Tag: Honda

  • 4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

    “Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

    Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain. 

    “Kesemua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

    Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – BERNAMA

  • Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    LIMA kereta baharu jenis Honda terbakar hampir seratus peratus selepas treler yang membawa kereta berkenaan, mengalami kebakaran di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung insiden berkenaan pada 5.24 petang.

    “Kejadian berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang membawa enam kereta dari kilang Honda menghala ke Pulau Pinang, mengalami masalah teknikal di bahagian brek sehingga menyebabkan kebakaran di bahagian belakang treler itu.

    “Ia kemudiannya merebak pada lima kereta terbabit, sebuah lagi kereta pula terbakar 10 peratus. Insiden itu mengakibatkan kesesakan sepanjang tiga kilometer dan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi operasi pemadaman api kira-kira satu jam lebih,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

    Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan punca sebenar serta jumlah kerugian masih disiasat.- BERNAMA