Tag: Jakim

  • Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

    Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.

    Katanya Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau.

    “Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa maka Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid serta surau,” kata Hakimah.

    Semalam, Mohd Na’im dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Hakimah dan Luqman bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.

    Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

    Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini. – BERNAMA

  • Jakim siasat pegawainya berceramah kutuk kerajaan

    Jakim siasat pegawainya berceramah kutuk kerajaan

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung video ceramah tular daripada seorang pegawainya yang dipercayai menimbulkan reaksi tidak senang orang ramai.

    Jakim menerusi kenyataan berkata, kakitangan berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, Jakim juga sudah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.

    “Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan yang juga seorang penceramah mengutuk Kerajaan Perpaduan.

    Ceramah berkenaan juga dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu yang mengandungi perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan bahan politik sebuah parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

    Tindakan berkenaan mengundang ketidakpuasan hati netizen yang mengecam tindakan penceramah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan mengutuk kerajaan.

  • UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    TARIKH Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek UPKK Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ini dipinda ke 5 Dis depan.

    Perubahan tarikh itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengisytiharkan 28 Nov sebagai cuti umum.

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata ia amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan serta menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK 2022.

    Tarikh pelaksanaan UPKK sebelum ini ditetapkan bermula dari 28 Nov hingga 1 Dis. – BERNAMA

  • Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    TARIKH pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) (Bertulis) yang dijadualkan pada 14 hingga 17 Nov depan dipinda kepada 28 Nov hingga 1 Dis berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata ujian Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) pada 14 Nov dipinda ke 28 Nov serta Sirah Jawi dan Khat pada 15 Nov kepada 29 Nov.

    Selain itu, Adab pada 16 Nov kepada 30 Nov dan Lughah Al-Quran pada 17 Nov kepada 1 Dis.

    “Pindaan ini dibuat bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan PRU15 yang berlangsung pada 19 Nov,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Jakim hari ini.

    Menurutnya Jakim amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan UPKK kali ini. – BERNAMA

  • Tular gula-gula bergelatin babi berlogo halal, ini nasihat Jakim

    Tular gula-gula bergelatin babi berlogo halal, ini nasihat Jakim

    HEBOH dalam kalangan pengguna media sosial, semalam apabila dikhabarkan terdapat satu jenama gula-gula yang mengandungi unsur babi tetapi mempunyai tanda halal pada pembungkus.

    Memetik laporan portal Gempak, menerusi ciapan yang dihantar oleh sebuah akaun di sebuah Twitter itu, kelihatan ‘gelatin babi’ tercetak dalam senarai bahan-bahan selain bahan-bahan lain yang biasa digunakan bagi pembuatan gula-gula.

    Hal ini bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan netizen tertanya-tanya, bagaimanakah gula-gula tersebut boleh dijual di pasaran.

    Lebih membimbangkan, gula-gula berkenaan juga dijual dengan terbuka di sebuah platform beli-belah online.

    Menerusi ruangan balas, kelihatan netizen berbincang mengenai perkara berkenaan dan mencadangkan supaya laporan kepada pihak berwajib dibuat.

    “Kena check logo tu. Logo halal itu bukan logo yang diiktiraf oleh Jakim. Nampak sangat mereka letak sahaja logo di situ. Buat laporan,” katanya.

    Dalam pada itu, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

    Penggunaan logo halal tersebut katanya adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.

    Tambahnya, pengguna Muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum membuat sebarang pembelian.

  • Konsert artis Barat: Hanya wakil JAKIM bantah, agensi lain lulus

    Konsert artis Barat: Hanya wakil JAKIM bantah, agensi lain lulus

    HANYA wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membantah penganjuran konsert artis Barat dalam sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi baru-baru ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semasa mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya kesal kerana penganjuran konsert berkenaan diluluskan agensi kerajaan berkaitan.

    Katanya, beliau difahamkan hanya wakil JAKIM yang menentang keras manakala 15 agensi lain menyokong penganjuran konsert berkenaan.

    “Saya menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan JAKIM berdiam diri mengenai penganjuran konsert itu malah menjadi satu-satunya pihak yang paling lantang menolak kelulusan penganjurannya dalam Mesyuarat Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya ketika hadir menyertai Hijrah Merdeka anjuran JAKIM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersempena Ambang Merdeka 2022 semalam.

    Yang turut hadir, timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

    Pada program itu Idris turut menyampaikan tausiyah atau nasihat keagamaan sebagai perasmian kemuncak program yang dihadiri kira-kira 3,000 jemaah.

    Isu penganjuran konsert luar ini mula menjadi kontroversi susulan persembahan penyanyi dari Amerika Syarikat, Billie Eilish pada 18 Ogos lalu di Stadium Bukit Jalil yang mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

    Antara pihak yang membantah termasuk Gerakan Belia 4B Kebangsaan menyelar PUSPAL kerana meluluskan konsert itu meskipun penyanyi itu dikenali sebagai penyokong rejim Israel dan gerakan songsang LGBT.

    Idris berkata, pihaknya sudah mencuba yang terbaik sejak dari awal lagi demi kepentingan umat Islam kerana ia tidak memenuhi piawaian garis panduan ditetapkan JAKIM.

    Menurutnya, beliau menolak dakwaan segelintir pihak terutama bukan Islam yang menyatakan kononnya agensi tersebut sebagai anti kepada seni hiburan dan nyanyian artis luar.

    “Tiada halangan sekiranya persembahan itu menepati garis panduan seperti penyanyi Maher Zain atau Opick yang pernah mengadakan siri jelajah konsert di seluruh negara.

    “Bakat suara adalah anugerah Allah SWT dan ajaran Islam tidak melarang persembahan asalkan tidak melanggar batas ditetapkan syarak,” katanya.

  • Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    KEWUJUDAN pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

    “Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

    “Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

    “Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

    “Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

    Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu, Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Okt ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

    “Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. – BERNAMA

  • Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum atau enggan menerima vaksin Covid-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan perkara itu akan dilakukan di peringkat pengurusan Jakim dalam tempoh terdekat.

    ‘Justeri kita menasihatkan agar semua guru KAFA tidak menolak daripada mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan semua pihak khususnya golongan murid.

    “Saya nasihatkan (guru-gura KAFA) supaya ambil vaksin. Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat hari ini, ramai orang meninggal dunia disebabkan COVID-19 daripada meninggal dunia (disebabkan) kena vaksin.

    “Bab ini (vaksin) saya tidak boleh hurai panjang kerana bukan bidang kuasa saya, kepakaran itu (pada) bahagian KKM (Kementerian Kesihatan). Perkara ini akan dibincangkan di pihak bahagian pendidikan yang kendalikan KAFA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dari tiga perkampungan di Taiping, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Jakim akan mengambil langkah sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap guru KAFA yang masih atau enggan divaksin.

    Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan, seramai 2,500 guru yang enggan atau belum divaksin tetap perlu ke sekolah namun akan diberi tugasan lain yang tidak membabitkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.

  • Permohonan sijil halal susah, mahal persepsi salah – Jakim

    Permohonan sijil halal susah, mahal persepsi salah – Jakim

    DAKWAAN yang mengatakan proses permohonan mendapatkan pensijilan halal susah, lambat dan mahal adalah satu persepsi yang salah.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat bumiputera telah memperoleh pensijilan halal Malaysia dan masih aktif sehingga kini.

    Persepsi orang ramai bahawa permohonan mendapatkan pensijilan halal susah, lambat dan mahal adalah tidak benar, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

    Beliau berkata statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat bumiputera telah memperoleh pensijilan halal Malaysia dan masih aktif sehingga kini.

    Menurutnya, Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri komited untuk merancakkan perkembangan industri halal di Malaysia terutamanya yang melibatkan usahawan bumiputera serta pembangunan industri kecil dan mikro yang lengkap dengan pakej produk bersama pensijilan halal Malaysia.

    “Banyak permohonan yang berjaya dikendalikan dalam masa kurang daripada tempoh 30 hari dan ini dapat dicapai apabila keperluan pensijilan dipenuhi dengan baik.

    “Melalui saluran maklumat dan bimbingan yang betul, kita akan dapat merancakkan perkembangan industri halal dan juga perkembangan yang positif bagi pensijilan halal Malaysia di peringkat global,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Persidangan Meja Bulat bersama Agensi Pembimbing Usahawan secara maya hari ini.