Tag: Ismail Sabri Yaakob

  • ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” yang mendakwa beliau “merancang sesuatu” dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini.

    Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Disember lalu.

    “Kalau nak fitnah orang pun biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen, saya tak keluar negara. Maknanya saya dalam negaralah.

    “Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga naib presiden UMNO tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

    Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu yang tidak dikenali, mendakwa Ismail Sabri dan pemimpin UMNO yang tidak hadir mesyuarat MKT UMNO pada malam itu, berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu.”

    Menggelarkannya sebagai “Langkah Jakarta”, Muhyiddin juga dikatakan turut berada di sana.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Mahdzir.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau berada di Bera ketika mesyuarat MKT dan makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika itu.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi berkenaan.

    Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail Sabri, beliau berada di kawasan parlimennya di Bera, Pahang untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal Rainforest Challenge International (RFC).

    Dakwaan sedemikian bukanlah yang pertama kali.

    Ismail Sabri dan beberapa pemimpin BN sebelum ini turut didakwa dalam pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain sebelum ini.

    Khabar angin seperti itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

  • Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur dari parti.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.

    “Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan. Saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan.

    “Mungkin untuk kebaikan parti, presiden mesti memikirkan masa depan parti, sama ada perlu kekal kerana dia menang pemilihan dan tak boleh dipecat begitu saja. Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat presiden.

    “Tapi presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti). Presiden perlu memikirkan demi masa depan parti dan jangan menutup telinga (desakan) Ketua Bahagian UMNO, pemuda. Setiap hari kita dengar macam-macam desakan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, ramai pemimpin UMNO dan ahli akar umbi parti mendesak supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya, selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

  • Gabungan PH-BN: Ismail Sabri sedia dipecat dari UMNO?

    Gabungan PH-BN: Ismail Sabri sedia dipecat dari UMNO?

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan tidak bersetuju dengan gabungan BN-PH dan sedia dipecat.

    Menurut sumber, Ismail Sabri mendedahkan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

    “Saya sedia dipecat. Tidak akan bersama PH,” tulis Ismail Sabri dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang turut dilihat Suara.TV.

    Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi ini turut bertegas dengan pendiriannya menolak kerjasama bersama PH.

    Ahli Parlimen Sembrong itu juga bersedia sekiranya dipecat parti kerana menyatakan pendiriannya.

    Pemimpin UMNO pada pagi ini mengadakan pertemuan bersama pimpinan PH di Hotel Seri Pacific.

    Difahamkan pertemuan kedua-dua parti itu dibuat bagi membentuk kerajaan persekutuan.

    Zahid mendakwa, seramai 26 Ahli Parlimen BN akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

    Ketika ini, kerajaan negeri di Perak dibentuk hasil daripada gabungan BN dan PH.

    Perkara sama juga difahamkan akan berlaku di Pahang.

  • Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) BN.

    “Presiden tiada hak, biro politik pun tiada hak. Hanya MT BN saja boleh membuat keputusan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Ismail Sabri bersama beberapa kepimpinan BN dilihat sudah tiba di Hotel Seri Pacific, dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan PH bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan campuran.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sudah tiba di Hotel Seri Pacific bagi tujuan itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat sudah tiba.

    Ketika ditanya mengenai jemputan pertemuan ini, Ismail Sabri berkata, beliau dijemput Setiausaha UMNO Pahang.

    “Semua Ahli Parlimen Pahang dijemput,” katanya.

  • Tol percuma seluruh negara 18 dan 19 November ini – PM

    Tol percuma seluruh negara 18 dan 19 November ini – PM

    SEBANYAK 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju memberikan tol percuma pada 18 dan 19 November ini yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

    “Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, sebanyak 30 konsesi lebuh raya bersetuju tawar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU-15.

    “Tol bermula itu bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November,” katanya ketika merasmikan pecah tanah Wisma CUEPACS Putrajaya di Putrajaya, hari ini lapor UtusanTV.

  • PM cuba guna alasan banjir henti PRU-15 dakwa Anwar

    PM cuba guna alasan banjir henti PRU-15 dakwa Anwar

    KENYATAAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang keperluan untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika berlaku banjir besar, menunjukkan pandangan dan kegusaran ramai pihak sebelum ini.

    Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau melihat itu mungkin antara alasan yang akan diguna pakai selepas melihat prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada tahap rendah ketika ini.

    Bagaimanapun Anwar berkata, beliau mengharapkan agar banjir besar itu tidak berlaku, atau kesalahan harus diletakkan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.

    “Sebab tu kita kata dengar pandangan orang, pandangan pakar. Jangan jadi Perdana Menteri yang lemah sehingga kena ikut arahan UMNO. Kalau pun arahan baik tak apa.

    “Kamu dah buat silap besar. Setelah penamaan calon baru terfikir ada kemungkinan ini. Saya harap tidak berlaku insya-Allah,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

    Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mahu menghentikan PRU15, seandainya negara dilanda banjir besar.

    Beliau berkata, persediaan bagaimanapun telah dilakukan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen berlaku dengan melibatkan semua agensi di seluruh negara.

    “Kita akan bincanglah dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan berbincang, tiada menteri yang terlibat kerana kerajaan caretaker.

    “Mungkin saya akan panggil semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya untuk berbincang SPR pun boleh beri pandangan, kalau SPR nak menghentikan pilihan raya itu terserah kepada SPR, kerana pilihan raya adalah keputusan SPR,” katanya lagi.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon Parlimen Tambun berkata, beliau berpandangan kenyataan itu seperti satu helah untuk menyelamatkan UMNO dan BN darpada potensi kekalahan dalam PRU kali ini.

    “Ini keadaan yang diusulkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri. Maknanya mencari helah. Kalau tengok kenyataan, saya fikir UMNO dan BN tahap paling rendah sekarang.

    “Apa keputusan itu berdasarkan data dan kenyataan yang tentunya kita terpaksa dukung? Atau angka kemungkinan disuarakan itu dilihat prestasi UMNO dan BN itu dah mula ranap, dah mula merudum?” soalnya lagi, lapor Astro Awani.

    Anwar mendakwa, sekiranya negara terpaksa menghadapi darurat akibat bencana banjir, maka rakyat berhak untuk menilai dan menghukum Ismail Sabri atas kecuaiannya dalam membuat dasar dan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

  • ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    “Saya masih lagi ‘poster boy’ dan calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) selepas PRU15 (pilihan raya umum ke-15),” kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana menteri sementara itu berkata, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu diputuskan secara jelas dalam Persidangan Agung UMNO 2021 serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO April lepas.

    “Setakat ini, tidak ada keputusan daripada MKT Umno mengatakan sebaliknya (tukar calon perdana menteri) dan baru-baru ini lebih 156 daripada 191 bahagian UMNO membuat usul mencadangkan saya sebagai calon perdana menteri.

    “Perkara itu (calon perdana menteri) tidak ‘reversed’ dan tak ada mesyuarat (dalam parti) yang memutuskan sebaliknya (tukar calon perdana menteri), maka apa yang diputuskan sebelum ini kekal,” katanya selepas hadir di pusat penamaan calon bagi Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu turut menafikan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon perdana menteri selain beliau selepas pilihan raya, yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon Umno seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

    Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, surat yang ditandatangani calon pada pilihan raya kali ini untuk memastikan tiada yang bertindak melompat parti selaras Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    “Kalau dulu, surat itu seperti surat peletakan jawatan kita sebagai ahli Dewan Rakyat atau ADUN, kalau kita melompat parti lain. Itu dulu, tapi sekarang sejak ada akta anti-lompat parti, kita punya SD (surat akuan bersumpah) berdasarkan akta itu,” katanya.

    Mengenai spekulasi wujud kerjasama atau pakatan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, Ismail secara ringkas berkata:

    “Saya tak pasti…kita tak dengarlah perkara itu…spekulasi (timbul) macam-macam” katanya lapor Free Malaysia Today.

  • ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    “SEMUA layak tetapi adakah mereka mampu menguruskan negara? Adakah mereka faham apa sebenarnya yang negara hadapi ketika ini?.”

    Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara berhubung lawan-lawannya sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    Tidak menidakkan keupayaan calon-calon Perdana Menteri daripada setiap parti, namun Muhyiddin yang berpengalaman mentadbir negara ketika tempoh paling sukar semasa pandemik melanda negara dilihat mempunyai kelebihan.

    Menurut Muhyiddin yang diletakkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN memenangi PRU-15, negara memerlukan anjakan besar untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang disifatkannya kritikal.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, tahun hadapan akan menjadi lebih sukar apatah lagi ramalan Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi bakal berlaku.

    “Saya tidak mahu pertikai keupayaan rakan-rakan sebelah sana, siapa bakal calon Perdana Menteri.

    “Tidak adil untuk saya katakan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak layak, Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak layak, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak layak.

    “Namun bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah? Seberapa pantas anda selesaikan? Lima tahun? Tak mungkin. Paling lama kita ada kira-kira dua tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam temubual bersama UtusanTV, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, proses pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian dan dilakukan sepantas mungkin.

    Jelas beliau, Perdana Menteri selepas PRU-15 juga mesti berkeupayaan untuk menguruskan kedudukan kewangan negara yang terjejas pasca COVID-19.

    “Adakah mereka tahu kedudukan kewangan kerajaan? Bagaimana nak mengurus? Nak curi macam 1MDB? Wallahi, jangan. Berdosa besar.

    “Jadi bagaimana? Anda perlu tahu bagaimana, dasar fiskal, kewangan kerajaan, bagaimana menjana pendapatan. Ini bukan perkara kecil.

    “Saya dah melalui banyak pilihan raya, mungkin sembilan ke 10 pilihan raya. Sebelum ini bolehlah ramalkan Barisan Nasional (BN) menang.

    “Kali ini jika BN menang, maknanya negara akan merudum jatuh,” jelas beliau.

  • Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka, sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Perdana menteri sementara itu berkata, debat bukan “bukan budaya kita” dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

    “Bukan budaya kita, dia tak datang apa-apa hasil. Kalau bagi debat, dia akan sebut janji dia bulan bintang akan sebut, jadi tak perlu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini lapor Free Malaysia Today.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya cadangan Anwar supaya tiga calon perdana menteri PH, PN, dan BN untuk mengadakan debat secara terbuka.

    Pada 20 Okt, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.

    Anwar merupakan calon perdana menteri bagi PH, manakala Muhyiddin Yassin calon bagi jawatan itu bagi PN.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan dibentuk berdasarkan kepercayaan diberikan rakyat.

    “Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing berkempen,” katanya.

    Ismail Sabri ketika ditanya mengenai persediaan senarai calon BN untuk menghadapi PRU, berkata pimpinan tertinggi parti itu sudah mendapat pembentangan mengenai senarai calon dari setiausaha parti negeri.

    Bagaimanapun, pihaknya akan membuat saringan sekali lagi termasuk semakan di Mahkamah Syariah.

    “Kita akan buat saringan dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi.

    “Mungkin kali ini pejabat agama, pejabat kadi (kalau ada) kahwin siam, timbul isu nanti. (Ia termasuk) isu nafkah anak tak bayar, (atau) ada pertuduhan dari Mahkamah Syariah,” katanya.

  • ‘Yalah, you help me I help you okay-lah’ – Ismail Sabri

    ‘Yalah, you help me I help you okay-lah’ – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji akan meluluskan semua permohonan penjaja dan peniaga kecil sekiranya beliau dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata demikian ketika berucap kepada ribuan penjaja dan peniaga kecil di Dataran Merdeka hari ini.

    Ismail Sabri dalam ucapan itu menggesa supaya komuniti penjaja dan peniaga kecil membantunya apabila tiba gilirannya meminta bantuan mereka.

    “Penjaja sentiasa dekat dihati saya, saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya sekolah rendah lagi.

    “Saya menjadi penjaja jual limau di kaki lima, jual ikan di pasar minggu pekan sehari Temerloh.

    “Apa yang penjaja bangkitkan saya faham sebab saya pernah menjadi penjaja. Hidup saya sama dengan penjaja.

    “Apa yang penjaja rasa, saya dah melalui dulu sebab tu setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

    Ismail Sabri memberitahu baru-baru ini beliau menerima surat daripada persatuan penjaja, memintanya menjadi penaung.

    “Saya dengan ini bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia.

    “(Selaku) penaung, kita akan jumpa dengan persatuan, akan bantu persatuan penjaja.

    “Saya cuma minta kalau saya pohonkan bantuan, tolong bantu saya.

    “Terima kasih, warga penjaja akan gunakan hak mereka 19 Nov dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh bantu dan membela nasib penjaja,” katanya.

    Terpulang tafsiran

    Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjawab secara terperinci apakah jenis bantuan yang akan beliau minta daripada komuniti penjaja.

    Apabila diminta untuk mengulas lanjut, beliau memberitahu media bahawa ia terpulang kepada tafsiran orang lain.

    Ketika ditanya jika ia boleh ditafsirkan sebagai ‘saya tolong awak, awak tolong saya’ (you help me, I help you), Ismail Sabri menjawab “Yalah you help me I help you okay-lah.”

    “Terserah kepada mereka untuk membuat atau beri pandangan mereka apa maksud itu,” jelas perdana menteri sementara itu.