Tag: inflasi

  • OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    KADAR Dasar Semalaman (OPR) dijangka mengalami dua lagi kenaikan masing-masing 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang memandangkan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023, kata CGS-CIMB.

    Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November 2022 mencerminkan persekitaran permintaan domestik yang mantap pada bulan berkenaan.

    “Kami melihat ini sebagai sokongan kepada kitaran normalisasi kadar berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana pada kenyataannya bulan lalu, bank pusat memberikan amaran yang jelas bahawa tekanan inflasi akan kekal pada 2023,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kenaikan inflasi di Malaysia pada November meningkat 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 4.0 peratus daripada setahun lalu.

    Angka itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan CGS-CIMB.

    Sementara itu, IHP teras menokok 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya dan meningkat 4.2 peratus daripada setahun sebelumnya.

    “Dua komponen yang memacu IHP teras adalah makanan serta hotel dan restoran. Bagi indeks makanan, subkomponen makanan di luar rumah adalah penyumbang utama, meningkat 9.6 peratus dalam tempoh setahun, tertinggi sejak 8 Oktober lalu,” kata CGS-CIMB, lapor Berita Harian.

    CGS-CIMB menyatakan bahawa campur kerajaan terhadap beberapa barangan kawalan, seperti harga ayam, petrol dan tol, sebahagiannya dapat membendung inflasi dalam jangka terdekat.

    Namun, katanya kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan berkuat kuasa pada 23 Januari depan dijangka menyebabkan sedikit kenaikan dalam kadar inflasi utama.

    “Pengiraan kami mendapati kemungkinan IHP akan meningkat sebantak 10 mata asas tahun ke tahun pada 23 Januari depan memandangkan kira-kira 60 peratus pengguna elektrik di negara ini adalah pengguna bukan domestik, dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah bukan PKS,” katanya.

    Ia menambah bahawa pemberat elektrik dalam bakul IHP adalah pada 2.7 peratus, namun kesan pusingan kedua akan menjadi sedikit lebih besar.

    Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran inflasi tahunan 2023 pada 3.0 peratus, sedikit lebih rendah berbanding IHP tahun ini pada 3.3 peratus.

  • Inflasi: Pasaran tak rasional – Ahli Parlimen bidas Rafizi

    Inflasi: Pasaran tak rasional – Ahli Parlimen bidas Rafizi

    AHLI Parlimen Bachok Syahir Sulaiman menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menangani ketidakseimbangan dan gangguan pasaran dalam usaha kerajaan menangani inflasi.

    Ia susulan kenyataan Rafizi semalam bahawa usaha untuk menangani inflasi perlu melibatkan semua pihak, termasuk peniaga dan juga pengguna.

    Kata menteri ekonomi itu, pengguna turut menjadi sebab harga makanan terus meningkat di negara ini apabila orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan peniaga.

    Bagaimanapun, Syahir hari ini berkata konsep “penawaran dan permintaan” hanya terpakai kepada pasaran rasional.

    “Namun YB Rafizi pasti tahu pasaran hari ini tidak rasional, banyak gangguan, banyak kejutan, banyak ketidakseimbangan.

    “Justeru sebagai menteri, jawapan yang lebih rasional ialah nyatakan langkah bersepadu di pihak kerajaan untuk tangani segala gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran.

    “Pertama, apakah pendirian kerajaan terhadap monopoli, kartel dan kuota? Apakah langkah kerajaan terhadap pembekal yang menyorokkan stok bekalan?

    “Apakah langkah awal kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan akibat musim hujan ataupun kemarau,” soalnya pada satu kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Syahir juga menyoal apakah langkah awal kerajaan untuk menangani kekurangan bekalan seperti ayam, telur, tepung, gula, minyak masak akibat peningkatan mendadak permintaan pada musim perayaan, sama ada Tahun Baru Cina mahupun Hari Raya Aidilfitri.

    Semalam, Rafizi berkata jika pengguna tidak membeli atau menggunakan barangan yang mengalami kenaikan harga secara tidak wajar, peniaga dan pembekal akan merasakan mereka tidak patut menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.

    Menurut menteri itu, data dimilikinya menunjukkan faktor utama berkaitan kenaikan harga adalah ketidakanjalan dalam aspek permintaan.

    Sesuatu produk dianggap “tidak anjal” oleh ahli ekonomi apabila walaupun mengalami kenaikan harga, pengguna tetap membelinya pada jumlah yang sama.

    Keanjalan ialah ukuran ekonomi tentang betapa sensitifnya satu faktor ekonomi apabila sepadan dengan perubahan dalam faktor lain.

    Dengan kadar inflasi empat peratus bagi November, harga makanan dan minuman bukan alkohol tetap menunjukkan trend peningkatan, kekal melebihi kadar tujuh peratus dan mengalami peningkatan dalam indeks harga pengguna.

  • Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    INFLASI Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

    Beliau berkata Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.

    “Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan Ikan dan Makanan Laut (4.2 peratus) dan Sayur-sayuran (7.1 peratus).

    Selain daripada kumpulan Makanan, Mohd Uzir berkata kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali Komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Restoran dan Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti Pengangkutan (5.6 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (4.0 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.8 peratus).

    Sementara itu, Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.1 peratus) dan Pendidikan (1.2 peratus).

    Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

    Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.

    Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.8 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus). Ini diikuti Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.5 peratus).

    Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus. – BERNAMA

  • 71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    MAMPUKAH rakyat Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga barangan yang semakin menggila ketika ini?

    Persoalan itu timbul ekoran kaji selidik Pusat Kajian UCSI yang mendapati 71 peratus rakyat berpandangan gaji mereka tidak mencukupi untuk menampung inflasi dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Memetik laporan Malaysia Gazette, kaji selidik tersebut dijalankan terhadaps serami 1,178 responden.

    Pusat Kajian Undian UCSI turut mendapati 90 peratus rakyat berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan harian sejak dua bulan lalu.

    Manakala, 84 peratus daripada mereka bersetuju bahawa negara ini sedang menghadapi inflasi.

    “Bagi soalan mengenai status kewangan mereka untuk tempoh tiga atau enam bulan ke depan, 16 peratus berpendapat kewangan mereka akan bertambah baik.

    “Dan 45 peratus lagi berpendapat kewangan mereka akan bertambah teruk manakala 39 peratus berpendapat ia akan kekal sama,” kata pusat kajian itu.

    Kajian yang sama turut mendapati sebanyak 86 peratus responden telah berdepan kenaikan harga daging sejak dua bulan lalu.

    Kenaikan harga buah dan sayur dicatatkan pada kadar 85 peratus diikuti kenaikan harga produk import (81 peratus), kenaikan produk elektrik (80 peratus) dan kenaikan harga barang kemas (77 peratus).

    Kaji selidik tersebut menunjukkan majoriti responden berdepan kenaikan harga bagi barangan keperluan dan kehendak.

    Malah, bantuan yang diberikan kerajaan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mungkin tidak akan meredakan keresahan rakyat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

    “Kerajaan cuba membantu rakyat B40 berdepan situasi ini dengan memberi tambahan RM100 bagi isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang layak melalui BKM.

    “Namun dengan kurangnya keyakinan terhadap situasi kewangan bagi tempoh tiga atau enam bulan ke depan, mampukah ia membantu rakyat Malaysia berdepan kesukaran kewangan?” soalnya.

    Dapatan kaji selidik itu adalah selari dengan kegelisahan sebahagian besar rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selepas kerajaan mengumumkan penarikan subsidi minyak sawit berbotol mulai hari ini.

    Selain itu, kenaikan harga siling ayam turut membebankan mereka yang masih bergelut untuk memulihkan ekonomi keluarga selepas krisis pandemik COVID-19.

    Bantuan yang diumumkan kerajaan juga tidak bersifat menyeluruh dan gagal menangani isu sebenar yang berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan harian.

    Ramai yang mempertikaikan mengapa Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak sawit tidak berupaya mengawal kenaikan harga komoditi itu di pasaran tempatan.