Tag: Ibu maut

  • Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya tercampak keluar darip kereta dinaikinya selepas dirempuh kenderaan lain dari arah belakang di Kilometer 291.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, pagi tadi.

    Bayi berusia dua tahun itu selamat tanpa kecederaan fizikal, tetapi kemalangan itu mengorbankan ibunya, Norfadilah Ismail, 34, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Perodua Myvi dipandu bapa kanak-kanak itu berusia 36 tahun.

    Bayi itu dipercayai tercampak keluar selepas kereta dinaiki tiga beranak itu dirempuh dari arah belakang sebelum hilang kawalan dan terbalik bersebelahan laluan.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan pukul 8.10 pagi itu membabitkan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak terbabit yang dilanggar dari belakang.

    “Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki pasangan itu dilanggar sebuah lagi Perodua Myvi dinaiki empat anggota tentera berusia awal 20an termasuk pemandunya berusia 22 tahun.

    “Kemalangan menyebabkan ibu bayi terbabit meninggal dunia, manakala semua mangsa lain termasuk bayi yang tercampak itu terselamat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mohamad Nazri berkata, mayat suri rumah itu dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

  • Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    SEORANG wanita maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas dilanggar sebuah motosikal berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun 2, Petaling Jaya, petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang, mangsa dan anaknya dilanggar sebuah motosikal Honda di Jalan PJS 2/2.

    “Mangsa berusia 37 tahun cedera parah di kepala dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.

    “Sementara anak mangsa berusia 10 tahun luka di bibir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Jelasnya, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

  • Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu maut manakala anaknya pula cedera parah gara-gara tindakan seorang pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan, dekat Kilometer 68, Jalan Alor Setar menuju ke Butterworth di Padang Temusu, Sungai Petani, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 petang melibatkan tiga buah kenderaan terdiri daripada dua kereta dan sebuah motosikal dinaiki dua beranak terbabit.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang pembantu kedai berusia 32 tahun, membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan. Difahamkan kereta itu pada mulanya berada di lorong motosikal sebelum tiba-tiba membuat pusingan U.

    “Keadaan itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki dua beranak yang berada di lorong sebelah kanan, belakang kereta tersebut, gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan,” katanya.

    Kemalangan itu berlaku di kawasan yang mempunyai garisan berkembar.

    Tambahnya, rempuhan itu mengakibatkan motosikal berkenaan bersama dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.

    “Di laluan bertentangan itu, dua beranak berkenaan serta motosikal mereka dilanggar pula oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang tidak sempat mengelak,” katanya.

    Akibat daripada kemalangan itu katanya, penunggang motosikal terbabit yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai operator kilang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk patah paha kiri.

    “Ibunya yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan serius di kepala. Kedua-dua mereka terlebih dulu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan namun pada pukul 3.05 petang, wanita itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Menurutnya, kemalangan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    SEORANG wanita maut manakala anak perempuannya parah apabila kereta dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Beris Lalang, Bachok, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu telah mengorbankan kerani swasta, Aslina Ismail, 46, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kepala dan patah tangan.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Gen 2 bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Besut menghala pulang ke rumah di Kampung Air Deras, Kota Bharu.

    “Apabila sampai di Jalan Beris Lalang, Bachok, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan kemudian terus merempuh sebatang pokok.

    “Mangsa dikejarkan Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Ismail berkata, anak perempuan mangsa kini masih dirawat di hospital.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.