Tag: Islamofobia

  • Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA ingin mengingatkan pihak tertentu agar tidak berterusan menyalakan api Islamofobia dengan tuduhan yang melulu terhadap mereka yang memperjuangkan agama. Gesaan seorang pemimpin utama PKR menyerang golongan yang berpolitik berpandukan agama ibarat menentang seruan yang dianjurkan di dalam al-Quran sendiri.

    Sayugia diingatkan bahawa Islam adalah agama bernegara dan politik adalah jalan mentadbir urus negara dengan agama. Politik menjadi tunjang agama malah sebahagian besar para Rasul dan Sahabat utama Nabi S.A.W merupakan ahli politik. Justeru, tidak layak bagi seseorang memperkecilkan hubungan politik dan agama.

    Namun, tidaklah menghairankan bagaimana Islamofobia cuba dihalakan kepada perjuangan Islam dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Kita sedar mereka cuba mensudutkan perjuangan agama dengan gelaran ekstremisme yang menyeleweng.

    Tuduhan ekstrem dan usaha membangkitkan Islamofobia oleh pemimpin lawan adalah ‘grand design’ ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung. Kesemua ini dilakukan demi memastikan ‘swing voters’ selepas kekalahan besar PH dalam kalangan pengundi muda dan Melayu-Islam.

    Walau bagaimanapun, ia tidak mampu mengubah perspektif rakyat yang menilai prestasi semasa Kerajaan Persekutuan secara objektif. Ketiadaan dasar yang coherent, substantif serta bersepadu dalam menyelesaikan permasalahan asas rakyat jelas menunjukkan hala tuju dasar Kerajaan Persekutuan ketika ini semakin tersasar.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat/Ahli Parlimen Pokok Sena

  • Pihak kecam guna replika senjata, kostum terikut Islamofobia, kata Hadi

    Pihak kecam guna replika senjata, kostum terikut Islamofobia, kata Hadi

    PAS menyifatkan pihak yang mengecam penggunaan replika senjata dan kostum tentera Islam semasa perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu sehingga mengundang polemik masyarakat seolah-olah terikut dengan Islamofobia.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa golongan terbabit juga sudah menggambarkan kedudukan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.

    “Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

    “Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa.

    Umat Islam bawa pedang kayu tak boleh,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika hadir Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra Satu Dekad Khidmat Malaysia di sini, malam ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Mengulas lanjut Hadi berkata, malangnya ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan yang cuba digambarkan pihak tertentu itu.

    “Malangnya ada orang yang terpengaruh seolah-olah Islam ini menakutkan. Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” katanya.

    Penggunaan barangan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam.

    Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan apabila tular di media sosial jelas ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    Susulan itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, pihaknya merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

  • Islamofobia: Kaji kesempurnaan Islam, bukan bakar al-Quran, hina Nabi Muhammad

    Islamofobia: Kaji kesempurnaan Islam, bukan bakar al-Quran, hina Nabi Muhammad

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan kajian secara berilmu dan beradab dibuat mengenai Islam supaya tidak timbul Islamofobia.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihak terbabit juga perlu melakukan perbandingan antara Islam dengan agama dan teori yang lain, secara jujur melalui sumber yang asli, bagi mencari kebenaran tanpa bersikap fanatik.

    “Sebarang perubahan daripada undang-undang fitrah (naluri) manusia, pasti menyebabkan berlakunya kepincangan yang akan membawa kemusnahan disebabkan oleh tangan manusia sendiri.

    “Janganlah cuba menyalahkan Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana mengadakan peraturan yang bercanggah dengan fitrahnya, sedangkan perbuatan itu tidak diizinkan Allah SWT sebagai Penciptanya,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, ‘penyakit’ Islamofobia dalam masyarakat bukan Islam di Barat menyebabkan al-Quran dibakar, Nabi Muhammad SAW dicela, masjid dibakar, dan penganut Islam dizalimi.

    Katanya, mereka bertindak menentang Islam atas nama hak kebebasan liberal dan demokrasi, bukan mengkaji dan membaca secara berakal dan beradab ilmuwan, sebaliknya menentang Islam mengikut nafsu dan tidak berakal.

    Selain itu katanya, disebabkan tidak beriman kepada semua Rasul dan kitab suci, maka ada manusia mencipta ajaran baharu yang salah dan tidak sempurna.

    “Ada kalangan mereka yang meminda agama dan kitab suci, kemudian mencipta ajaran sendiri dengan akal yang lemah.

    “Kita menyaksikan bagaimana teori yang dinamakan perjuangan hak asasi itu dipisahkan secara berasingan antara satu sama lain.

    “Terdapat sebahagiannya memperjuangkan hak asasi manusia saja, malah sebahagian yang lain pula memperjuangkan hak asasi binatang atau alam sekitar saja, secara berpisah atau berasingan.

    “Bahkan, dalam urusan kehidupan manusia sendiri, mereka memisahkan politik, ekonomi dan lain-lain aspek kehidupan daripada panduan ajaran Islam yang sempurna,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam hubungan antara satu sama lain sehingga merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    “Kerosakan itu terjadi, sama ada disebabkan pendekatan liberal mahupun pendekatan ekstrem atau pragmatik yang tidak sempurna mengikut fitrah penciptaannya.

    “Hari ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana berlakunya kemusnahan dalam kehidupan manusia, kehidupan makhluk yang lain dan alam sekitarnya, sehingga ia menjadi perbincangan umum di semua peringkat.

    “Walhal, kemusnahan itu adalah disebabkan kerakusan nafsu manusia pada jasadnya, akibat tidak peduli kepada keperluan akal,” katanya.

    Beliau menegaskan, kemusnahan itu juga kerana kehidupan manusia tanpa roh, tanpa ibadat yang berhubung dengan Tuhan pencipta alam, tanpa akhlak dan tanpa sempadan halal serta haram, dalam urusan diri sendiri yang hanya mengikut konsep liberal.

    “Adapun sebahagiannya pula bersikap ekstrem dengan hanya memberikan penekanan kepada satu aspek fitrah sahaja, seperti menumpukan soal agama dari sudut rohani saja atau jasad saja,” katanya, lapor Berita Harian.

    Selain itu, beliau berkata, ada yang menekankan wujud teori ekonomi ciptaan individu saja tanpa memikirkan keperluan masyarakat atau menghalang kebebasan individu.

    “Semuanya menyebabkan kehidupan yang tidak stabil, kerana manusia bukan seperti malaikat mahupun binatang, serta sama sekali bukanlah seperti batu dan kayu,” katanya.

  • Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    ARMADA Bersatu Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Qur’an, kelmarin yang jelas menzahirkan sifat Islamofobia.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan hubungan antara agama dan masyarakat Islam di Eropah, khususnya di Sweden serta membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam yang dahsyat khusus ke atas kaum migran beragama Islam.

    “Kerajaan Sweden perlu mengecam dan mengambil tindakan tegas ke atas Rasmus Paludan dan konco-konconya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

    “Hak kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghinjak maruah dan kesucian agama lain,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor BeritaBersatu

    Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

    Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

  • Didakwa lancar ‘jihad banjir’, Muslim di India dipersalahkan bencana di Assam

    Didakwa lancar ‘jihad banjir’, Muslim di India dipersalahkan bencana di Assam

    HANYA kerana beragama Islam, polis India menahan empat lelaki Muslim di negeri Assam kerana didakwa menjadi punca banjir besar yang melanda kawasan itu pada Mei dan Jun lalu.

    Memetik laporan Saudi Gazette, seorang daripada lelaki itu, Nazir Hussain Laskar ditahan polis pada 3 Julai.

    Dia merupakan seorang pekerja pembinaan di Assam yang membantu membina benteng yang melindungi negeri itu dari banjir sejak beberapa tahun.

    Nazir ditahan polis selepas dia dituduh merosakkan harta awam iaitu benteng penahan banjir yang melindungi penduduk Assam dari Banjir.

    “Saya sudah 16 tahun bekerja dengan kerajaan membina benteng.Mengapa saya perlu saya merosakkannya?,” soalnya.

    Oleh kerana tuduhan tidak berasas itu, Nazir meringkuk dipenjara selama 20 hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

    Tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan bencana itu namun pembebasannya terus mengundang kemarahan di media sosial.

    Dua gelombang banjir melanda Assam pada Mei dan Jun, mengorbankan sekurang-kurangnya 192 orang.

    Walaupun Assam sering dilanda banjir setiap musim monsun, tahun ini hujan turun awal dan lebih lebat daripada biasa.

    Namun bagi sejumlah pengguna media sosial, sesuatu yang tidak kena dengan bencana itu.

    Tanpa bukti, mereka menuduh banjir itu adalah perbuatan khianat manusia dan menuduh kumpulan Islam di bandar Silchar merosakkan benteng penahan banjir.

    Penahanan Nazir bersama tiga yang lain tanpa usul periksa kemudiannya mencetuskan teori kesemua suspek telah melancarkan ‘jihad banjir’.

    Hantaran itu dikongsi ribuan kali termasuk pempengaruh media sosial.

    “Saya amat takut dan tidak dapat tidur. Banduan lain turut memperkatakan tentang jihad banjir dan mungkin kami akan diserang,” katanya.

    Benteng penahan banjir di Sungai Barak rosak pada 23 Mei lalu mengakibatkan banjir buruk kepada penduduk daerah Silchar yang dihuni majoriti penganut Hindu.

    Jurucakap polis Silchar, kerosakan bentng itu satu daripada punca banjir namun ia bukan satu-satunya punca air memasuki bandar.

    Menurut profesor madya Sekolah Pengajian Bencana Jamsetji Tata di Mumbai, Nirmalya Choudhury,banyak kebocoran berlaku pada benteng kerana kurangnya baik pulih dan penyelenggaraan fasiliti berkenaan.

    Polis kemudiannya bersetuju dengan pendapat Choudhury dan akhirnya menolak dakwaan berlakunya jihad banjir.

    Menurut Google Trends, carian untuk “jihad banjir” mencapai kemuncak lima tahun pada bulan Julai, didorong oleh kegilaan media sosial berhubung dakwaan itu.

  • ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Islamofobia sebagai virus yang sama bahaya dengan COVID-19.

    Memetik laporan Agensi Anadolu, Erdogan berkata demikian dalam pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Nasional Turki Amerika di New York City, semalam.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian Turki akan mengambil peranan utama dalam memerangi Islamofobia di platform antarabangsa.

    “Kami sedang memerangi virus maut dan licik. Virus ini yang sama bahayanya dengan coronavirus, dikenali Islamofobia.

    “Virus ini menular dengan sangat cepat,” katanya.

    Erdogan menambah, Islamofobia berubah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.

    Sebelum menyampaikan ucapannya, beliau mengunjungi Turkevi Centre yang terletak di 821 First Avenue di Manhattan berhampiran ibu pejabat PBB yang akan dibuka dalam masa terdekat.

    Erdogan berkata, bangunan pencakar langit 36 tingkat itu adalah monumen kebanggaan yang akan berfungsi tidak hanya sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Muslim Amerika.

    Bangunan yang bermotifkan seni bina tradisional Turki, terutama daripada Empayar Seljuk dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, East River dan Long Island.

    Ia direka sebagai pencakar langit simbolik yang akan menambah latar langit New York, antara bandar paling ikonik di dunia, dan mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.