Tag: heroin

  • 336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    SEBANYAK 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dirampas pihak berkuasa Australia dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

    Menurut Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena berkenaan yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    “Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

    “Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, pihak berkuasa mengeluarkan semua bungkusan heroin daripada blok konkrit berkenaan dan meneruskan menghantar konsainan ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

    “Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

    “Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap,” katanya.

    Susulan itu, katanya, AFP menggeledah beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales serta Queensland dan merampas pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

    Rampasan heroin seberat 336kg itu adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF. Rampasan terbesar heroin seberat 450kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

    Sementara itu, Komander AFP, John Tanti, berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama negara antarabangsa dan negara anggota Komanwel dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

    “AFP komited untuk menghentikan kegiatan sindiket yang menggunakan Lautan Pasifik sebagai ‘lebuh raya dadah’ secara maritim dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

    “Kegiatan jenayah terancang rentas negara ini adalah satu ancaman kepada Australia, sedangkan sindiket dadah menjana jutaan dolar daripada kegiatan itu,” katanya.

  • 3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    POLIS Pulau Pinang menahan tiga beranak yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran tempatan dalam serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Selasa lalu.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintenden Mohd. Nor Daud berkata, turut ditahan daripada pasangan suami isteri dan anak mereka itu adalah dadah jenis ganja dan heroin bernilai RM53,265.

    Menurut beliau, suspek pertama iaitu lelaki berusia 49 tahun yang juga disyaki dalang sindiket itu ditahan dalam serbuan pukul 9 pagi di sebuah kawasan taman permainan di Bukit Mertajam yang mana polis merampas satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.20 gram bernilai RM550.

    Berdasarkan maklumat daripada suspek, ujar beliau, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari situ dan menangkap isteri serta anak lelaki suspek masing-masing berusia 53 dan 23 tahun.

    “Siasatan lanjut kemudian menjumpai empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 1,363 gram bernilai RM20,650 selain 18 peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,209 gram bernilai RM32,065,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT hari ini.

    Mengulas lanjut, kata Mohd. Nor, si bapa yang bekerja sebagai buruh mempunyai lapan rekod kesalahan dadah dan satu rekod berkaitan jenayah.

    Sementara itu, anaknya yang merupakan penganggur mempunyai dua rekod berkaitan dadah manakala isterinya yang juga suri rumah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Ujar beliau, ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan jika tidak dihukum mati.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu dengan menyita dua buah motosikal yang masing-masing berharga RM2,500 dan RM3,500 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM59,265,” katanya.