Tag: Indonesia

  • Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja lelaki warga Indonesia ditemui maut setelah dikisar jentera palong bijih besi dalam kejadian di Kampung Aring 5, Gua Musang, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Sakdan, 36, dipercayai terjatuh ke dalam jentera lombong bijih besi tersebut sebaik sahaja seorang rakannya cuba menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi ketika mangsa melakukan pemeriksaan pada mesin lombong tersebut.

    Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan mangsa merupakan tugas biasanya setiap pagi bagi memastikan jentera berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi.

    Beliau berkata, ketika mangsa berada di atas jentera palong lombong bijih itu, seorang rakannya pula berada di tempat suis mesin tidak jauh dari situ.

    “Setelah mangsa berpuas hati dengan keadaan mesin berkenaan, dia memberi arahan kepada rakannya supaya menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    “Namun, sebaik jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera dan ternampak mangsa berdiri di atas jentera yang bergetar dengan kuat,” katanya hari ini.

    Sik memberitahu, rakannya tidak sempat mematikan suis sebelum ternampak mangsa terjatuh ke dalam jentera tersebut.

    Menurut beliau, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12 tengah hari terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Ujarnya, mangsa yang baru sahaja bekerja di lombong tersebut dua minggu lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.

    Beliau memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dirujuk kepada Kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.

  • Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    MALAYSIA hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik COVID-19.

    Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

    Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik COVID-19.

    “Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

    “Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak COVID-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu. 

    Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM. 

    Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

    Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. 

    “Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan COVID-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya. 

    Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA 

  • [VIDEO]Lebih 40 maut dalam kebakaran di penjara di Tangerang, Indonesia

    [VIDEO]Lebih 40 maut dalam kebakaran di penjara di Tangerang, Indonesia

    LEBIH 40 banduan dilaporkan terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah penjara di Tangerang, di Jawa Timur, Indonesia.

    “Kejadian kebakaran yang terjadi di Lembaga Pemasyarakatan Kelas 1 Tangerang Blok C2 (penjara di Tangerang) pada Rabu, jam 1.45 waktu Indonesia Barat. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas,” kata Ketua Lapas (Penjara) Kelas 1 Tangerang, Victor Teguh Prihartono dalam satu kenyataan di sini.

    Setakat pukul 9 pagi ini, sebanyak 41 banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan berkaitan dadah disahkan maut.

    Blok kelas 1 itu menempatkan 122 banduan.

    Pihak bomba, polis dan tentera Indonesia masih melakukan kerja-kerja membawa banduan yang cedera ke hospital, dan memindahkan banduan-banduan blok lain, ke tempat yang selamat.- BERNAMA

  • Kerap dibuli, warga Indonesia tetak dua rakan sekerja hingga mati

    Kerap dibuli, warga Indonesia tetak dua rakan sekerja hingga mati

    SEORANG warga Indonesia nekad menetak dua rakan sekerjanya sehingga mati manakala seorang lagi cedera parah selepas dia dipercayai berang dengan tindakan mangsa yang kerap membulinya.

    Kejadian awal pagi semalam itu berlaku di bahagian dek pemandu sebuah kapal ikan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan dekat Kuching, Sarawak.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Macha Ata berkata, suspek berusia 47 itu bertindak menyerang tiga pekerja lain menggunakan sebilah parang ketika mereka sedang tidur mengakibatkan dua mangsa meninggal dunia ditempat kejadian.

    “Mangsa yang maut adalah dua lelaki tempatan berusia 20-an manakala seorang lagi cedera dengan kesan tetakan objek tajam.

    “Dia dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan setakat ini keadaanya stabil,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mancha berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Bintawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

    Difahamkan suspek telah bekerja di atas kapal tersebut sejak enam bulan lalu.

    Mayat kedua-dua mangsa berusia dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat.

    “Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan,” tambahnya.

    Sementara itu, Mancha berkata, suspek dari Pontianak, Indonesia itu direman sehingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Selain suspek turut disiasat mengikut Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.