Tag: Islam

  • Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    KEWUJUDAN pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

    “Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

    “Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

    “Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

    “Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

    Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu, Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Okt ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

    “Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Bersatu teruskan agenda perpaduan politik Melayu-Islam

    PRU-15: Bersatu teruskan agenda perpaduan politik Melayu-Islam

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kemakmuran rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama juga akan diberi perhatian menjelang PRU-15 meskipun agenda perpaduan politik Melayu Islam diangkat sebagai ‘strategi’ parti.

    Pada masa sama beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) juga perlu diperkuatkan supaya gabungan parti itu dapat berfungsi sewajarnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan aspek pemulihan negara.

    “Bagi saya, kita meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, serta biar rakyat membuat penilaian.

    “Fokus kita ialah PN. Kuatkan PN untuk menjaga rakyat dan memulihkan negara. PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, Bersatu selain itu akan terus bergerak bersama pengasas bersama dalam PN iaitu PAS, GERAKAN, SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku).

    Oleh itu katanya, semua parti komponen PN diminta untuk membina jentera pilihan raya secara bersama.

    “Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai dan zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat.

    “Kita mesti bergerak bersama dan mengaturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara. Ia supaya rakyat nampak bahawa kita benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara,” katanya.

    Wan Saiful berkata, PN juga meletakkan standard tinggi pada negara, dengan bertegas dalam isu berkait ketelusan dan integriti, selain menolak salah laku serta penyelewengan.

    “Dalam PN, kita meneruskan komitmen memulihkan negara daripada Covid-19 dan cabaran ekonomi,” katanya.

  • ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    SEORANG pesakit COVID-19 yang memeluk Islam di katil hospital tempatnya menerima rawatan, melahirkan kegembiraan dengan agama baharunya itu.

    “Aku sudah sah Islam,” kata Laimi @ Nur Laila Tinggi, 66, yang berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.

    Itulah reaksinya selepas memeluk agama Islam, seperti yang dikongsikan oleh anak sulungnya Firdaus Fringco Abdullah, 45.

    Sebuah video berdurasi dua minit yang memaparkan Nur Laila mengucap dua kalimah syahadah ketika terbaring di atas katil dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, di hadapan tiga jururawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini, tular sehingga mengundang tanggapan netizen bahawa dia memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

    “Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Firdaus berkata beliau membuat hantaran dalam Facebook untuk menjelaskan tanggapan yang timbul mengenai keadaan ibunya ketika menerima rawatan di HDOK.

    “Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan hal itu menerusi Facebook kerana ibu saya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim.

    “Ibu pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam kerana empat daripada lima anaknya serta beberapa adik-beradiknya juga telah memeluk Islam,” katanya.

    Firdaus berkata beliau telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 Sept lepas ibunya sah bergelar saudara baharu.

    Beliau berkata Nur Laila yang menghidap penyakit buah pinggang dan telah melengkapkan vaksinasi COVID-19, dimasukkan ke hospital pada 4 Sept dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Alhamdulillah, ibu saya semakin pulih dengan tiada lagi batuk dan dia juga boleh merasa makanan sekarang.

    “Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” katanya.

    Firdaus berkata ibunya belum lagi dibenarkan keluar dari hospital dan masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit COVID-19 termasuk sepanjang rawatan ibunya di HDOK itu.

    “Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa. Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” katanya.- BERNAMA

  • Jangan polemik RUU kawalan sebaran agama

    Jangan polemik RUU kawalan sebaran agama

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memperjelaskan tentang penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang disalahertikan oleh segelintir pihak.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

    Timbul isu berkenaan penggubalan Rang Undang-Undang Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang disalahertikan oleh segelintir pihak.

    Polemik ini timbul selepas jawapan soalan tambahan, sesi soalan lisan di Parlimen oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary bertarikh 26 November 2020 yang lepas, yang mana telah disebarkan dan dipetik di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu.

    Jawapan tersebut asalnya adalah penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama, merangkumi penggubalan undang-undang baharu dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta tersebut.

    Pertamanya, berpaksikan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

    Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

    Kedua, kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU ini, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada sesama penganut-penganut agama lain.

    Justeru, pengembangan agama kepada penganut agama selain daripada penganut agama lslam adalah dibolehkan di sisi undang-undang. Hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun RUU ini digubal dan diluluskan.

    RUU ini juga bukanlah suatu perkara baru. Sebanyak 10 negeri di Malaysia telah pun meluluskan enakmen yang sama sejak tahun 1980-an lagi, kecuali empat buah negeri yang masih belum lagi berbuat demikian iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

    Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, sama seperti negeri-negeri.

    RUU yang dicadangkan dalam konteks ini akan diguna pakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja. Bagi negeri-negeri lain yang masih belum menggubal enakmen ini, penggubalannya adalah bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing.

    Proses penggubalan RUU ini tetap sama sahaja seperti RUU-RUU yang lain. la akan mengikut tertib yang sewajarnya. RUU ini tetap memerlukan kepada persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan perlu diluluskan di peringkat Parlimen.

    Saya percaya, JAKIM telah meneliti sebaiknya perkara ini, dan memastikan proses penggubalan RUU ini dibuat mengikut tertib yang betul, serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Saya berharap agar isu ini tidak dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu, sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia.