Tag: ikan

  • Nelayan jumpa ‘anak naga’ di laut dalam

    Nelayan jumpa ‘anak naga’ di laut dalam

    SEORANG nelayan menemukan makhluk ganjil yang kelihatan seperti ‘anak naga’ ketika menangkap ikan di kawasan laut dalam di Laut Norway, baru-baru ini.

    Memetik laporan Mirror, ramai netizen yang terkejut melihat haiwan laut aneh itu setelah Roman Fedortsov berkongsi gambar hasil tangkapannya dalam media sosial.

    Sebelum ini, dia pernah menemukan beberapa hidupan laut yang kelihatan aneh seperti makhluk berbentuk cendawan berwarna jingga serta haiwan menyerupai donat.

    Penemuan yang terbaharu itu adalah seekor ikan yang panjang dan netizen menggelarnya sebagai ‘anak naga’.

    Fedortsov berkongsi gambar haiwan laut itu dalam laman Instagram miliknya yang mempunya kira-kira 646,000 pengikut.

    Hantaran itu meraih lebih 22,000 ‘like’ setakat ini, dan kebanyakan netizen hairan melihat haiwan laut yang pelik tersebut.

    anak naga
    Gambar: Instagram rfedortsov_official_account

    Berikut adalah sebahagian daripada komen mereka:

    “Ia kelihatan seperti anak naga yang baru menetas. Lol.”

    “Ya tuhan. Naga. Agak hebat! Apakah ini sebenarnya?”

    “Chupacabra laut atau lautan?”

    “Apa benda tu?”

    “Saya rasa lagi dua kepalanya sudah hilang.”

    “Apakah nama haiwan yang ajaib ini?”

    “Adakah ia ditangkap hidup-hidup dan anda mengembalikannya semula ke laut?”

    “Haiwan ini kelihatan cantik.”

    “Gelinya. Saya rasa saya tidak akan berenang di lautan lagi.”

    “Comelnya… saya nak seekor.”

    Namun, ia ternyata bukan anak naga kerana ikan itu dikenal pasti dari spesies kimera yang juga dinamakan ‘jerung hantu’.

  • [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    FENOMENA ikan terdampar dalam jumlah yang besar di pinggir pantai merupakan perkara yang kadang-kadang dilihat sebelum berlaku bencana alam seperti tsunami.

    Namun lain pula halnya di bandar Texarkana, Texas, Amerika Syarikat.

    Penduduk di situ terkejut besar apabila mendapati kawasan mereka dihujani dengan ikan-ikan yang turun dari langit.

    Sumber: YouTube

    Pada mulanya mereka menyangka fenomena ganjil itu cuma satu imaginasi.

    Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Texarkana dalam laman Facebook miliknya mengesahkan bahawa kejadian pada 30 Disember lalu itu benar-benar berlaku.

    “Tidak, ini bukan satu jenaka. Hujan haiwan adalah satu fenomena yang berlaku apabila hidupan air yang kecil seperti katak, ketam dan ikan disapu oleh aliran air atau angin di atas permukaan bumi.

    “Haiwan-haiwan tersebut akan gugur semula ke bumi bersama air hujan.

    “Walaupun ia jarang berlaku, fenomena itu memang benar, seperti yang dapat dilihat di beberapa lokasi di Texarkana,” jelas laman Facebook The City of Texarkana, Texas.

    Ramai penduduk Texarkana yang berkongsi gambar dan pengalaman mereka melihat hujan ikan dalam ruangan komen laman Facebook berkenaan.

    ikan langit Texarkana
    Sumber: Facebook City of Texarkana, Texas

    Sekurang-kurangnya mereka beruntung kerana tidak perlu ke pasar untuk membeli ikan dalam masa sehari dua ini.

    Memang sukar dipercayai jika kita tidak melihat sendiri fenomena hujan ikan yang berlaku di Texarkana itu.

    Namun, dengan kuasa dan izin Allah SWT, ia tidak mustahil seperti banyak perkara aneh dan ganjil yang pernah disaksikan di seluruh dunia sebelum ini.

  • LKIM jamin bekalan ikan Kedah tidak terjejas

    LKIM jamin bekalan ikan Kedah tidak terjejas

    oleh RIZQI ZABIDI

    Bekalan ikan di Kedah dijamin tidak akan terjejas dengan kehadiran musim monsun timur laut yang dijangka akan bermula pada awal November depan.

    Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Dr. Abdul Halim Tajudin berkata, pihaknya sudah pun membuat persiapan dengan menyediakan sekurang-kurangnya 10 tan bekalan ikan sejuk beku (QFISH) di pelabuhan LKIM Kuala Kedah yang dikumpul dari nelayan di seluruh negeri ini.

    “Ikan-ikan itu kekal segar kerana dibekukan menggunakan teknik individual quick freezing (IQF). Antara jenis ikan yang disediakan adalah kembung, cencaru dan selayang.

    “Ini adalah jenis-jenis ‘ikan rakyat’ yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di Kedah. Jadi, kita menjangkakan bekalan ikan di negeri ini tidak akan terjejas menjelang musim monsun timur laut itu nanti,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita ketika ditemui pada Sambutan Jubli Emas LKIM dan gotong royong bersama nelayan di Tanjung Dawai, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin.

    Abdul Halim menambah, bekalan yang mencukupi itu juga dijangka akan membantu menstabilkan harga ikan apabila tibanya musim tengkujuh itu nanti.

    “Kualiti ikan sejuk beku itu dijamin dan akan dijual 20 eratus lebih murah berbanding harga pasaran. Sebagai contoh, harga ikan kembung dijangka tidak akan lebih daripada RM8 sekilogram.

    “Ikan-ikan ini akan disimpan di bilik sejuk beku yang mampu memuatkan hampir 100 tan ikan. Inilah yang akan membantu memenuhi permintaan tinggi pada musim tengkujuh nanti sekiranya pendaratan ikan berkurangan,” katanya.

  • Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    SATU program amal di Kuantan, Pahang yang menjual sebanyak 165 kilogram (kg) ikan selayang segar pada harga 20 sen seekor habis dijual dalam tempoh sejam sahaja.

    Program anjuran Dapur Infaq Ummah itu diadakan khusus untuk membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

    Menurut Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid, mereka memperoleh bekalan ikan selayang itu daripada nelayan tempatan.

    “Kita bukan mencari keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0,” katanya, semalam.

    Mengulas lanjut, Zahir Shah berkata, aktiviti jualan itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan orang ramai mula beratur panjang mengikut jarak ditetapkan.

    “Namun satu keluarga hanya boleh membeli sekilogram ikan dengan harga RM5 sahaja.

    Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjual barangan keperluan lain bagi membantu orang ramai.

    “Kita juga mempelawa mana-mana pihak yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana untuk membantu golongan memerlukan.

    “Selain itu, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menghulurkan sumbangan beberapa pihak lain,” tambahnya.