Tag: hotel

  • Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    LANGKAH mengenakan surcaj 3.7sen/kWj kepada pengguna bukan domestik menyaksikan operasi hotel, taman tema, pusat beli-belah dan peruncit mengalami peningkatan 20 hingga 30 peratus bil elektrik.

    Tujuh pertubuhan peniaga dalam kenyataan bersama berkata, peningkatan ketara itu berlaku berbanding tahun sebelumnya, melibatkan penggunaan jumlah tenaga sama.

    Kata kenyataan itu, peningkatan mendadak bil tenaga dikatakan “tidak adil”, memandangkan sektor terbabit antara paling terkesan akibat pandemik Covid-19, selain perlu mematuhi pembayaran gaji minimum RM1,500.

    “Justeru, kami secara ikhlas menggesa kerajaan menyediakan moratorium bagi tarif elektrik baharu ini kepada semua pengguna komersial hingga hujung 2023 demi memberi tempoh untuk kembali pulih.

    “Tekanan berterusan terhadap perniagaan ketika Malaysia sedang merancakkan pelancongan menjejaskan kami kerana sukar beroperasi secara cekap.

    “Kami berharap mendapat maklum balas menggalakkan tidak lama lagi dan sentiasa terbuka berunding bersama pihak kementerian demi kebaikan industri di Malaysia,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pertubuhan menandatangani kenyataan itu melibatkan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho)

    Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga berkata, kos elektrik meningkat 45 peratus kesan pertambahan harga arang batu, di mana Semenanjung bergantung tinggi kepada sumber itu.

    Pada Mac tahun lalu, peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb 2022, kegagalan mengambil tindakan itu memaksa kos itu dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menaikkan harga.

  • Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    SEKURANG-kurangnya 20 orang maut manakala 40 lagi cedera berikutan serangan kumpulan pengganas al-Shabab ke atas sebuah hotel terkenal di ibu negara Somalia, Mogadishu.

    Menurut pihak berkuasa, pengganas menyerbu hotel berkenaan kelmarin dan mencetuskan kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

    Buat masa ini, kepungan pengganas ke atas Hotel Hayat masih berlangsung.

    Menurut jurucakap polis, dua bom kereta menyasarkan hotel berkenaan dalam kejadian pada Jumaat, insiden yang memerangkap ramai orang awam.

    Abdikadir Abdirahman, pengarah dan pengasas perkhidmatan ambulans Aamin di Mogadishu berkata, mereka sudah menghantar sembilan mangsa cedera dari hotel itu ke hospital.

    “Pasukan keselamatan masih berusaha menumpaskan pengganas yang bersembunyi di bilik hotel. Kebanyakan mangsa berjaya diselamatkan dengan sekurang-kurangnya lapan orang awam maut setakat ini ” katanya.

    Sementara itu, kawasan sekitar hotel empat tingkat itu dipenuhi orang awam yang ingin mengetahui nasib orang kesayangan mereka.

    Al-Shabaab melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan Somalia lebih 10 tahun. Ia mahu menubuhkan kerajaan sendiri berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.

    Hotel Hayat ialah tempat yang popular dengan penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan.

    Ini adalah serangan besar pertama sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud berkuasa pada Mei lalu.

    Al-Shabaab pernah melancarkan serangan seumpama ini. Pada Ogos 2020, kumpulan itu mengaku menyerang sebuah hotel di Mogadishu yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.

  • MAH Terengganu mohon kerajaan bantu pengusaha hotel

    MAH Terengganu mohon kerajaan bantu pengusaha hotel

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    AKTIVITI pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan sejak berlakunya penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Malah, ekoran wabak itu juga kebanyakan pemain industri daripada sektor bekenaan berhadapan pelbagai masalah termasuk memberi kesan secara langsung dalam kehidupan tenaga kerjanya.

    Berdasarkan perkembangan itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu memohon supaya kerajaan meneruskan beberapa inisiatif dan bantuan kepada golongan itu sehingga Jun 2022.

    Menurut Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun, ia penting untuk memastikan kelangsungan industri itu dalam mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19.

    Menurut Suaibah, industri pelancongan memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan dan MAH menaruh harapan besar supaya banyak perkara dapat dipermudahkan.

    Beliau berkata, bantuan yang diperlukan adalah selaras dengan usaha untuk menyokong pengusaha hotel bangkit semula setelah agak lama terjejas.

    Suaibah Harun MAH Terengganu
    SUAIBAH HARUN

    Ini kerana katanya, untuk memulakan kembali operasi sudah tentu agak sukar dan sebab itulah ia memerlukan sokongan kerajaan seperti program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan.

    “Kami sangat berharap agar kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah bagi membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja sama di premis masing-masing dan inisiatif ini perlu diteruskan hingga Jun 2022 atau apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Suaibah memberitahu, terdapat sebanyak 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu.

    Selain itu Suaibah berkata, MAH Terengganu juga berharap agar kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium dapat memberi diskaun kepada premis hotel.

    “Kami memerlukan bantuan khas kerana perniagaan ketika ini bukan setakat terjejas teruk, tetapi juga terpaksa menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja.

    “Kami benar-benar berharap agar melalui diskaun itu dapat membantu kami membuka semula operasi,” ujar beliau.

  • Covid-19:120 hotel di Malaysia henti operasi

    Covid-19:120 hotel di Malaysia henti operasi

    SEKURANG-KURANGNYA 120 buah hotel di negara ini terpaksa ditutup sama ada buat sementara waktu atau sepenuhnya akibat penularan pandemik Covid-19.

    Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, industri perhotelan mengalami kerugian lebih RM6.5 bilion dari segi pendapatan pada 2020 dan berkemungkinan sebanyak RM9 bilion lagi setakat tahun ini.

    Menurutnya, MAH sejak awal pandemik telah melobi sokongan dan bantuan daripada kerajaan termasuk pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pelancongan domestik.

    “Bagaimanapun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan dan larangan perjalanan ketika ini, industri perhotelan masih tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk terus bertahan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan tenaga kerjanya,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Lip Seng berkata, dalam usaha untuk menyokong ahlinya, MAH melancarkan program MAH Cares, dengan memperuntukkan bantuan makanan bernilai RM200,000 melalui wakil persatuan negeri untuk mengedarkan barang keperluan dan bekalan makanan kepada pekerja dalam industri hotel yang memerlukan.

    Inisiatif itu ujarnya akan memberi manfaat kepada ribuan keluarga dengan keperluan asas dan barang keperluan.

    Selain itu katanya, inisiatif MAH Cares juga akan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan industri selain mendorong sektor awam serta swasta menyokong industri pelancongan dan hotel di Malaysia.

    “Inisiatif ini mendapat tajaan daripada Yeo Hiap Seng (Yeo’s), jenama makanan dan minuman isi rumah yang dikenali di Malaysia.

    “Tajaan secara langsung akan membolehkan MAH menyokong lebih banyak keluarga yang memerlukan pertolongan dengan serta-merta,” katanya.