Tag: jpa

  • Langkah henti pinjaman pelajar perubatan dipersoal – MMA

    Langkah henti pinjaman pelajar perubatan dipersoal – MMA

    KEPUTUSAN mengejut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan perlu dijelaskan.

    Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai menegaskan, langkah menghentikan pinjaman pengajian bukan cara yang tepat bagi kerajaan mengawal bilangan graduan dalam bidang itu.

    “Adakah langkah ini akan menjejaskan kepakaran yang diperlukan untuk sektor penjagaan kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang?

    “Apakah dasar kerajaan mengenai perancangan sumber manusia untuk sektor penjagaan kesihatan awam?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    JPA dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan, bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan adalah antara kursus yang tidak lagi ditawarkan tajaan oleh jabatan tersebut pada tahun ini.

    Kata kenyataan itu, antara lain yang turut tidak ditaja adalah bidang yang memerlukan pelajar mengambil jenis-jenis lesen seperti lesen penerbangan, lesen menyelam dan sebagainya, program-program berbentuk francais universiti awam atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sebagainya.

    Menurut JPA, tajaan adalah hanya untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman boleh ubah.

    Mengulas lanjut Muruga berkata, MMA juga berharap agar JPA dapat berkongsikan unjuran pegawai perubatan, pakar, kakitangan penjagaan kesihatan yang akan diperlukan untuk lima dan 10 tahun akan datang.

    Beliau berkata, sehingga kini, negara masih belum mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit yang disyorkan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.

    Katanya, di sesetengah hospital, nisbah boleh menjadi sehingga satu doktor kepada 1000 pesakit dan masih juga terdapat kekurangan bagi pakar penjagaan kesihatan awam.

    “Perlu ada perancangan yang secukupnya untuk penjagaan kesihatan dengan mengambil kira keperluan dan pertumbuhan penduduk. Masa yang mencukupi juga diperlukan untuk melatih pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan.

    “Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang secukupnya pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat dan dijangka terus meningkat berikutan populasi yang semakin tua.

    “Malaysia akan mencapai status negara menua pada 2030 di mana 15 peratus daripada penduduknya akan berumur 60 tahun atau lebih. Bagaimana kita bersedia untuk perubahan demografi dalam populasi kita?” soalnya lagi.

    Muruga menegaskan, pelajar universiti tempatan yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan masih memerlukan sokongan.

    “Oleh demikian, semua pihak harus terus menyokong mereka disebabkan tidak semua pelajar berasal dari keluarga yang berada,” katanya.

  • KPLB bincang dengan JPA untuk naikkan gred pengurus PKD

    KPLB bincang dengan JPA untuk naikkan gred pengurus PKD

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan gred perkhidmatan bagi jawatan pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah kementerian berkenaan.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan kenaikan itu dilihat sesuai dengan peranan serta pengalaman mereka.

    Menurutnya, kementerian juga mencadangkan agar pengurus PKD diberikan tempoh kontrak perkhidmatan yang lebih panjang berbanding setahun yang dinikmati ketika ini.

    “Kita juga nak buat kajian bersama JPA untuk lanjut kontrak pengurus PKD kerana selepas kontrak mereka tamat perlu membuat permohonan semula, sebab mereka sudah berpengalaman dan nak kerja semula,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama Pengurus PKD seluruh Malaysia di Alor Setar, semalam.

    Mahdzir menjelaskan, ketika ini gred bagi jawatan Pengurus PKD adalah N19 dengan kontrak selama setahun.

    “Selepas kontrak mereka tamat, mereka buat permohonan baharu dan mereka dinilai selepas itu, kalau markah baik sambung lagi.

    “Tapi setiap kali kontrak nak habis mereka akan berfikir kena cari kerja baharu, jadi kesian juga kepada mereka,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Setakat ini terdapat 180 pengurus PKD di seluruh negara yang telah menjalankan sebanyak 4,402 program.

    Tambahnya, ia bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

    Sementara itu, Mahdzir turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berakhir Ahad lalu dengan mencatatkan kehadiran pengunjung lebih 115 ribu orang.

    “Saya sangat berpuas hati dengan penganjuran Jelajah AKM dan ucapan terima kepada semua agensi KPLB, terima kasih kepada kerajaan negeri, pegawai terlibat,” ujarnya.

  • Keluar kata kesat: JPA nafi dakwaan, syor Imigresen siasat

    Keluar kata kesat: JPA nafi dakwaan, syor Imigresen siasat

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan kononnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam (3 Ogos).

    Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

    JPA dalam satu kenyataan hari ini menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

    Menurut kenyataan itu, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, dan sebaliknya mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

    “JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” menurut kenyataan itu. 

    — LAGI

    JPA-IMIGRESEN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

    JPA turut menafikan teguran berkenaan dibuat di khalayak ramai.

    “KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah. Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen,” menurut kenyataan itu.

    Tular di media sosial sejak semalam, dakwaan seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.

    Susulan dakwaan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan berhubung perkara itu bagi mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar.- BERNAMA