Tag: Hishammuddin Tun Hussein

  • Mindef, ATM capai KPI libatkan enam aspirasi – Hishammuddin

    Mindef, ATM capai KPI libatkan enam aspirasi – Hishammuddin

    ENAM aspirasi yang disasar dalam tempoh 100 hari pertama Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dicapai dengan jayanya, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, keenam-enam aspirasi tersebut merangkumi memerangi Covid-19; mengawal sempadan negara dan mengeratkan kerjasama antarabangsa.

    Katanya, itu termasuk memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran ATM dan melaksanakan program jiwa murni.

    Hishammuddin berkata, pencapaian itu tidak berhenti di situ sahaja, sebaliknya beliau bersama-sama seluruh warga kerja Mindef enggan berlengah dan meneruskan perancangan untuk 100 hari akan datang mulai esok.

    “Esok, Mindef akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan Insya-Allah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.

    “Mindef akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perbarisan Aspirasi Keluarga Malaysia – sempena 100 Hari Pertama Pentadbiran di bawah Menteri Kanan Pertahanan, di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas pencapaian ATM dan Mindef secara lanjut, Hishammuddin berkata, melalui operasi Combat Medic Vaccination Team khususnya di Sabah dan Sarawak, bantuan yang dihulurkan berjaya memberi vaksinasi kepada 25,092 penduduk pedalaman.

    Untuk inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu pula, kata beliau, dalam tempoh kurang dua bulan, seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap.

  • SOP PRN Melaka:Semua pihak perlu patuhi SOP ditetapkan – Hishammuddin

    SOP PRN Melaka:Semua pihak perlu patuhi SOP ditetapkan – Hishammuddin

    MENTERI Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan penularan COVID-19 tidak berulang.

    Ahli Parlimen Sembrong itu percaya larangan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap semua perhimpunan berkaitan pilihan raya berkuat kuasa hari ini adalah selepas mengambil pelanggaran SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan parti-parti politik.

    “Sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan SOP lebih ketat bermula hari penamaan (8 November), semua pihak perlu mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat terhadap parti politik.

    “Ketika ini, kerana SPR hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya selepas 8 November, maka sebelumnya (25 Oktober– 7 November) tanggungjawab bawah Akta 342 terletak atas bahu KKM, dipantau MKN, dan dikuat kuasa oleh KDN.

    “Jadi dari hari ini sampai 8 November, kita kena pastikan tidak ada perkara yang boleh menimbulkan, atau mengundang kemarahan rakyat, terhadap ahli politik atau parti-parti politik,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

    Bermula 25 Oktober, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan terhadap sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya, sehingga 27 November 2021.

    Beliau berkata, larangan itu dibuat selepas pemantauan KKM mendapati terdapat parti-parti politik termasuk UMNO gagal mematuhi SOP seperti di beberapa majlis kebelakangan ini.

    Sewaktu persidangan Dewan Rakyat awal hari ini, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution menzahirkan kegusaran parti politik blok kerajaan akan menyalahguna kebenaran majlis rasmi di bawah Fasa 4 PPN untuk tujuan berkempen.

    Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya parti kerajaan dibenarkan membuat program rasmi, sedangkan parti lain perlu mengikut SOP ketat oleh SPR.

    Mengulas mengenai kegusaran itu, Hishammuddin berkata, jika perkara itu tidak dibenarkan termasuk dalam SOP sebelum ini, maka kerajaan juga terikat, dan penguatkuasaan tidak boleh berat sebelah.

    “Kalau ianya merupakan satu yang kita tak benarkan seperti diumumkan, ini juga mengikat kerajaan. Tindakan sama rata mesti diamalkan supaya orang tak lihat ada ‘double standard’ dalam kita nak laksanakan, dan pantau SOP yang sedia ada sehingga SPR mengambil alih pada 8 November ini dalam masa kempen PRN Melaka,” katanya.

  • Perpaduan ASEAN atasi cabaran pandemik Covid-19: Hishammuddin

    Perpaduan ASEAN atasi cabaran pandemik Covid-19: Hishammuddin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERPADUAN ASEAN telah membolehkan negara-negara terbabit mengatasi cabaran secara kolektif meliputi krisis kewangan global kepada perubahan iklim, bencana alam dan kini, pandemik Covid-19.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesan Covid-19 terhadap nyawa dan kehidupan masyarakat sangat dahsyat sekali gus menyaksikan kapasiti sektor penjagaan kesihatan yang semakin terbeban sehingga kehilangan pendapatan.

    “ASEAN tidak akan mengalah dan kekal teguh memerangi pandemik Covid-19 bergandingan dengan seluruh dunia untuk menunjukkan bahawa manusia akan mengatasi cabaran besar ini bersama-sama dan bangkit lebih kuat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-54.

    Hishammuddin berkata, kemunculan varian baharu Covid-19 dan prospek penyakit itu akan menjadi endemik, memerlukan kerajaan di seluruh dunia memikirkan semula strategi mereka.

    Memandangkan tiada negara atau rantau yang mempunyai keupayaan dan pendekatan yang sama dalam menangani pandemik itu katanya, kaedah ‘cookie-cutter’ mungkin tidak berfungsi.

    Sehubungan itu, usaha yang akan diambil mestilah dinamik dan fleksibel, menepati keperluan dan kriteria setempat, katanya.

    Hishammuddin berkata, sejak awal 2020 ASEAN telah mengambil pendekatan proaktif melalui siri penglibatan dan pertukaran maklumat antara negara anggota dan rakan luar.

    Jelasnya, itu bertujuan meningkatkan keupayaan serantau dalam pencegahan, pengesanan, tindak balas dan kesediaan menangani pandemik itu.

    Menurutnya, ASEAN telah melaksanakan beberapa strategi dan kerangka kerja untuk menghadapi peningkatan Covid-19, sambil mengurangkan kesannya terhadap ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. – SB