Tag: Jasri Jamaludin

  • Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    PEMBEKUAN beberapa akaun milik Bersatu dianggap sebahagian agenda pihak tertentu untuk memberi persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu bagi menutup kelemahan kerajaan PH-BN yang belum berjaya menangani isu-isu membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang semakin membebankan.

    Menurutnya, melalui strategi itu mereka berharap dapat memberi persepsi buruk kepada PN, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    “Mereka tahu sokongan dan gelombang kebangkitan rakyat masih bersama PN. Oleh itu pihak terbabit terpaksa mencipta agenda bagi memburukkan PN,” katanya di sini.

    Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

    Mengulas lanjut, Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, orang ramai boleh melihat laporan audit Bersatu tahun 2020 yang tular.

    “Daripada pemerhatian saya terhadap laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang didakwa pihak terbabit.

    “Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Saya mengalu-alukan siasatan SPRM bagi menangani persepsi liar sebelum ini,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau turut yakin SPRM sebuah badan yang berintegriti dan menjalankan tugas secara professional.

  • Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat

    Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin akan memberi fokus kepada isu perumahan di Pahang dengan menjalankan peranan semak dan imbang selain memberikan input bagi mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.

    Beliau yang diberikan peranan untuk menjaga portfolio berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan berterima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) Pahang kerana menubuhkan portfolio kepada semua 17 ADUN gabungan itu.

    Menurutnya, beliau akan menjalankan amanah tersebut bagi memastikan wujud elemen semak dan imbang dalam isu perumahan negeri kerana masih ramai rakyat yang belum mempunyai kediaman sendiri.

    “Saya akan fokus kepada isu membabitkan anak-anak muda yang memohon rumah dan sudah bertahun-tahun masih belum dapat dari kerajaan negeri terutama kepada yang kurang berkemampuan.

    “Tumpuan juga akan saya berikan kepada projek perumahan mampu milik, projek rumah murah, perumahan PR1MA dan skim-skim perumahan kerajaan negeri yang ada.

    “Saya menyarankan supaya dilihat dan dikaji semula prosedur pemilihan dan kelayakan pemohon supaya kerajaan telus dalam pemberian tanpa mengira ideologi politik,” katanya dalam kenyataan.

    Baru-baru ini, PN Pahang menubuhkan 18 portfolio tumpuan dipegang semua 17 ADUN gabungan berkenaan di negeri ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, portfolio tumpuan itu bertujuan membayangi kerja-kerja dijalankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri.

    Kata Saifuddin, penubuhan portfolio tumpuan itu sebagai suatu petanda bahawa PN Pahang serius untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di negeri ini.

    Mengulas lanjut, Jasri berkata, beliau juga akan memberikan fokus kepada projek Perumahan Generasi Kedua Felda yang banyak masih belum siap di tanah rancangan di negeri ini.

    “Saya harap dapat memberi input berguna dan konstruktif kepada kerajaan negeri terutama Exco yang menjaga portfolio perumahan bagi mencari penyelesaian terbaik isu-isu berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama, maklumat-maklumat berkaitan, status terkini perumahan negeri untuk sama-sama kita memajukan negeri seperti yang disarankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri yang lalu,” katanya, lapor BeritaBersatu.

  • ‘Isytihar sahaja PN tidak boleh guna fasiliti kerajaan di Pahang’ – Jasri

    ‘Isytihar sahaja PN tidak boleh guna fasiliti kerajaan di Pahang’ – Jasri

    KERAJAAN UMNO-DAP di Pahang dicabar mengisytiharkan peraturan melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda kerajaan tersebut benar-benar mempunyai maruah dan integriti.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu juga akan memudahkan penjawat awam pun menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka.

    “Kalau Menteri Besar UMNO-DAP mempunyai maruah dan integriti, isytiharkan saja Perikatan Nasional dilarang menggunakan fasilities dan kemudahan kerajaan. Hanya DAP sahaja yang dibenarkan.

    “Penjawat awam pun mudah untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau mengulas tindakan menarik balik kebenaran penggunaan Dewan Tun Razak Temerloh kepada Perikatan Nasional bagi mengadakan jamuan kenduri rakyat.

    Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.

    Jasri berkata, tindak-tanduk kerajaan UMNO-DAP Pahang jelas menggambarkan minda mereka masih ditakuk lama.

    “Jangan menafikan hak pengundi-pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional. Rakyat Melayu Pahang adalah ‘Puak Beraja’.

    “Kamu diberi mandat dan amanah oleh Istana untuk mentadbir secara profesional, jujur dan saksama. Menafikan hak mereka samalah menkhianati amanah dan mandat yang diberi,” katanya.

    Jasri menambah, masa berpolitik sudah habis dab pilihan raya sudah pun selesai.

    “Fokuslah untuk memajukan negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.