Tag: hukuman mati

  • Warga Yemen berdepan hukuman mati, didakwa edar kanabis lebih 200kg

    Warga Yemen berdepan hukuman mati, didakwa edar kanabis lebih 200kg

    SEORANG lelaki warga Yemen berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 200 kilogram (kg).

    Tertuduh, Abdul Aziz Musaed Ahmed, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

    Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah disyaki jenis kanabis dengan anggaran berat 231 gram (g), manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis yang sama dengan anggaran berat 1.879kg dan pertuduhan ketiga pula dia didakwa telah mengedar dadah disyaki jenis yang sama dengan anggaran berat 219.15kg.

    Abdul Aziz yang juga penganggur didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Puchong dekat sini pada kira-kira 10.10 malam pada 15 Jan lepas.

    Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

    Di mahkamah yang sama, Abdul Aziz turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine, methamphetamine dan THC ke dalam diri sendiri.

    Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, pada kira-kira 9 pagi 16 Jan lepas.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

    Di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, manakala hukuman di bawah Seksyen 38B ADB 1952 pula, hendaklah serta-merta selepas menjalani hukuman yang dikenakan, menjalani perintah pengawasan oleh pegawai polis bagi tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk penyerahan laporan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja seberat 221.26kg bernilai anggaran RM663,798 yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang. – BERNAMA

    mahkamah, dadah, polis, Yemen

  • Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia

    Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia

    HUKUMAN mati masih wujud dalam perundangan Malaysia walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 8 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    “Sekarang secara prinsipnya kerajaan bersetuju pada 8 Jun bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori tetapi di mahkamah sana masih.

    “Undang-undang itu ‘governed by existing law’ (undang-undang sedia ada yang belum dipinda),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah iaitu tertuduh yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian kerana hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila disabit dengan kesalahan contohnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Wan Junaidi berkata hukuman mati dengan kuasa budi bicara mahkamah pula membawa maksud bagi mana-mana tertuduh disabit dengan kesalahan, hakim boleh mempunyai pilihan menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau sebatan.

    “Ia mengikut budi bicara hakim bergantung kepada jenis, keseriusan suatu jenayah dan trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah dan faktor pengurangan hukuman lain yang memihak kepada pesalah,” katanya.

    Beliau berkata Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum mengemukakan cadangan polisi penghukuman baharu berdasarkan tiga prinsip.

    Bagi kesalahan yang menyebabkan kematian, hukuman mati atas budi bicara mahkamah dikekalkan; bagi kesalahan lain yang tidak menyebabkan kematian, hukuman mati tidak harus dijatuhkan oleh mahkamah manakala sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan oleh mahkamah, pesalah boleh dikenakan hukuman sebatan, katanya.

    Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu turut meneliti hukuman gantian terhadap 22 kesalahan di bawah akta-akta antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan Akta Penculikan 1961 (Akta 365).

    Wan Junaidi berkata pindaan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan bagi bacaan pertama dan dijangkakan awal tahun depan sama ada Januari atau Februari, undang-undang itu dapat dimansuhkan secara realiti.

    “Keputusan kerajaan ini adalah langkah berani mara ke hadapan supaya dilihat lebih berperikemanusiaan,” katanya.

    Beliau berkata kajian awam juga akan dijalankan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori itu dan sekiranya tentangan itu lebih hebat daripada yang bersetuju, perkara itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk membuat keputusan.

    Menurut Wan Junaidi, ramai juga membincangkan mengenai implikasi pemansuhan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

    Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak lagi memperuntukkan kesalahan dengan hukuman mati mandatori dan telah digantikan dengan hukuman dengan kuasa budi bicara mahkamah melalui Akta Dadah Berbahaya (pindaan) 2017 (Akta A1558) yang berkuat kuasa 15 Mac 2018.

    Wan Junaidi berkata berkata kerajaan turut menerima dan mempertimbangkan syor-syor Jawatankuasa Khas berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di Malaysia.

    Antaranya mewujudkan prosedur prapenghukuman, menubuhkan Majlis Penghukuman, membangunkan garis panduan penghukuman, menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan keadilan restoratif.

    Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara juga sedang mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Khas untuk 1,342 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah menerusi moratorium pelaksanaan hukuman mati.

    Menurutnya, Jawatankuasa Khas itu mencadangkan penubuhan Panel Khas yang terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

    “Perkara ini perlu penelitian memandangkan ia menyentuh isu keperlembagaan,” katanya sambil menambah moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan atau berkuat kuasa sehingga tindakan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan.

    Ditanya bila hukuman mati akan dimansuhkan di Malaysia, Wan Junaidi berkata beliau enggan membuat andaian berhubung perkara itu namun secara peribadi tidak bersetuju dengan hukuman mati sejak 1978 lagi ketika menuntut di universiti, kerana ketika itu dikatakan 30 peratus orang yang dihukum mati di Amerika Syarikat sebenarnya tidak bersalah. – BERNAMA

    – BERNAMA

  • Hukuman mati masih ada, tapi hakim ada budi bicara – Ismail Sabri

    Hukuman mati masih ada, tapi hakim ada budi bicara – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih kekal namun perubahan yang dilakukan ialah memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

    Beliau berkata, langkah itu membolehkan hakim tidak lagi terikat dengan perkataan ‘mandatori’ bagi hukuman mati yang menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati seperti diperuntuk undang-undang contohnya dalam kesalahan mengedar dadah.

    “Kita berpandangan setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Jika ada dua pilihan (hukuman) dan jika dirasakan orang itu memang penjenayah tegar mengedar dadah sehingga menyebabkan ratusan ribu orang mati, boleh dihukum mati dan dibenarkan untuk jatuhkan hukuman mati.

    “Tetapi jika dirasakan daripada budi bicara patut diberikan peluang kedua untuk berubah menjadi lebih baik dan hendak diberikan hukuman penjara seumur hidup dengan sebat maka hakim boleh meminda hukuman mati mandatori kepada hukuman tersebut,” katanya.

    Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas di Bera hari ini.

    Beliau berkata, sebagai contoh, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan ini menyebabkan hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut.

    “Kadang-kadang kes itu melibatkan anak muda berusia 18 tahun. Hakim selepas mendengar perbicaraan mungkin beranggapan dia ini ‘terkena’ kerana dadah berada dalam beg miliknya tetapi dia tidak boleh membuktikan orang yang memberi (dadah) kepadanya.

    “Walaupun ada orang yang beri tetapi tidak boleh dibuktikan, akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati walaupun hakim beranggapan budak ini muda dan patut diberi peluang kedua untuk berubah.

    “Kena faham bahawa hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih ada tetapi tidak lagi menjadi mandatori,” katanya.

    Ismail Sabri juga berkata, walaupun secara dasarnya kerajaan bersetuju memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori namun perkara itu masih perlu diperhalusi dan memerlukan pandangan pihak berkaitan untuk diperkemas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Katanya, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas. – BERNAMA

  • Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

    Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

    KERAJAAN telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian, tertakluk budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaatar, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

    Wan Junaidi berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

    Menurut beliau, jawatankuasa tersebut diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

    Wan Junaidi turut mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajjan lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

    “Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian/Jabatan berkepentingan.

    “Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada Kerajaan nanti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau menambah, kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

    Wan Junaidi menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.

    “Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif,” jelasnya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Wan Junaidi berkata, kerajaan belum menetapkan sebarang jangka waktu bagi menguatkuasakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang telah dipersetujui.

    Beliau berkata, banyak perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu termasuk cadangan menubuhkan satu tribunal untuk mengkaji kes yang sudah dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah.

    “Dari sudut keperlembagaannya, perlu diteliti oleh pihak AG (Peguam Negara) dan kementerian saya kerana kalau bercanggah dengan perlembagaan, ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.

    Wan Junaidi berkata, semua kes semasa yang melibatkan mahkamah menjatuhi hukuman mati mandatori namun belum dilaksanakan hukumannya akan ditangguh sehingga pemansuhan itu dikuat kuasa.

    “Semua ini kena dikaji satu persatu dan apakah jenis hukuman yang perlu kita buat. Itu tugas saya sekarang sebab kerajaan sudah luluskan menurunkan hukuman-hukuman ini,” katanya yang berharap kajian lanjut akan dilaksana kerana kelulusan pemansuhan itu mendapat sokongan penuh semua pihak di negara ini.

    Beliau berkata definisi hukuman mati mandatori perlu difahami kerana terdapat beberapa akta yang tidak memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman lain. 

    “(Apabila) hukuman mati mandatori ini dihapuskan, kita akan menyerahkan kembali kepada hakim sama ada (untuk menjatuhkan) hukuman mati atau hukuman lain,” katanya.

  • Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Oleh MASSITA AHMAD

    MAHKAMAH Tinggi Singapura pada Khamis membenarkan penangguhan hukuman mati terhadap warga Malaysia, K Datchinamurthy, yang sepatutnya menjalani hukuman pada Jumaat, 29 April, dua hari selepas pelaksanaan hukuman Nagaentran Dharmalingam.

    Menurut peguam Singapura, M Ravi, kebenaran penangguhan itu diberikan berasaskan alasan “menunggu keputusan perbicaraan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan penjara yang dijadual pada 20 Mei”.

    “Datch (Datchinamurthy) sepatutnya dihukum gantung esok,” kata M Ravi dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

    Datchinamurthy, 36, didakwa mengedar 44.96 gram (g) diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dihukum mati pada 2015, manakala Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009.

    Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan sendiri oleh Datchinamurthy dan perbicaraan mengenai penangguhan itu dibuat secara tertutup pada 9.30 pagi Khamis.

    M Ravi sebelum ini menjadi peguam untuk Datchinamurthy berkata perbicaraan yang dijadual pada 20 Mei adalah berkait mengenai aduan terhadap peguam negara mengenai hak komunikasi antara banduan dengan peguamnya.

    “Isunya adalah apakah mereka boleh menggantungnya pada Jumaat 29 April ketika ada perbicaraan dijadualkan pada 20 Mei,” tulisnya. – BERNAMA