Tag: Hishammuddin

  • Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    TENDER perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howittzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, demikian ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

    Katanya, proses perbincangan aset perolehan melibatkan peruntukan RM854 juta itu masih berjalan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).

    Justeru, pendedahan mengenai proses perolehan SPH oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi menimbulkan keraguan masyarakat terhadap kerajaan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

    Hishammuddin berkata proses perolehan untuk memberi penganugerah itu melibatkan banyak agensi, dan bukan sahaja MINDEF dan seperti biasa mereka akan berbincang dengan MOF terlebih dahulu.

    “Sebelum ini, surat antara kementerian dan sebagainya adalah rahsia kerajaan kerana kita mempunyai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi dalam keadaan sekarang, tiada benda yang rahsia.

    “Bagi saya, setakat proses nak beri projek saya tidak risau sangat, tetapi jika maklumat rahsia berhubung kait dengan peralatan dan boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita boleh bocor kepada musuh, itu lebih membimbangkan,” katanya.

    Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara MINDEF, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Sungai Besi.

    Pemeteraian MoU itu menyaksikan Unirazak akan menyediakan 250 tempat setahun bagi tempoh lima tahun untuk anak-anak anggota ATM dan warga awam MINDEF mengikuti program dermasiswa pengajian asasi Sastera secara percuma melibatkan kos sebanyak RM15.625 juta.

    Mengakhiri lawatannya di Kem Sungai Besi, Hishammuddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim ATM dan menyampaikan sumbangan wakalah zakat dan bantuan Pendidikan Yayasan LTAT kepada 74 pelajar sekolah itu dengan jumlah keseluruhan RM80,000. – BERNAMA

  • Rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

    Rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

    KEBENARAN merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Hishammuddin berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.

    “Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19,” katanya.

    Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back To School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

    Pada 14 Sept, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya. 

    Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan esok.

    “Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

    Katanya mesyuarat esok juga telah menjemput Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri, bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir esok, bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.

    Hishammuddin berkata pada minggu hadapan Radzi pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar, serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Okt depan.- BERNAMA

  • Operasi GKVSTF Tentera Darat di Lembah Klang ditamatkan

    Operasi GKVSTF Tentera Darat di Lembah Klang ditamatkan

    PENGOPERASIAN Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) Tentera Darat ditamatkan selepas 41 hari beroperasi, susulan perkembangan positif situasi pandemik COVID-19 di Lembah Klang.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan tersebut diambil dengan persetujuan GKVSTF bersama Kementerian Kesihatan (KKM), selepas jumlah kes harian COVID-19 mulai menurun, kapasiti hospital semakin terkawal, selain peningkatan jumlah individu yang lengkap divaksinasi.

    Beliau berkata dengan penamatan operasi itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai pengoperasian berkaitan COVID-19 di seluruh negara.

    “Ia antara lain termasuk mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal pasti oleh KKM dan menambah pasukan ‘Combat Medic Vaccination Team’ (CMVT) bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khususnya di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, beliau berkata ATM juga akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam.

    Hishammuddin berkata penglibatan anggota Tentera Darat (TDM) dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar, sekali gus membantu KKM dalam menangani situasi COVID-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis.

    Katanya melalui pengoperasian tersebut, TDM telah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai penugasan dalam kawasan Zon Merah COVID-19 di hospital Lembah Klang.

    Ia merangkumi menugaskan ‘Oxygen Carrier Team’ (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti 14,258 silinder oksigen, serta menempatkan ‘Rapid Resupply Team’ (RRT) bagi membantu proses pengambilan dan pengedaran peralatan perubatan yang kritikal.

    TDM juga mengatur gerak ‘Body Management Team’ (BMT) yang telah membantu mengurus 4,442 mayat pesakit COVID-19, yang membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang.

    “Tiada yang mudah bagi melaksanakan setiap operasi tersebut namun dalam apa jua keadaan, ATM tetap fokus dan memanfaatkan setiap kepakaran serta kemudahan yang dimiliki demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di era COVID-19 yang mencabar ini,” katanya.

    Hishammuddin turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada 1,080 anggota TDM yang terlibat dalam operasi tersebut atas kesanggupan bertugas sepanjang masa, merisikokan nyawa dan berjauhan dengan keluarga demi menyelesaikan misi yang diamanahkan.

    Beliau turut mengucapkan terimah kasih kepada semua anggota TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia atas khidmat bakti, disiplin dan kesungguhan dalam membantu negara memerangi COVID-19. – BERNAMA

  • Hishammuddin ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Hishammuddin ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terpilih sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Hishammuddin menerusi hantaran dalam Twitter beliau sebentar tadi berkata, perkara paling penting yang diperlukan negara ketika ini ialah mencapai kestabilan.

    “Ia demi membolehkan negara kembali tumpu usaha tangani krisis Covid-19, pulihkan ekonomi dan bela kesejahteraan rakyat. Selamat menjalankan amanah Datuk Seri!,” kata Hishammuddin dalam hantaran tersebut.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat.

  • Hishammuddin akan bawa isu monopoli vaksin pada forum antarabangsa

    Hishammuddin akan bawa isu monopoli vaksin pada forum antarabangsa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA akan membawa isu monopoli vaksin dan penekanan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama dalam mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin secara maya pada malam ini.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menyertai forum antarabangsa itu yang dianjurkan Kementerian Luar Negeri China.

    Kenyataan itu menyebut, forum berkenaan akan dipengerusikan oleh Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi.

    Katanya, perbincangan semasa mesyuarat itu akan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ia lebih mudah diperolehi pada harga yang berpatutan oleh negara membangun, bagi memerangi pandemik COVID-19.

    “Hishammuddin juga akan menegaskan mengenai keperluan segera semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini.

    “Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa,” katanya.

    Selain itu, Kementerian Luar memaklumkan, pada 18 November 2020, Malaysia dan China memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin yang membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan negara itu.

    Perjanjian itu juga membolehkan Malaysia memulakan kolaborasi teknikal dengan China dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek persijilan halal.

    “Selain itu, kandungan Kenyataan Media Bersama semasa lawatan rasmi Wang Yi, ke Malaysia pada 13 Oktober 2020 menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin buatan China.

    “Pada Julai 2021, China menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.