Tag: Johor Bahru

  • Pengusaha stesen minyak didenda RM40,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

    Pengusaha stesen minyak didenda RM40,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhi hukuman denda RM40,000 terhadap seorang pengusaha stesen minyak selepas menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

    Tertuduh, Phan Chib Chan, 59, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan pengisian petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing pada empat tahun lalu.

    Ia juga adalah kes pertama seumpamanya membabitkan pemilik stesen minyak yang didakwa atas kesalahan terbabit.

    Memetik laporan Astro AWANI, Phan mengaku bersalah atas kesalahan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut fakta kes, Chib Chan didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya yang terletak Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 Johor Bahru pada 13 Mei 2019, lebih kurang jam 10.40 pagi.

    Dia didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 ke atas kereta jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura, sebanyak 54 liter bernilai RM113.30.

    Perbuatan itu melanggar peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff.

    Dalam penghujahannya, Raja Nor Iklas memaklumkan Orang Kena Saman (OKS) telah dua kali dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan sama.

    Tertuduh diwakili peguam, Lim Chon Sin.

  • Fasha Sandha cedera di kepala, mata ketika penggambaran drama

    Fasha Sandha cedera di kepala, mata ketika penggambaran drama

    PELAKON terkenal Fasha Sandha dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Johor Bahru akibat kecederaan dialami pada mata kirinya semasa sesi penggambaran drama berjudul Anak Tuan, semalam.

    Memetik laporan Astro AWANI, insiden berlaku selepas mata serta kepalanya terhentak pada bucu katil yang tajam.

    “Di sini saya ingin membuat sedikit update tentang kakak. Maaf kakak sedang rehat secukupnya. Kakak mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berlakon di set pengambaran Anak Tuan pada 1 Mac (pagi semalam). Mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam.

    “Tulang mata kiri patah dan bebola matanya kirinya berdarah dan bengkak dan sedang dirawat di Hospital Pakar di Johor Bahru,” katanya menerusi kenyataan di Instagram miliknya.

    Aktres berusia 39 tahun itu dijangka akan mendapatkan rawatan lanjut di hospital pakar di Kuala Lumpur pada hari ini atau esok pagi.

    Dalam masa sama, wakil pengurusan memohon jasa baik peminat dan keluarga untuk mendoakan kesihatan Fasha.

    “Seperti yang ramai tahu Fasha seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin dia kuat.

    “Pihak produksi telah memohon maaf pada Fasha dan keluarganya. Kata Fasha, tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana kemalangan ini terjadi di luar jangkaan kita,” ujarnya.

    Dalam hantaran sama, turut dikongsi petikan video drama arahan Along Kamaludin itu yang menyaksikan Fasha bersama Azhan Rani menjayakan salah satu babak tegang di mana aktor tersebut menarik rambut Fasha dari tangga dan menolaknya sebelum terjatuh di bucu katil.

  • Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    10 individu yang bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan Polis Kontinjen Johor dalam tempoh Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 10 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

    Menurutnya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun.

    “Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga lebih RM1.059 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

    “Kita turut merampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

    Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

    “Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Piala Dunia Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

    “Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

  • Sogok polis RM90,000 bebaskan rakan, lelaki ditahan

    Sogok polis RM90,000 bebaskan rakan, lelaki ditahan

    SEORANG lelaki ditahan selepas menawarkan RM90,000 kepada polis sebagai dorongan supaya melepaskan rakannya yang disiasat berhubung kes tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah restoran dekat Taman Suria Johor Bahru, Isnin lalu selepas mengadakan pertemuan dengan pihak polis.

    Menurutnya, suspek masih berdegil menawarkan wang tunai RM90,000 sebagai suapan dan dorongan untuk membebaskan rakannya walaupun diberi amaran.

    “Kita memberikan amaran untuk dia tidak berbuat demikian, namun suspek terus mendesak polis menerima wang berkenaan.

    “Tangkapan kemudian dibuat ke atas suspek dan kita turut merampas wang tunai yang cuba disogok kepada polis itu,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) menyerbu sebuah unit apartment di Jalan Tanjung Puteri di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin lalu.

    Katanya, serbuan dan pemeriksaan ke atas apartment itu dibuat kerana dipercayai digunakan sebagai pusat panggilan menawarkan tawaran kerja secara dalam talian yang tidak wujud.

    Dalam serbuan itu kata beliau, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun dan beberapa rampasan peralatan digunakan untuk berhubung serta memperdayakan mangsa.

    “Ketika proses awal siasatan dijalankan, pasukan serbuan menerima panggilan daripada seorang lelaki mengaku rakan kepada tangkapan dalam serbuan itu.

    “Lelaki itu mahu berjumpa dengan pihak polis di sebuah restoran di Taman Suria, di sini, sebelum menawarkan rasuah terbabit,” katanya.

  • Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    SEORANG wanita yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menipu, hari ini dihukum penjara berjumlah 80 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu berhubung penjualan barangan elektrik yang tidak wujud.

    Majistret R.Salini menjatuhkan hukuman penjara 12, 14, 16, 18, dan 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Nurul Yasmin Rosli, 33, dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 7 Sept 2021.

    Ini bermakna wanita itu yang merupakan ibu kepada bayi berusia tujuh bulan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 bulan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Nurul Yasmin didakwa dengan curang menipu lima individu, sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik pelbagai jenama ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati Zainol, iaitu ibu tertuduh berjumlah RM5,235 namun tertuduh gagal menyerahkan barang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Johor Bahru dari 16 Feb 2021 hingga 25 Jun 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, kesemua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor WhatsApp yang tertera di laman Instagram ‘Beauty Saranghae’ sebelum membuat tempahan dan pembayaran, namun mereka tidak menerima sebarang barangan seperti ditawarkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 13 Sept tahun lepas, tertuduh dan ibunya, Melati, 55, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas beberapa pertuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645.

    Pada 13 Ogos 2019 pula, Nurul Yasmin didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.

    Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Shah Alam.- BERNAMA

  • Tak puas hati kena hon, lelaki tunjuk isyarat lucah

    Tak puas hati kena hon, lelaki tunjuk isyarat lucah

    GARA-GARA tidak puas hati dihon, seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mengamuk dan menunjukkan isyarat lucah.

    Memetik laporan FMT, kelakuan kurang sopan lelaki itu dirakamkan dalam kamera papan pemuka yang seterusnya dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘DashCam Owners Malaysia’.

    Pemandu Mitsubishi Pajero itu dikatakan memandu secara berbahaya dan memotong barisan tanpa memberi isyarat.

    Akibatnya, pemandu kereta yang merakam kejadian tersebut terkejut dan membunyikan hon.

    Lelaki yang memandu Pajero itu kemudian tiba-tiba memberhentikan kenderaannya di tengah jalan sebelum mereka bertikam lidah.

    Difahamkan, insiden tersebut berlaku di Mount Austin, Johor Bahru.

    Netizen yang menyaksikan rakaman tersebut meluahkan kekesalan mengecam perbuatan lelaki itu menunjukkan isyarat lucah serta mementingkan diri sendiri di atas jalan raya.

  • Cubaan seludup 23 pokok keladi hiasan dalam tong ikan digagalkan

    Cubaan seludup 23 pokok keladi hiasan dalam tong ikan digagalkan

    RAHIMI MOHAMAD

    POKOK keladi hiasan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar tanaman itu mendorong pihak tidak bertanggungjawab sanggup menyeludup masuk beberapa spesies pokok yang sukar ditemukan ke pasaran tempatan.

    Namun, tindakan cekap dan pantas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sebuah lori yang cuba membawa masuk tanaman itu dari Singapura melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru.

    Antara pokok keladi yang dirampas Maqis Johor, semalam.

    Ketika ditahan di lorong import KSAB kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, lori dipandu seorang pemandu berusia 38 tahun itu didapati membawa tong ikan.

    Namun, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 23 pokok keladi hiasan yang disembunyikan dalam tong ikan berkenaan.

    Antara pokok keladi hiasan yang ditahan dalam pemeriksaan itu adalah dari jenis Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan beberapa spesies lain yang dianggarkan bernilai RM3,200 hingga RM3,800 sepokok di pasaran tempatan.

    Maqis memaklumkan, tanaman keladi hiasan yang bernilai RM7,230 itu cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen sah seperti Permit Import Maqis dan sijil rawatan dari negara asal.

    “Cubaan seludup masuk pokok berkenaan dibuat kerana terdapat permintaan tinggi terhadap tanaman itu di negara ini.

    “Tetapi perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama,” katanya, hari ini.

    Jika disabit kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambah kenyataan itu.