Tag: Ikmal Hisham Abdul Aziz

  • Kedudukan PN menaik, mampu atasi BN – Ikmal Hisham

    Kedudukan PN menaik, mampu atasi BN – Ikmal Hisham

    KEDUDUKAN Perikatan Nasional (PN) kini dalam trend menaik dan dijangka mampu memenangi kerusi untuk mengatasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, ia berdasarkan laporan dilakukan perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Semalam saya menerima panggilan daripada perisikan tentera yang memaklumkan berita di peringkat negara hari ini, kedudukan PN ke arah menaik.

    “Kerusi PN diramal mengatasi BN dan kedudukan kita setakat ini cukup baik…sekiranya ia termakbul, bermakna Perdana Menteri akan diangkat dari Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Grand Final PRU15 di Machang, malam ini.

    Ikmal Hisham yang juga calon Pas Parlimen Tanah Merah turut mengharapkan pengundi memberi kepercayaan kepada PN untuk mengemudi negara.

    Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, gagal membawa pembangunan kepada Machang selama dua penggal mengemudi Parlimen berkenaan.

    Katanya, Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang gagal mengambil peluang untuk membawa masuk pembangunan di Parlimen berkenaan ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

    “Buktinya hari ini apabila saya datang ke Machang, banyak perbezaan jika dibandingkan dengan Parlimen Tanah Merah dan berharap pengundi di sini memberi peluang kepada calon PAS di Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk membawa perubahan kepada Parlimen Machang,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghantar surat tuntutan (LoD) kepada Rafizi Ramli susulan tindakannya memfitnah beliau dan keluarga berhubung isu perolehan meriam artileri jenis ‘Self-Propelled Howitzer’ (SPH).

    Beliau sehubungan itu berkata, Rafizi dituntut membayar kos ganti rugi am dan teladan RM500,000, serta mahu timbalan presiden PKR itu memadam pernyataan fitnah; berhenti menyebar dan mengulangi kenyataan fitnah, selain membuat permohonan maaf terbuka.

    “Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah. Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

    “Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today..

    Ikmal Hisham berkata, Rafizi tidak sepatutnya melibatkan anak dan isteri sesiapa pun dalam politik kerana ingin meraih undi semata-mata.

    Terdahulu, Rafizi berterusan membuat pendedahan mengenai penglibatan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH, bagaimanapun laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan itu, pada 7 Okt.

    Ikmal Hisham ketika mengulas lanjut, berkata Rafizi bertindak sedemikian berikutan mulai takut gelombang sokongan diterima Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Beliau sebelum ini sudah berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja ketat.

    “Ia juga mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.

  • ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    KEMENTERIAN Pertahanan memerlukan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang digunakan ketika operasi membantu mangsa banjir, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Beliau berkata, ketiadaan aset khusus bagi kerja-kerja menyelamat menyebabkan aset pertahanan sedia ada, diguna pakai ketika operasi banjir.

    Katanya, penyelenggaraan berkala perlu dilakukan, bagi memastikan semua aset ATM bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Apabila berlaku banjir berskala besar dan luar jangka seperti yang berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini, aset ATM tidak mencukupi dan kita hanya guna apa yang ada.

    “ATM memerlukan bajet untuk penyelenggaraan aset yang sewajarnya bagi penugasan serta menghadapi bencana alam seterusnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni (PJM) Pemimpin dan ATM Bersama Rakyat di Felda Kemahang, di Tanah Merah hari ini. – BERNAMA

  • Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    SEORANG veteran tentera British tidak menyangka tetamu yang datang menyantuni beliau di rumahnya di Taman Bijaya di Klang hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan ketiadaan protokol ketika kunjungan itu.

    Abdul Aziz Mohd Amin, 83, berkata Ikmal Hisham yang datang seorang diri secara bersahaja ramah menyapa beliau dan isterinya Nor Azian Abd Wahab, 76, sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama mereka.

    “Memang saya sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan akan datang ke rumah tapi saya tak sangka orang yang saya leka bersembang itu adalah beliau.

    “Beliau juga bercerita tentang keadaan banjir di Kelantan dan Hulu Langat, tempat yang beliau tinjau sebelum ini sambil tidak putus-putus bertanyakan khabar saya terutama kenapa saya berkerusi roda.

    “Bila menteri datang rumah kita, sudah tentu kita suka. Orang masih ingat pada kita dan dalam ramai-ramai, kita yang terpilih untuk mereka kunjungi,” katanya pada Bernama di rumahnya hari ini.

    Lawatan itu adalah sempena program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut disertai pegawai kanan ATM termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

    Program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran yang terkesan akibat banjir.

    Menurut JHEV, seramai 244 veteran ATM terjejas akibat bencana banjir di Selangor dan 46 orang daripada mereka adalah di daerah Klang.

    Ikmal Hisham juga berkata pada tahun lepas, sejumlah 531 mangsa banjir dibantu dengan peruntukan sebanyak RM265,000. – BERNAMA

  • Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    KEBAJIKAN keluarga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam nahas pesawat Hawk 16 November lalu diberi keutamaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah.Pahang, semalam.

    Kementeriaan Pertahanan dalam kenyataan media berkata, Ikmal Hisham telah bertemu dengan balu Allahyarham, Nurul ‘Izati Shari serta kedua ibu bapa Allahyarham, Bustamy Tuahara dan Siti Razilah Daud bagi menzahirkan rasa simpati beliau di atas insiden yang telah berlaku.

    Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.

    Semasa lawatan itu juga, Ikmal Hisham telah menyampaikan sumbangan peribadi ikhlas daripada Menteri Kanan Pertahanan dan sumbangan peribadi daripada beliau sendiri kepada balu dan keluarga Allahyarham.

    Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada balu Allahyarham.

    Di akhir lawatan, Ikmal Hisham dan delegasi juga telah meluangkan masa bersama-sama keluarga Allahyarham untuk menyempurnakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham.

    Lawatan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap insiden kemalangan yang telah menimpa Allahyarham Mohamad Affendi.
    Kebajikan keluarga anggota ATM sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan akan memastikan keluarga Allahyarham diberikan bantuan dengan sewajarnya.

    Yang turut hadir, delegasi lawatan adalah Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara, Brigadier Jeneral Mohd Suhaimi Sahri.