Tag: JBPM

  • 2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    DUA beranak iaitu seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar dan hangus sepenuhnya dalam kejadian di Bukit Minyak, Pulau Pinang petang ini.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang berlaku di Kilometer (KM) 134 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Permatang Pauh, Perai kira-kira pukul 2.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire dengan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus.

    “Terdapat dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Si ibu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun anaknya cedera ringan melecur di bahagian kaki dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas beliau, pihaknya mengambil tindakan melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman yang mana kebakaran dapat berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.31 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ pula telah selesai dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.39 petang,” katanya.

  • 141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    SERAMAI 141 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terjejas dengan banjir di seluruh negara, setakat ini.

    Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bilangan itu membabitkan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kediaman dinaiki air.

    “Kita akan pastikan kebajikan mereka terjaga dan sedikit sumbangan akan diberi bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.

    Akmal Nasrullah berkata insentif atau bantuan perlu diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat kerana mereka tetap komited menjalankan tugas walaupun ditimpa musibah.

    “Kita akan tambah anggota sekiranya diperlukan untuk banjir kali ini. Kelantan telah menerima bantuan daripada anggota kawasan berhampiran yang tidak terkesan banjir,” katanya.

    Beliau berkata JBPM turut mengoperasikan dua helikopter di Bachok dekat sini dan Wakaf Tapai, Terengganu bagi menyelamat mangsa banjir.

    “Penyediaan helikopter adalah sebagai bantuan bagi membawa pesakit dari kawasan terkepung ke hospital dan membawa makanan ke kawasan yang tidak dapat dilalui seperti perkampungan Orang Asli,” katanya. – BERNAMA

  • Seludup ketum 850 kg guna van logo bomba digagalkan

    Seludup ketum 850 kg guna van logo bomba digagalkan

    HELAH dua lelaki mengubah suai van menggunakan logo dan warna Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyeludup daun ketum sebanyak 850 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM8,500 berjayah dipatahkan polis, Khamis lalu.

    Tindakan suspek berusia 29 dan 35 tahun termasuk seorang anggota JBPM itu berjaya dikesan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di Jeli, Kelantan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin, dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, van dengan logo JBPM yang dipandu dua lelaki lengkap berpakaian jabatan melalui sekatan dalam keadaan mencurigakan.

    Menurutnya, anggota kemudian bertindak mengekori van itu sebelum mengarahkan pemandu untuk memberhentikan di Kampung Rabbana, bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

    “Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barangan salah, namun terdapat lambakan plastik berwarna hitam yang mengandungi daun ketum pada bahagian belakang van.

    “Semakan pada nombor casis (nombor badan kenderaan) mendapati ia tidak wujud dalam sistem selain nombor pendaftaran yang asal berkait dengan kes kecurian lori yang dilaporkan hilang di Sri Alam, Johor, pada 2013.

    “Anggota bertindak merampas van serta daun ketum selain menahan kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad berkata, mereka ditahan reman bermula 27 Oktober sehingga 1 November untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya negatif dadah.

    “Mereka menggunakan modus operandi menggunakan van yang diubah suai sebagai kenderaan jabatan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Selain itu, hasil soal siasat mendapati mereka menerima upah RM3,000 untuk satu perjalanan membawa ketum dari sebuah negeri di Utara ke Kelantan bagi tujuan pasaran sekitar Machang.

    “Kedua-dua suspek mengakui bahawa penyeludupan daun ketum ini bukan pertama kali dilakukan mereka sebaliknya untuk kali ketiga,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 168 Kanun Keseksaan, Seksyen 171, Kanun Keseksaan, dan Seksyen 108(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Wanita rentung nahas dua kereta di Lebuh Raya MEX

    Wanita rentung nahas dua kereta di Lebuh Raya MEX

    SEORANG wanita rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu turut mengakibatkan seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera, manakala tiga lagi penumpang wanita terselamat.

    Komander Operasi, Khairuddin Abdurrahman, berkata Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.14 pagi.

    Berikutan itu, beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil serta BBP Pudu dengan kekuatan 17 anggota, dikejarkan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.

    “Pasukan segera memadamkan kebakaran. Kereta itu musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemui rentung di bahagian pemandu.

    “Seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera di bahagian kepala, manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga dilaporkan tiada mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian hari ini.

    Beliau berkata, kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Penerbangan ihsan JBPM bawa orang asli dijangkiti Covid-19

    Penerbangan ihsan JBPM bawa orang asli dijangkiti Covid-19

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita Orang Asli di Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan terpaksa dibawa ke hospital melalui penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapat rawatan lanjut setelah dia didapati positif Covid-19.

    Wanita tersebut, Asalmi Alang, 59, dilaporkan deman serta sukar bernafas menyebabkan dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd. Farhan Marzuki, pesakit telah dibawa dengan menggunakan penerbangan ihsan helikopter JBPM dari Pos Belatim.

    Menurut beliau, helikopter kemudian mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, pada pukul 4.25 petang semalam.

    “Sebaik mendarat, wanita itu yang berada dalam keadaan stabil kemudian terus dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” ujar beliau kepada media hari ini.