Tag: JKNS

  • JKNS, PDRM siasat kes kematian mengejut dua petugas kesihatan

    JKNS, PDRM siasat kes kematian mengejut dua petugas kesihatan

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kes kematian mengejut dua petugas kesihatan di Klang baru-baru ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian petugas yang berkhidmat di dua fasiliti kesihatan berbeza masing-masing pada 4 dan 6 Jun lalu.

    “Situasi ini dianggap menyedihkan kepada semua terutama ahli keluarga dan kenalan rapat individu tersebut.

    “Pihak JKNS telah menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes dan polis juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr Sha’ari berkata, semua pihak dinasihatkan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat berkaitan dengan dua kes berkenaan.

    “Orang ramai diminta memberikan ruang privasi kepada mereka yang menempuh tempoh sukar berkenaan,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, katanya, Dr. Sha’ari mengingatkan mana-mana individu yang mengalami masalah emosi supaya tampil mendapatkan bantuan sokongan daripada golongan profesional.

    Tambahnya, mereka boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental, di 15555 yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Talian itu beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri, kata Timbalan Pengarahnya, Dr. Rosemawai Ariffin.

    Menurut beliau, pemberian itu dilakukan menerusi proses janji temu kepada golongan yang layak.

    “Suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

    “Pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

    “Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

    Sementara dos penggalak pula katanya, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

    “Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

    “Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

  • Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia susulan terdapat kalangan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

    “Saya telah dititahkan oleh Tuanku semalam untuk melaporkan segala fakta tentang program hari ini khususnya mengenai sesiapa yang tidak dan enggan hadir, untuk baginda meneliti dan membincangkan apa tindakan lanjut yang harus diambil,” katanya pada sidang media dalam program vaksinasi khas JAIS hari ini yang dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

    Mohd Shahzihan berkata daripada 146 individu yang hadir setakat 11 pagi tadi, hanya 20 peratus daripada jumlah itu bersetuju untuk mendapatkan suntikan dos pertama.

    Menurut beliau jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah seramai 872 individu daripada kalangan guru KAFA, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah.

    Sementara itu, Dr Sha’ari berkata jika individu yang enggan menerima vaksin hari ini terbuka hati untuk mendapatkan suntikan kelak, mereka boleh hadir ke 53 klinik kesihatan dan 10 hospital yang tersenarai di Selangor untuk mendapat suntikan secara jumpa terus (walk-in).

    Katanya pihaknya bersetuju untuk mengadakan program vaksinasi khas seperti yang dijalankan hari ini jika kelompok tersebut bersedia menerima suntikan dalam jumlah yang ramai.

    Pada 3 Sept lepas JAIS memaklumkan pihaknya bersama JKNS akan melaksanakan program vaksinasi khas bagi guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan menerima vaksin COVID-19.

    JAIS memaklumkan perkara tersebut susulan titah Sultan Sharafuddin mengingatkan guru KAFA di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin COVID-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan menasihati usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan yang sedang dihadapinya.

    Mohd Shahzihan berkata jika Muhammad Sajjad takut untuk pulang ke Malaysia susulan dakwaan menerima ugutan bunuh daripada mana-mana pihak, dia boleh membuat laporan polis agar siasatan berhubung perkara berkenaan dapat dijalankan.- BERNAMA