Tag: IJN

  • Status sebagai banduan, Najib perlu kekal di HKL

    Status sebagai banduan, Najib perlu kekal di HKL

    DATUK Seri Najib Razak akan kekal menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti yang termaktub dalam prosedur banduan yang ditetapkan selama ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu beliau menafikan Najib akan dibawa ke Institusi Jantung Negara (IJN) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    “Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

    “Jika ujian kesihatan yang dilaksanakan ke atas Najib sudah selesai, laporan itu akan diserahkan kepadanya (Najib) dan juga mahkamah, jadi tiada lagi pertikaian selepas ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination, di kementeriannya hari ini.

    IJN adalah sebuah entiti swasta atau badan dikopratkan dibawah Kementerian Kewangan. Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar dibawah Akta 586.

    Sebelum ini, Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib yang dimasukkan ke HKL sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah itu berkemungkinan akan dirujuk ke IJN.

    Laporan itu memetik Khairy berkata, dua mesyuarat konsultasi turut diadakan bersama keluarga Najib yang disertai Datin Rosmah Mansor.

    “Saya sebenarnya tidak mahu beri maklumat lanjut tetapi ia menjadi isu umum, jadi saya kena jawab untuk menjaga integriti KKM,” katanya.

    Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan yang memerlukan rawatan dan bukan hanya kepada Najib semata-mata.

    “Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

    Mengenai dakwaan pertukaran ubat yang diberikan kepada Najib, Khairy menegaskan, formula ubat yang diberikan oleh HKL adalah sama cuma jenamanya berbeza.

    “Ubatnya sama (cuma) dulu ia dibeli di hospital swasta, bila (menerima rawatan) di HKL, kita ada ubat-ubatan di hospital kerajaan yang turut mempunyai formula yang sama macam ubatnya sebelum ini.

    “Contohnya macam panadol, kita ada ubat lain macam paracetamol (PCM) yang fungsinya sama. Jadi tuduhan yang kata ubat ditukar itu adalah tidak tepat,” katanya.

    Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, mendakwa tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi.

    Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir akan meneruskan kuarantin di rumah sehingga Selasa ini (6 Sept).

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan, setelah disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.- BERNAMA

  • “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada pakar-pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar perubatan jemputan atas kepakaran serta kebolehan mereka merawat beliau ketika menjalani rawatan di pusat rawatan jantung itu Januari lepas.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah percaya bahawa hayatnya sudah tiba namun dengan rawatan yang diberikan oleh doktor-doktor pakar, penolong doktor serta bantuan daripada pekerja-pekerja di IJN mereka berjaya memulihkan kesihatannya.

    “Bagi saya ini adalah satu keajaiban, saya tidak menyangka untuk hidup. Saya menjangka akan mati kerana saya sudah tua dan saya juga menghidap penyakit yang serius yang memberi kesan… mula-mula jantung saya, apabila jantung lemah ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia memberi kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.

    “Tetapi entah bagaimana atau lebih tepat doktor memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” katanya menerusi saluran rasminya di YouTube CHEDET hari ini.

    Tun Mahathir berkata, ini sesuatu yang patut dibanggakan kerana rakyat Malaysia tidak perlu lagi ke mana-mana untuk mendapat rawatan kerana negara ini sudah mempunyai pakar perubatan yang boleh merawat penyakit serius seperti dialaminya.

    “… seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, pada ketika itu terdapat ‘slot khas’ untuk doktor Malaysia terutama doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan… tidak ada orang Asia boleh menjadi pegawai perubatan… kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.

    “Saya amat percaya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia kita boleh… kita cekap,” katanya.

    Dalam video berdurasi kira-kira lapan minit itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, kekal bertenaga dan kelihatan sihat ketika menyampaikan ucapan berkenaan.

    Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan namun beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang 5 Feb. – BERNAMA

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.

    IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.

    “Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.

    Semalam, media melaporkan, Dr Mahathir masih menjalani proses pemulihan di institut tersebut dan dibenarkan pulang pada 2 Feb, tetapi perlu kembali ke institut itu untuk fisioterapi dan rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Dr Mahathir masih jalani rawatan pemulihan di IJN

    Dr Mahathir masih jalani rawatan pemulihan di IJN

    TUN Dr Mahathir Mohamad masih menjalani proses rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, menurut Pejabat Tun Dr Mahathir.

    Pejabat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bekas Perdana Menteri itu telah dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Feb lepas dan kemudian kembali ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

    “Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir) dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai,” menurut kenyataan tersebut.

    Pejabat itu turut memaklumkan, Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan ketika ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

    Pada 26 Jan, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, keadaan kesihatan bapanya itu semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa.

    Pada 22 Jan juga, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

    Sementara itu menerusi satu video yang dimuat naik di laman YouTube hari ini, Dr Mahathir memaklumkan sendiri bahawa beliau masih belum pulih sepenuhnya, dan berulang-alik ke rumah dari hospital setiap hari.

    “Saya balik daripada pagi sampai petang, lepas tu saya balik ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka ingin teruskan.

    “Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berdoa untuk pemulihan saya, ramai yang hantar bunga, kad dan sebagainya, untuk itu saya ucap terima kasih,” katanya.

    Justeru, Dr Mahathir berharap supaya beliau akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau kembali pulih.

    Video berdurasi 1 minit 15 saat berkenaan turut memaparkan Dr Mahathir pulang ke rumah sambil ditemani dan minum bersama Dr Siti Hasmah, selain membaca surat khabar. – BERNAMA

  • Tun Mahathir semakin pulih, ceria dan bersemangat

    Tun Mahathir semakin pulih, ceria dan bersemangat

    KEADAAN kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

    Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata, Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

    “Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

    Marina berkata, Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

    Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan. – BERNAMA

  • Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    KELUARGA Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berinteraksi dengan bekas Perdana Menteri itu yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

    Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir dalam kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau dah ahli-ahli keluarga yang lain berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.

    “Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

    “Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya.

    Marina berkata, IJN dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan rawatan Dr Mahathir.

    Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

    Sebelum ini, beliau dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif pada Jan 7 lalu sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.

  • Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN), untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

    Menurutnya, intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

    “Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Ahmad Fadil berkata, kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

    “Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. – BERNAMA

  • Dr Mahathir berjaya jalani prosedur perubatan elektif

    Dr Mahathir berjaya jalani prosedur perubatan elektif

    TUN Dr Mahathir Mohamad berjaya menjalani prosedur perubatan elektif dan kini semakin pulih, menurut Institut Jantung Negara (IJN).

    IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur yang dijalankan oleh sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam, berjalan dengan lancar seperti dirancang.

    “Beliau telah sedar dan bersemangat tinggi. Berdasarkan kepada perkembangan semasa klinikal, beliau dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan IJN itu.

    Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN pada 16 Dis tahun lepas untuk menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut sebelum melalui prosedur berkenaan.

    Berikutan prosedur operasi institusi itu, IJN memaklumkan pelawat tidak dibenarkan melawat Tun Dr Mahathir.

    “Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala ucapan selamat, keprihatinan dan doa daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

    Perkara itu dimaklumkan oleh IJN dalam kenyataan media.

    “Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini, tiada pelawat dibenarkan melawat Tun Mahathir,” jelas IJN.

    Terdahulu, pada 16 Disember, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut dan dibenarkan keluar seminggu kemudian.