NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Yaakob menafikan wujud ‘Langkah St Regis’ atau rundingan pintu belakang yang diatur beliau dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, rundingan yang dilakukan dengan PN di hotel berkenaan yang disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Zambry Abdul Kadir adalah perbincangan rasmi yang dipersetujui Dewan Tertinggi parti.

“BN pergi ke Hotel St Regis mengadakan perundingan dengan PN. Maka, tidak timbul Langkah St Regis seperti didakwa. Itu menipu malah, Dr Zambry sendiri hadir dalam rundingan itu.

“Pertemuan itu adalah rasmi. Sebelum itu, kami berunding dengan PH seperti dilihat di Hotel Seri Pacific. Kita sampaikan permintaan dan syarat kita. Saya tidak hadir kerana menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Melalui dua rundingan itu, PH setuju semua permintaan BN, manakala PN menyatakan satu dua permintaan seperti jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri mereka mahu rundingkan semula,” katanya dalam temubual bersama Berita Harian, baru-baru ini.

Pada Perhimpunan Agong UMNO 2022, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud usaha menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi BN ketika proses rundingan pembentukan kerajaan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, Ahmad Zahid mendakwa wujud juga rundingan pintu belakang yang diatur dengan PN dikenali sebagai ‘Langkah St Regis’ yang turut mendedahkan tindakan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Dewan Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk menjadi pembangkang buat sementara waktu selepas tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Beliau menjelaskan turut diputuskan BN mahu mengadakan rundingan dengan kedua-dua parti iaitu PN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum membuat keputusan seterusnya.

Turut didedahkan keputusan menyertai PH itu masih tidak dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO mengenai Langkah St Regis itu sebagai usaha merosakkan nama ‘Geng 10’ yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin.

“Dengan dua keputusan berbeza daripada PH dan PN, maka semua MP setuju kekal dengan keputusan berkecuali dan mewakilkan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, apabila mereka pergi, mereka memberitahu MKT, Yang di-Pertuan Agong meminta parti menyertai Kerajaan Perpaduan dan ini diterima MKT UMNO.

“Perkara ini sepatutnya dibawa kepada BN sebab kita bertanding atas tiket BN. Ini tidak berlaku menyebabkan MCA dan MIC enggan menerima sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here