Tag: Hilang

  • Hanya dua RXZ, bukan ratusan motosikal yang hilang

    Hanya dua RXZ, bukan ratusan motosikal yang hilang

    POLIS Terengganu hari ini menafikan satu berita yang tular di media sosial baru-baru ini yang mendakwa kononnya ratusan motor ‘hilang’ semasa berlangsung program RXZ Members 4.0 2022 di sini Sabtu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya hanya menerima dua laporan berhubung kehilangan motosikal pada hari berkenaan, sama sekali jauh berbeza dengan jumlah yang ditularkan oleh warga net.

    “Cuma dua buah sahaja motosikal yang (dilaporkan) hilang dan ada satu kemalangan maut melibatkan peserta program RXZ Members yang dalam perjalanan dari Selangor ke Kuala Terengganu.

    “Jangan cepat percaya dengan media sosial kerana boleh pening kita dibuatnya,” katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

    Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

    Pada majlis itu seramai 668 orang penerima termasuk anggota, pegawai dan pesara polis dari negeri ini dianugerahkan pingat tersebut sebagai penghargaan di atas jasa bakti serta pengorbanan mereka kepada negara.- BERNAMA

  • 7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    MISTERI kehilangan tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kebayau dekat Kota Belud Sabah sejak semalam terungkai apabila mereka ditemui selamat, pagi ini.

    Kesemua mangsa ditemui penduduk kampung pada pukul 7.40 pagi di sebuah pondok di kawasan kebun pokok getah dan buah-buahan kira-kira 1.5 kilometer dari kampung mereka.

    Mereka ialah, Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.

    Memetik Harian Metro, seorang penduduk kampung, Robert Santim, 50, berkata, dia menemui mangsa bersama dua lagi rakannya, Jolius Sumbing, 41 dan Vincent Sikin, 36.

    Menurutnya, remaja dan kanak-kanak itu mendakwa pergi mencari labi-labi di anak sungai yang terletak berhampiran puncak bukit.

    “Mereka yang berbekalkan roti dan air tidak menyedari cuaca semakin gelap dan terpaksa menginap di pondok yang berhampiran,” katanya.

    Susulan kehilangan tujuh sekawan itu, penduduk yang risau melancarkan usaha mencari yang turut disertai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dan unit anjing pengesan (K9).

    “Kami (penduduk) risau memikirkan keadaan mereka apatah lagi sebahagiannya autisme dan terus mencari sehingga jeritan kami didengari semua mangsa.

    “Syukur, mereka (mangsa) ditemui dalam keadaan selamat walaupun ada yang mengalami luka kecil,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, semua mangsa menjalani pemeriksaan rawatan oleh pihak paramedik.

    “Dua daripada tujuh mangsa itu dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.”

    “Mangsa lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing manakala operasi ditamatkan jam 9.30 pagi ini,” katanya.

    Mereka kali terakhir dilihat penduduk kampung kira-kira pukul 3 petang semalam,sebelum dilaporkan dikhuatiri hilang.

  • Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    POLIS belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sehingga kini pihaknya telah melakukan tiga kali pemeriksaan ke atas rumah wanita tersebut.

    “Pemeriksaan terakhir dilakukan di rumah orang hilang (OH) pada 28 Julai lalu namun tiada petunjuk dan penemuan baharu,” katanya yang dihubungi hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

    Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

    Beliau berkata, siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

    “Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Beh berkata, Nur Hidayati berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – BERNAMA

  • Ali Imran hilang sejak Khamis

    Ali Imran hilang sejak Khamis

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja itu dikenali sebagai Ali Imran Naseruddin yang beralamat di No 5, Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang Sarjan Nur Arfidah Mohamed di talian 012-7955 961 atau balai berdekatan untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kali terakhir Ali Imran dikesan melalui kamera litar tertutup pos kawalan sedang berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan itu pada 3.57 pagi.

    “Laporan polis dibuat oleh ibu remaja berkenaan pada 6.52 pagi hari yang sama.

    “Remaja berkenaan memakai seluar jeans, kemeja T, jaket, bertopi, kasut serba hitam dan menggalas sebuah beg kalis air berbentuk silinder warna biru, mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berambut hitam pendek,” katanya. – BERNAMA

  • Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    PELAJAR perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor di sini, Ahad lepas, ditemukan selamat di Pontian, Johor hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bahawa Humaira dijumpai bersendirian di Masjid Bandar Pontian kira-kira 5 petang tadi.

    “Ibu bapa Humaira juga berada di sana (Pontian) sekarang bersama pihak polis Pontian. Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dilakukan,” katanya ringkas kepada Bernama.

    Terdahulu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu daripada bapanya, Ahmad Fauzi Ibrahim kira-kira 3 petang, Ahad lepas di Balai Polis Chemor.

    Kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, dilaporkan berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

    Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti COVID-19.

    Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpai remaja itu. – BERNAMA

  • Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    KEHILANGAN kanak-kanak perempuan Orang Asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam hari ini.

    Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

    “Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

    “Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.

    Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

    “Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara,” katanya. – BERNAMA

  • Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dekat Gua Musang, Kelantan dipercayai hilang sejak pukul 9 malam kelmarin.

    Perkara itu dimaklumkan oleh bapa saudaranya yang dikenali sebagai Azizul Rahman dalam laman Facebook miliknya.

    “Mintak doakan anak saudara saya.. umur 13 tahun hilang depan rumah jam 9 malam lagi.. sampai sekarang tak dapat dikesan, di Kampung Orang Asli, Pasir Linggi Pos Lebir (sempadan Gua Musang – Krai).. lapan kilometer melalui jalan hutan dari simpang Sungai Sam,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, laporan tentang remaja yang hilang terbabit dibuat oleh ibunya pada pukul 7 malam kelmarin selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah.

    “Mangsa dipercayai keluar daripada rumah pukul 9 malam, kelmarin, sebelum ibunya menyedari mangsa belum pulang ke rumah pada pukul 3 pagi semalam, dan terus mencarinya bersama keluarga sekitar kampung.

    “Pihak kami telah terima laporan mengenai kehilangan mangsa malam ini dan operasi mencari dan menyelamat akan digerakkan pada 12 Jan, pukul 8 pagi,” katanya.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, kawasan pencarian dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.

  • Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki maut manakala dua lagi dilaporkan masih hilang berikutan fenomena kepala air dan tanah runtuh yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai dekat Kedah, hari ini.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, identiti lelaki berusia 60 tahun yang maut itu setakat ini masih belum dikenal pasti.

    Dua individu yang hilang bersabit dengan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai dan rumah runtuh di Chalet Salak Denai.

    “Anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan. Maklumat awal mengatakan terdapat 60 individu perlu dipindahkan segera.

    “Selain itu terdapat juga 14 individu yang positif Covid-19. Mereka ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Mengulas lanjut katanya, banjir itu dipercayai berpunca dari hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju ke kaki Gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

    Laporan pertama katanya, diterima kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Banjir melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai, Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    “Terdapat juga mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya.