Tag: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

  • Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa sembilan jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan terjadual seberat 43.1 tan susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara di Alor Gajah, hari ini.

    Komander operasi Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan treler yang membawa muatan serbuk kuprum dan aluminium itu pada 2.56 pagi tadi.

    “Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Ayer Keroh termasuk Pasukan HAZMAT digerakkan ke lokasi dan mendapati treler berkenaan terbabas di bahu jalan.

    “Pihak bomba juga mendapati dua lelaki iaitu pemandu treler berusia 29 tahun bersama kelindannya berusia 31 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkhairani berkata, Pasukan HAZMAT telah mengambil bacaan tahap pencemaran di lokasi tersebut dan mendapati keadaan di kawasan itu selamat.

    “Operasi ditangguhkan sementara disebabkan hujan. Kami perlu memastikan bahan tersebut dalam keadaan kering kerana dikhuatiri sisa buangan kimia itu akan memanas dan beracun apabila terkena air. Anggota turut bertindak menutup tumpahan bahan kimia itu dengan menggunakan kanvas kalis air.

    “Operasi disambung semua pada 12 tengah hari tadi bagi memindah dan membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan itu,” katanya. – BERNAMA

  • Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    SEORANG pemandu treler maut manakala kelindannya cedera selepas treler muatan tepung seberat 20 tan terbalik ke bahu jalan di KM 24 Bukit Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata dalam kejadian pada 7.38 pagi itu, pemandu treler Adzri Mat, 43 maut di tempat kejadian manakala kelindannya Mohd Nazran Hakim, 20, cedera akibat tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan rescue tool dan power unit untuk mengeluarkan mangsa dan kelindan yang tersepit. Treler itu dalam perjalanan membawa muatan tepung dari Gerik ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan serta polis untuk tindakan selanjutnya dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik. – BERNAMA

  • 2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    DUA kanak-kanak ditemukan lemas di sebuah bekas lombong di Kampung Sisik, Tanjung Resang di Mersing, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Wilton Callos, 4, dan rakannya Medical Micaella, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.16 petang sebelum lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Semasa kejadian mangsa bersama-sama ibunya dan adik-beradik serta jiran dan anak-anak telah pergi ke lombong pasir tersebut untuk tujuan berkelah.

    Beliau berkata, pihaknya bertindak melakukan pencarian dua kanak-kanak itu di permukaan lombong sebelum kedua-duanya dijumpai oleh bapa kepada salah seorang mangsa pada jarak kira-kira empat kaki dari tebing terbabit.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.

    Mohd Alias berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik anggota tentera dan operasi ditamatkan pada 7.28 malam. – BERNAMA