Tag: Jawatankuasa khas

  • Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang hari ini memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Anwar memberikan kenyataan tersebut semasa menjelaskan isu percukaian Yayasan Albukhary.

    Menurut Ketua Armada Bersatu itu, surat permohonan tersebut dihantarnya ke pejabat Speaker Dewan Rakyat semalam.

    “Beliau (Anwar) jawab tempoh hari di Dewan Rakyat yang mulia ini ‘kuasa mutlak.’

    “Istilah mutlak yang digunakan dalam hansard ada buktinya, bahawa kuasa memberi pengampunan cukai adalah mutlak milik ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini tidak benar.

    “Saya dah jelaskan dalam surat ini bahawa ia (kuasa) juga ada pada menteri kewangan dan inilah yang kami ingin Tambun (Anwar) minta maaf dan betulkan di Dewan Rakyat bahawa dia telah mengelirukan dewan, berprasangka buruk ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Jawatankuasa khas ditubuh tangani sindiket penipuan kerja libatkan rakyat Malaysia

    Jawatankuasa khas ditubuh tangani sindiket penipuan kerja libatkan rakyat Malaysia

    MESYUARAT jemaah menteri pada Rabu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

    “Saya juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar untuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkenaan pada 22 Sept (hari ini),” katanya.

    Saifuddin yang kini berada di New York bersempena Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sedang memangku tugas Menteri Luar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta seluruh jemaah menteri yang meneliti dan membincangkan isu berkenaan.

    Pada Isnin, beliau mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama duta-duta dan kuasa usaha sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam bagi mempersiapkan nota mesyuarat untuk diterangkan oleh Abdul Latiff dalam mesyuarat jemaah menteri. 

    “Kami juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia secara berkala dan meningkatkan penerangan media bagi isu ini,” katanya.

    Tambahnya kerajaan melalui Kementerian Luar serta perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara terus komited dalam memperkasakan usaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

    Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berasingan pada Rabu malam berkata 15 lagi mangsa sindiket warganegara Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa pulang pada Selasa.

    Mereka tiba di klia2 melalui penerbangan AK 535 dari Phnom Penh pada pukul 11.50 malam.

    Sehingga Rabu, katanya, jumlah keseluruhan laporan yang diterima kementerian membabitkan empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand adalah sebanyak 301 kes.

    “Daripada jumlah itu, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air,” katanya.

    Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan, kata Kementerian Luar.- BERNAMA

  • Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu satu ‘Special Task Force Covid-19’ ditubuhkan di peringkat negeri.

    Tunku Ismail akan mengetuai sendiri jawatankuasa khas tersebut bagi memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.

    “Jawatankuasa khas ini akan terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), kerajaan negeri, pakar-pakar profesional,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru, hari ini yang turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Menurut Tunku Ismail, penubuhan itu adalah selepas mengadakan pertemuan Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Dr. Dhesi Baha Raja di Royal Polo Club, Johor Bahru, hari ini.

    “Hasil daripada perjumpaan ini, saya telah menitahkan agar ditubuhkan jawatankuasa khas berkenaan,” ujar Tunku Ismail. – SB

  • Pembangkang sertai Jawatankuasa Khas pasca Covid-19 di Johor

    Pembangkang sertai Jawatankuasa Khas pasca Covid-19 di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas dianggotai pembangkang bertujuan meneliti dasar sosial dan ekonomi negeri pasca Covid-19.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mengumumkan pembentukan itu berkata, pandangan semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor termasuk 27 wakil rakyat pembangkang akan diambil kira.

    Malah katanya, ADUN pembangkang juga akan dibabitkan menerusi sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang termasuk gerak kerja untuk merangka Belanjawan Johor 2022.

    “Kerajaan negeri juga telah menganjurkan beberapa sesi taklimat bersama wakil rakyat di Johor termasuk pembangkang sebelum ini, bagi berkongsi maklumat pentadbiran di luar takwim persidangan Dewan Negeri.

    “Selain wakil kerajaan dan pembangkang, Jawatankuasa Khas ini turut dianggotai Timbalan Setiausaha Kerajaan dan Ketua-Ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri yang berkaitan.

    Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, di Iskandar Puteri, hari ini.

    Katanya, kerajaan negeri juga bersedia untuk secara perlahan-lahan melaksanakan reformasi DUN Johor mengikut kesesuaian dan keperluan, sepertiyang dibincangkan bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN pada masa hadapan.

    Sementara itu, Hasni yang juga ADUN Benut berharap kerajaan Johor dibabitkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang membabitkan Tambak Johor dan Laluan Kedua (Second Link).

    Katanya, kerajaan negeri sedar bahawa membuka sempadan Johor-Singapura adalah komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

    “Ia akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan sektor pelancongan, selain bakal menghidupkan semula aktiviti ekonomi di bandaraya Johor Bahru dan daerah berdekatan.

    “Pembukaan sempadan Johor-Singapura juga bakal mengembalikan kepesatan sektor hartanah, yang semestinya lebih rancak apabila khususnya apabila Kerajaan Persekutuan bakal melihat semula dasar berkaitan program Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya.

  • Tubuh jawatankuasa khas tangani Covid-19 di Pulau Pinang

    Tubuh jawatankuasa khas tangani Covid-19 di Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan jawatankuasa khas untuk membanteras penularan wabak Covid-19 dengan segera susulan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) di negeri itu yang tertinggi dalam negara ketika ini.

    Menurut Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, ketika ini dianggarkan kira-kira 105 orang dalam setiap 100,000 penduduk negeri Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 dan kadar jangkitan itu disifatkan sangat membimbangkan.

    Katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Pulau Pinang juga telah melebihi Selangor dan keadaan mungkin akan menjadi lebih serius pada masa depan sekiranya tidak ditangani dengan segera.

    “Banyak isi keluarga di Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 dan sekiranya kesemua pesakit terpaksa dikuarantin di rumah akibat kekurangan katil di hospital dan pusat kuarantin, bagaimana mereka dapat membeli makanan dan barangan termasuk barangan kesihatan serta penjagaan diri?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan komuniti di kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) supaya bantuan segera dapat dihulurkan kepada penduduk yang terkesan. 

    Selain itu tambahnya, talian bantuan dalam tiga bahasa juga wajar dibuka untuk membantu dalam pengendalian isu-isu Covid-19.

    Jelasnya, talian bantuan dalam tiga bahasa itu penting supaya kerja pengaturan dan penghantaran pesakit yang serius ke hospital dan usaha bantuan dapat dijalankan dengan berkesan.

    “Kerajaan negeri harus mengambil berat keadaan Covid-19 di Pulau Pinang kerana penduduk negeri ini tidak lagi mampu berdepan dengan satu lagi serangan virus khususnya varian Delta yang memburukkan lagi situasi pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.