Tag: Ibu pejabat UMNO

  • Selepas 25 tahun, Anwar kembali ke pejabat UMNO malam ini

    Selepas 25 tahun, Anwar kembali ke pejabat UMNO malam ini

    DATUK Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan menjejakkan kaki di ibu pejabat UMNO di ibu negara malam ini, 25 tahun selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

    Perdana menteri dilapor akan hadir pada pukul 8.30 malam bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang melibatkan wakil-wakil parti kerajaan.

    Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang juga ketua sekretariat itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Anwar akan hadir malam ini.

    Selain Anwar, kehadiran DAP juga menjadi tumpuan memandangkan konflik lama parti itu dan UMNO sebelum ini.

    Pejabat UMNO menjadi pejabat urusan sekretariat itu.

    Sekretariat itu ditubuh bagi membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk kerjasama politik serta janji-janji manifesto parti-parti kerajaan.

    Dalam perhimpunan agung UMNO sebelum ini, hanya wakil BN diundang atas alasan “ingin menyelesaikan perkara-perkara yang berkait dengan keputusan dalaman Umno dan BN”.

    Bagaimanapun, ramai melihat tindakan itu dibuat supaya penyokong UMNO tidak terkejut dengan perubahan drastik hala tujunya yang membentuk kerajaan dengan musuh tradisi kali ini.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan butiran lanjut berkaitan mesyuarat malam ini.

    Sementara itu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat terlebih dahulu petang ini, sebelum bertemu parti-parti kerajaan lain malam ini.

  • Rosmah dirakam di ibu pejabat UMNO sebelum mesyuarat MKT

    Rosmah dirakam di ibu pejabat UMNO sebelum mesyuarat MKT

    IBU pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di ibu negara kembali menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung malam ini, pascapembentukan Kabinet,

    Di sebalik barisan ahli MKT yang hadir, Datin Seri Rosmah Mansor turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan kepada petugas media yang sudah ‘berkampung’ di lobi bangunan.

    Lapor Astro Awani, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba kira-kira pukul 8 malam, diiringi seorang pengiring wanita sebelum terus menaiki lif.

    Rosmah juga meminta pihak media yang terkejut dengan kehadirannya agar tidak mengambil gambarnya.

    Kehadiran beliau dipercayai bagi bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempengerusikan mesyuarat MKT malam ini.

    Selain Rosmah, pemimpin tertinggi parti yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan beberapa ahli MKT lain.

    Antara ahli MKT lain yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Ab Raof Yusoh (Pengerusi UMNO Melaka), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Razali Ibrahim.

    Selain itu, turut kelihatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Ahmad Puad Zarkashi dan Datuk Dira Abu Zahar