Tag: Hina Agong

  • Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Dis lepas, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Insp Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    PENULIS blog Aspan Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu.

    Aspan, 69, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, dekat sini pada 9 pagi, 18 Mei 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili OKS memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah tidak bekerja sejak 30 tahun lalu.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Aspan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang suri rumah kerana menghina Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

    Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang menangis teresak-esak mengaku mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd. Zain.

    Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada pukul 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

    Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

    Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

    “Ketika itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh.

    “Yang Arif, tolonglah kurangkan denda saya kerana tidak mampu membayar denda sebanyak itu,” katanya.

    Rosmawati berkata, empat anaknya masih bersekolah dan anak keduanya akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tidak lama lagi.

    Menurutnya, dia cuma seorang suri rumah dan mengharapkan pendapatan suami.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama.

    “Kes hari ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda paling dihormati dalam sistem berperlembagaan, maka saya memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.