakan penguatkuasaan tegas jika masih gagal berbuat demikian bermula 1 Oktober ini.

    Katanya, penamatan moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen itu dianggap wajar memandangkan tempohnya sudah mencukupi.

    Beliau berkata, jika ada yang masih belum memperbaharuinya sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh mengikut Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “Selepas tiga kali diberikan lanjutan, kerajaan melihat sudah tiba masanya aspek pematuhan dikuatkuasakan semula dengan tiada kelonggaran yang akan diberikan.

    “Tidak kira apa kenderaan yang dimiliki, pemandu harus ada dokumen penting yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu hari ini.

    Zailani berkata, bagi memudahkan urusan pembayaran pembaharuan dokumen itu, pihaknya bekerjasama Pos Malaysia Berhad untuk proses transaksi bermula esok.

    Katanya kaunter pejabat pos turut dibuka pada hujung minggu dan urusan berlangsung melalui janji temu yang dibuat terlebih dahulu selain pihaknya juga menyediakan kiosk.

    “Kita harapkan tidak wujud kluster (Covid-19) pos kerana banyak platform disediakan dan jika ada yang datang secara terus (walk in) sekalipun, mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.