Tag: Jemaah haji

  • Lindungi kebajikan jemaah, TH gantung lesen PJH Emraz Travel

    Lindungi kebajikan jemaah, TH gantung lesen PJH Emraz Travel

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

    TH menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat tersebut.

    “Bakal haji yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan, termasuklah anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan termasuklah perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah.

    “TH tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara,” tambahnya.

    Sebelum ini, kecoh di media sosial tentang dakwaan membabitkan sebuah agensi pelancongan yang didakwa menipu jemaah umrah sehingga mereka melakukan tunjuk perasaan di ibu syarikat berkenaan.

  • Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.

    Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.

    Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

    Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

    “Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya. – Bernama