Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MALAYSIA akan membawa isu monopoli vaksin dan penekanan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama dalam mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin secara maya pada malam ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menyertai forum antarabangsa itu yang dianjurkan Kementerian Luar Negeri China.

Kenyataan itu menyebut, forum berkenaan akan dipengerusikan oleh Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi.

Katanya, perbincangan semasa mesyuarat itu akan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ia lebih mudah diperolehi pada harga yang berpatutan oleh negara membangun, bagi memerangi pandemik COVID-19.

“Hishammuddin juga akan menegaskan mengenai keperluan segera semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini.

“Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Kementerian Luar memaklumkan, pada 18 November 2020, Malaysia dan China memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin yang membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan negara itu.

Perjanjian itu juga membolehkan Malaysia memulakan kolaborasi teknikal dengan China dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek persijilan halal.

“Selain itu, kandungan Kenyataan Media Bersama semasa lawatan rasmi Wang Yi, ke Malaysia pada 13 Oktober 2020 menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin buatan China.

“Pada Julai 2021, China menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here