Tag: Johor

  • Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    SEORANG pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM1.3 juta selepas dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah oleh individu bergelar ‘Inspektor Ku’

    Wanita berusia 41 tahun itu mendakwa pegawai polis berkenaan menawarkan untuk membantu dan mengarahkannya membuka akaun bank baharu bagi menyelesaikan kes dihadapinya itu sebelum individu berkenaan berjaya memindahkan semua wang mangsa.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa semalam, selepas wanita itu menyemak akaun banknya pada awal bulan ini dan mendapati semua wang dari akaunnya itu sudah dipindahkan.

    “Pada mulanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendakwa mangsa terbabit dalam pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah.

    “Mangsa menafikan dakwaan itu dan kemudian panggilan telefon terus disambungkan kepada individu yang kononnya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bernama ‘Inspektor Ku’.

    “Mangsa memaklumkan, ‘Inspektor Ku’ pula memberitahu dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, lapor Harian Metro.

    Kamarul Zaman berkata, apabila mangsa menafikan dakwaan itu, ‘scammer’ (penipu) itu kemudian mengarahkannya membuka akaun bank baharu dan meminta wanita terbabit menyerahkan kata laluan perbankan dalam talian serta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan mereka (scammer).

    Katanya, mangsa kemudian mengikut arahan scammer untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun baharu itu sebagai alasan untuk simpanan selamat sementara kesnya disiasat.

    “Antara 17 Oktober 2022 sehingga 25 November 2022, mangsa memindahkan wang berjumlah RM1.3 juta ke akaun baharu itu.

    “Mangsa sedar ditipu apabila wang dalam akaun miliknya terdapat transaksi pemindahan ke beberapa akaun lain yang tidak dikenali sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, terdapat satu lagi kes membabitkan sindiket penipuan apabila seorang lelaki berusia 49 tahun menjadi mangsa penipuan wakil penjual bagi sebuah syarikat secara dalam talian di daerah ini, baru-baru ini.

    “Mangsa ditipu oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan keuntungan mudah dengan melaburkan sejumlah wang. Mangsa pada mulanya melabur wang sebanyak RM800 dan mendapat keuntungan sebanyak RM2,100.

    “Disebabkan terpedaya dengan keuntungan mudah yang diperoleh itu, mangsa seterusnya melabur sebanyak RM85,000. Kemudiannya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak mendapat sebarang pulangan,” katanya.

    Pada masa sama, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan yang mendakwa terbabit dalam aktiviti jenayah.

    “Polis tidak akan berpeluk tubuh dan kita menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi Whoscall yang membolehkan kita mengesan panggilan daripada scammer,” katanya.

  • PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH masih lagi berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan belum ada lagi perbincangan berhubung pembentukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu, setakat ini.

    Menurutnya yang juga Pengerusi PH Johor, keputusan sama ada kerajaan Johor akan mewujudkan kerajaan perpaduan di Johor selaras dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan masih belum dibuat.

    Bagaimanapun Salahuddin berkata, semangat perpaduan dan kerjasama antara PH dan BN negeri itu sudah mula terjalin membabitkan isu masyarakat setempat.

    “Setakat ini, kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi di Johor. Namun semua (PH dan BN Johor) kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan Persekutuan itu sangat mendasari hingga ke negeri ini.

    “Setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat Persekutuan dan kerajaan negeri. Saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram setakat ini dapat rasakan kerjasama sangat baik dengan agensi negeri.

    “Contohnya isu rakyat membabitkan kemusahan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, banjir kilat di Kampung Pasir dan Jalan Kolam Air, pegawai negeri berikan kerjasama begitu baik.

    “Setakat ni hubungan ini kita rasakan sangat baik cuma secara rasminya, kita tak dapat menentukan apakah bentuk kerjasama di masa akan datang. Namun setakat saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari terakhir sidang pada November lalu,PH Johor masih duduk lagi di barisan pembangkang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Pulai, di sini, malam tadi.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    Manakala PH pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), manakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

    Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN Johor menang sembilan kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi.

    PH pula menang 15 kerusi Parlimen di Johor termasuk Parlimen Muar yang dimenangi Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Perikatan Nasional (PN) juga meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh.

  • Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    JUMLAH mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Pahang terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Kelantan semakin berkurangan setakat 8 pagi ini.

    Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

    Sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

    Penduduk terutama di sekitar daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kuala Terengganu diminta terus bersiap siaga menghadapi bencana banjir apabila paras air di tiga sungai di Terengganu didapati telah melepasi aras bahaya, manakala lima melebihi aras waspada.

    Menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) tiga sungai yang melepasi aras bahaya terdiri daripada Sungai Dungun di Jambatan Jerangau; Sungai Kemaman di Rumah Pam, Paya Paman dan Sungai Nerus di Kampung Jeram.

    Lima sungai yang telah melebihi tahap amaran ialah Sungai Telemong di Kuala Ping; Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

    Di Kelantan, Sekretariat JPBN menyatakan kesemua mangsa ditempatkan di 119 PPS di sembilan jajahan melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Machang terus merekodkan penurunan kepada 30,115 orang pagi ini, berbanding 30,551 orang malam tadi.

    Namun, dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dan Sungai Golok di Kampung Jambu, Tumpat merekodkan bacaan paras bahaya pagi ini iaitu masing-masing 36.78 meter (m) dan 3.83 m.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut merekodkan bacaan paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.33m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.17m).

    Dalam pada itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai (23.98m) dan Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah, Jeli (55.19m) berada pada tahap amaran.

    Tiga sungai iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (28.64m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (3.26m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu (3.37m) pula merekodkan bacaan pada paras waspada.

    Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 35 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan berbanding 30 orang semalam.

    Di Johor, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 48 orang pagi ini yang masih berlindung di dua PSS di Segamat melibatkan 34 orang di Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak dan 14 orang di Dewan Komuniti Kg Tasek.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai di negeri itu berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat dengan ketinggian 8.49 meter (m); Sungai Sembrong di Empangan Sembrong (10.02m); Sungai Ayer Hitam di Kg Paya Embun (4.77m) dan Sungai Endau, Kg Labong di Mersing (1.12m).

    Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 26 orang daripada 12 keluarga di Bagan Datuk sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.- BERNAMA

  • Banjir: 1,806 penduduk empat negeri termasuk Johor terjejas bencana

    Banjir: 1,806 penduduk empat negeri termasuk Johor terjejas bencana

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan dan Pahang merekodkan peningkatan petang ini, manakala Segamat menjadi daerah pertama di Johor dilanda bencana itu.

    Setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di empat negeri yang terjejas merekodkan seramai 1,806 orang.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga petang ini, berbanding 280 mangsa daripada 84 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan memaklumkan kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Seramai 450 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok (81), SK Kubang Kual (66) dan PPS Putat Tujoh (60).

    Di PAHANG, 581 orang telah dipindahkan ke 11 PPS sehingga 4 petang tadi berbanding 537 mangsa di lapan PPS pada 8 pagi tadi.

    Sekreteriat JPBN Pahang memaklumkan daerah Temerloh mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 382 orang diikuti Lipis (83), Raub (48), Jerantut (39) dan Bera (29).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada 12 tengah hari tadi susulan limpahan air dari Sungai Muar.

    Menurut kenyataan itu kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 546 orang daripada 137 keluarga petang ini berbanding 599 mangsa daripada 154 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 3 petang tadi, tujuh PPS dibuka di empat daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

    Daerah Kemaman menempatkan 279 mangsa banjir, Kuala Nerus (220), Kuala Terengganu (43) dan Setiu (empat).- BERNAMA

  • Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    KERAJAAN Johor mengumumkan Ahad ini, 27 Nov sebagai cuti peristiwa bagi negeri itu selepas pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 esok.

    Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cuti itu juga bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

    Menurutnya, ia telah hmendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    “Tahniah JDT yang telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

    “Sama-sama kita hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi terus memberi sokongan padu kepada pasukan JDT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Setelah menewaskan Sabah FC 3-1 pada 20 Nov, JDT mara ke peringkat akhir Piala Malaysia untuk melawan Selangor esok.

  • Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor bermula Selasa

    Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor bermula Selasa

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula 8 sehingga 11 Nov ini. 

    MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ramalan itu melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing di Johor.

    Pada 3 Nov, MetMalaysia memaklumkan Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin ini (7 Nov) dan berterusan sehingga Mac depan.

    Menurut jabatan itu, sepanjang tempoh berkenaan empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku. – BERNAMA

  • Kalau nak ubah kerajaan, puncanya dari Johor – Rafizi

    Kalau nak ubah kerajaan, puncanya dari Johor – Rafizi

    JOHOR menjadi penentu bagi setiap parti politik bertanding untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana kekuatan politiknya yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung.

    Rafizi semasa berceramah di Johor Bahru malam tadi

    Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli Johor menjadi tumpuan setiap kali PRU kerana mempunyai 26 kerusi Parlimen dan dianggap amat penting terutama dalam usaha untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Di Malaysia kerusi Parlimen paling banyak adalah di Sarawak iaitu 31 kerusi, kedua adalah Johor (26 kerusi) diikuti Sabah (25 kerusi) Parlimen. Kalau kita nak ubah negara dan tukar kerajaan di Putrajaya, puncanya mesti datang dari Johor, tidak ada cara lain.

    “Mana-mana parti politik sama ada PKR, UMNO, BN (Barisan Nasional), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau Perikatan Nasional (PN), tiada gabungan politik di negara ini yang boleh jadi kerajaan di Putrajaya kalau tak menang kerusi-kerusi Parlimen di Johor,” katanya.

    Beliau menyatakannya semasa berucap dalam Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru di sini pada malam tadi.

    Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Pengarah Strategik PKR.

    Dalam pada itu, Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, rakyat negeri berkenaan perlu sedar betapa penting mereka dalam menentukan keputusan PRU dan tidak mengambil mudah peranan yang perlu dimainkan.

    Katanya, atas sebab kepentigan di negeri itu beliau dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor sekali gus menepis dakwaan pelantikan berkenaan adalah kerana beliau mahu bertanding di negeri ini pada PRU15.

    Sementara itu, Rafizi dalam sidang akhbar berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada awal tahun ini tidak boleh dijadikan penanda aras dalam menghadapi PRU15 kerana situasi dan keadaannya amat berbeza.

    “Mana-mana parti yang masuk PRU kali ini dengan berkiblatkan kepada keputusan PRN Johor, dia akan ada masalah kerana keputusan PRN itu tidak benar-benar melambangkan suasana sebenar,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, banyak faktor mempengaruhi keputusan PRN Johor dan sehingga kini susah untuk mengenal pasti punca utamanya sama ada pengundi tidak keluar mengundi atau disebabkan pengundi atas pagar.

    “Kita dapati undi rendah kepada PH terutama dalam kalangan orang Melayu, kita tidak boleh beritahu dan yakin 100 peratus faktor undi rendah kerana (orang Melayu) sudah beralih sokongan atau penyokong atas pagar tidak keluar mengundi, ini dua faktor berbeza,” katanya.

    Jelas Rafizi, sentimen pengundi Johor ketika ini amat sukar ‘dibaca’ dan PKR menerima kekalahan dalam PRN Johor dan akan memperbaiki kesilapan sebelum ini dengan memikat pengundi menerusi pendekatan seperti program Ayuh Malaysia yang kini diadakan di seluruh negeri itu.

    Bagaimanapun katanya, menerusi siri jelajah yang dimulakan menampakkan pengundi-pengundi atas pagar sudah mula terangsang dengan kempen-kempen yang dilakukan selain akan terus memberi penjelasan bersama-sama komponen PH pada setiap minggu sehingga PRU15.

    Selain usaha itu katanya, PKR dan PH dilihat berpotensi menang di negeri ini kerana sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sebenarnya masih tidak berubah sama seperti sebelum PRU14.

    “Walaupun UMNO nampak menang (pada PRN Johor) tetapi itu tidak melambangkan keadaan sebenar sokongan dan prospek dalam PRU akan datang kerana sokongan kepada UMNO itu (pada PRN Johor) tidak naik melepasi sokongan pada 2018 (PRU14).

    “Undi kepada UMNO masih lagi sekitar 41 atau 42 peratus, maksudnya majoriti pengundi yang keluar menolak UMNO dan itu pun dalam 55 hingga 57 peratus sahaja pengundi (keluar mengundi dalam PRN Johor),” katanya.

    Malah katanya, UMNO sendiri hanya yakin menang 16 kerusi daripada 20 kerusi Parlimen yang disasarkan UMNO Pusat untuk menang pada PRU-15.

    Beliau mendakwa, kepimpinan dalaman UMNO sendiri ketika ini sedang bergolak mengenai sasaran kerusi tersebut dan difahamkan sasaran realistik UMNO Johor sekitar 10 hingga 12 kerusi sahaja.

  • Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Oleh MASSITA AHMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, lawatan rasmi baginda ke Singapura yang bermula hari ini (20 Julai), bukan sahaja akan terus mengukuhkan hubungan Johor dan republik berkenaan, malah membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

    “Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.

    Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

    Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

    Hadir sama isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

    Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga berbesar hati atas undangan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura dan menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan serta memakmurkan negara itu.

    “Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosioekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Lee) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera,” titah Sultan Johor.

    Sementara itu, Lee dalam ucapannya menghargai persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama, serta turut bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama.

    “Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” katanya. – BERNAMA

  • Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing kerana memiliki senjata berbahaya ketika mengadakan kawalan keselamatan sewaktu solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Abu Bakar di sini pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, warga asing berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 pagi selepas didapati memiliki sebilah pisau bersarung berukuran lebih kurang 33 sentimeter termasuk hulu yang terselit di tali pinggangnya.

    “Hasil siasatan polis mendapati senjata yang dirampas itu merupakan salah satu hiasan pemakaian perayaan di negara individu itu, namun dari segi undang-undang di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) akta tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebat. – BERNAMA

  • 13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    SERAMAI 13 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 138,000 liter dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam menerusi Op Bersepadu Kontraban.

    Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel di sekitar negeri ini sebelum menjualnya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk kapal dagang asing dengan harga kira-kira RM3.50 seliter.

    “Mereka menjalankan sindiket (seludup minyak) ini tiga hari sekali dengan menjualnya ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi.

    “Sindiket ini dikesan sebulan lepas dan premis (diserbu) merupakan tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di Kota Tinggi hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu kapal tangki asing, empat tangki lori treler, empat pam penyedut minyak, dua generator dan sebuah kereta Toyota Vios melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM14.4 juta.

    Beliau berkata seorang individu yang ditahan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA