Tag: JKKP Johor

  • Syarikat didenda RM25,000 atas kecuaian keselamatan

    Syarikat didenda RM25,000 atas kecuaian keselamatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH syarikat dijatuhkan hukuman denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini kerana cuai sehingga mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja warga tempatan pada 4 Jun 2019.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas Syarikat Bend Weld Engineering Sdn. Bhd. sebagai majikan mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    “Keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini adalah mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 erana gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya.

    “Syarikat Bend Weld Engineering Sdn Bhd sebagai majikan didapati gagal mengawal laluan keluar dan masuk tempat kerja sehingga mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja warganegara tempatan pada 4 Jun 2019.

    “Mangsa yang berusia 45 tahun maut akibat tersepit di antara pagar automatik dan tiang dinding ketika hendak keluar dari kilang melalui pagar hadapan kilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, semasa perbicaraan pada 29 Julai lalu, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan dan dengan yang demikian suatu kes ’prima facie’ berjaya dibuktikan untuk kes itu.

    Menurutnya, syarikat itu sebagai majikan pada sesi pembelaan telah mengaku bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Ahmad Fuad Othman.

  • Penyelia projek maut ketika menjalankan kerja pemasangan

    Penyelia projek maut ketika menjalankan kerja pemasangan

    SEORANG penyelia projek maut ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan kerangka dandang stim tiub air di sebuah kilang sawit di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, kelmarin.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir. Mohd.Rosdee Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pukul 1.30 tengah hari apabila mangsa, 46, terjatuh dari platform tingkat 1 pada ketinggian 2.5 meter.

    “Hasil siasatan awal yang dijalankan JKKP mendapati bahawa tiada perlindungan jatuh disediakan di semua tangga dan juga sekeliling tepian terbuka yang membabitkan kerja-kerja di tempat tinggi.

    “Terdapat tiga batang I-beam berada di lokasi mangsa yang bekerja di sebuah syarikat subkontraktor dilaporkan terjatuh. Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pihak JKKP telah mengarahkan majikan untuk mengambil menghentikan aktiviti pemasangan dandang stim di tempat kerja tersebut dengan serta-merta sehingga siasatan lengkap dijalankan.

    Notis larangan katanya, dikeluarkan kepada pihak kilang sawit dan syarikat kontraktor utama atas kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat ketika menjalankan aktiviti pemasangan itu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

    Selain itu, beliau mengarahkan syarikat kontraktor utama JKKP untuk mengadakan Prosedur Kerja Selamat dan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi kerja pemasangan dandang stim di kilang itu.

    JKKP ujarnya, memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.

    Menurut beliau, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Jelasnya, majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkenaan dan itu merupakan satu kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Pihaknya menyeru semua majikan agar bekerjasama mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

    Tambah beliau, kes seumpama itu boleh dielakkan jika majikan bertanggungjawab mengenal pasti hazard, menganalisis dan menaksir risiko yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan langkah kawalan bersesuaian bagi mengawal risiko berkaitan.