Tag: isteri

  • Kes rasuah Guan Eng, isteri, termasuk rakan niaga dipindah ke Mahkamah Tinggi

    Kes rasuah Guan Eng, isteri, termasuk rakan niaga dipindah ke Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang dijadualkan mendengar perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng, isteri, Betty Chew dan rakan niaganya, Phang Li Koon.

    Difahamkan, kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Butterworth ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semasa pengurusan kes pada 23 Mac lalu.

    Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei. Mahkamah dijangka merekodkan pengakuan mereka pada hari itu.

    Lim, Chew, dan Phang didakwa pada 11 Ogos 2020 atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung penganugerahan projek kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan Phang bagi pembinaan asrama pekerja asing, bernilai RM11.6 juta.

    Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kerana salah guna kuasa sebagai ketua menteri dan pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

    Dia didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd dengan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan projek membina asrama di Juru dan Batu Kawan.

    Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009. Kesalahan itu didakwa berlaku antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

    Chew didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya, antara 7 Okt 2013 dan 3 Mac 2016.

    Ketiga mereka dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin.

    Lim sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli memberikan 10 peratus komisyen keuntungan melibatkan kes rasuah terowong dasar laut.

    Bekas Menteri Kewangan itu juga didakwa meminta sogokan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek itu.

    Beliau juga menghadapi dua pertuduhan menyeleweng dua tanah bernilai RM208.7 juta milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang diberikan kepada dua syarikat secara tidak jujur.

    Perbicaraan rasuah terowong dasar laut disambung semula, pada 17 Julai.

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • Polis tembak mati isteri

    Polis tembak mati isteri

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Kopral menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa telah berlaku tembakan di rumah suspek.

    “Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

    Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.

    “Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

    “Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

    Yusharifuddin berkata mayat mangsa telah dibawah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

    “Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Isteri Tun Daim meninggal dunia

    Isteri Tun Daim meninggal dunia

    ISTERI kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Mahani Idris dilaporkan meninggal dunia, malam tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, berita pemergian Toh Puan Mahani itu disampaikan sumber rapat dengan keluarga Allahyarham.

    Namun begitu, punca pemergian Allahyarham tidak dikenal pasti.

    “Dengan berat hati ingin memaklumkan kepada semua bahawa Mami (Toh Puan Mahani Idris) telah kembali dengan aman kepada Yang Maha Esa,” menurut sumber rapat itu.

    Difahamkan jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi ini.

    Jenazah Allahyarham kemudiannya akan disembahyangkan di Surau Hidayat, Seri Kembangan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

    Allahyarham meninggalkan lima orang anak.

  • Jurukimpal didakwa bunuh lelaki warga emas

    Jurukimpal didakwa bunuh lelaki warga emas

    SEORANG jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di Kajang, minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Chin Ngit Soon, 51, yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Chin didakwa membunuh Wong Kim Miew, 71, pada 11.50 malam, 25 Nov lepas.

    Majistret Syahrul Sazly Md Sain menetapkan 13 Jan ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala Chin tidak diwakili peguam.

    Pada 26 Nov lepas, media melaporkan Chin dan isterinya berumur 45 tahun ditahan di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur kira-kira 1.30 pagi selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital itu berhubung seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian badan dan paha akibat ditikam. – BERNAMA

  • Isteri, anak tiri cincang lelaki sehingga 22 bahagian kerana curang

    Isteri, anak tiri cincang lelaki sehingga 22 bahagian kerana curang

    POLIS New Delhi menahan seorang ibu dan anaknya selepas membunuh suami sendiri dengan memotong badan dan menyimpan dalam peti sejuk sebelum melupuskannya.

    Mangsa, Anhan Das adalah penduduk di perkampungan Pandav Nagar dan menetap bersama isterinya, Poonam serta anak tirinya, Deepak.

    Polis menahan kedua-dua suspek selepas menjumpai beberapa bahagian badan termasuk dua tangan, dua paha, tengkorak dan lengan di kawasan Trilokpuri, Kalyanpuri dan Pandav Nagar.

    Identiti mangsa dikenal pasti selepas polis menjalankan siasatan dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan ibu dan anaknya bergerak membawa beg ke tanah terbiar.

    Selepas siasatan lanjut, kedua beranak tersebut mengaku melakukan jenayah kejam itu dan mendakwa suaminya menjalinkan hubungan sulit.

    “Pada 30 Mei, mereka meletakkan pil tidur dalam minuman Anjan dan kemudian mengelar lehernya. Mereka meninggalkan mayat dalam rumah selama sehari bagi membuang darah sepenuhnya.

    “Kemudian mereka memotong badan kepada beberapa bahagian. Setakat ini polis hanya menemui enam bahagian,” kata polis, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Media tempatan melaporkan kedua-dua suspek mengecat rumah selepas menyimpan mayat dalam peti sejuk untuk mengelakkan bau busuk.

    Difahamkan, pasangan tersebut berkahwin pada 2017 dan kerap bergaduh.

  • Isteri, adik ipar bersubahat tetak, pukul bunuh suami sendiri hingga mati

    Isteri, adik ipar bersubahat tetak, pukul bunuh suami sendiri hingga mati

    POLIS menahan dua individu kerana terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Seksyen 25, Shah Alam, pada tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek berkenaan ialah isteri serta adik kandung kepada mangsa bunuh berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh selepas kedua-dua suspek berang kerana mangsa sering mabuk.

    “Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian dengan lima tetakan di belakang kepala, satu kesan lebam di badan, koyakan di bibir dan bengkak di pipi disyaki akibat dipukul senjata tumpul.

    “Difahamkan, isteri mangsa turut memukul mangsa yang mabuk hingga rebah kerana berang dengan sikap mangsa yang kaki mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, kedua-dua suspek iaitu wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 3 petang semalam iaitu dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dibunuh.

    Beliau berkata, siasatan ketika ini mendapati kedua suspek dipercayai bersubahat kerana marah dengan sikap mangsa serta tidak mempunyai sebarang hubungan sulit.

    Menurutnya, mangsa dan isteri sudah berkahwin selama 18 tahun serta mempunyai tiga anak berusia antara 4 hingga 16 tahun manakala suspek lelaki adalah pelajar kolej swasta yang baru saja tinggal di rumah abangnya sejak enam bulan lalu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua saspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

    “Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan S. V. Kumar di talian 012-8377756,” katanya.

  • Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.

    Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.

    Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

    Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.

    Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.

    Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.

    Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.