Tag: harimau

  • Harimau berkeliaran, Perhilitan terima tiga aduan penduduk di Jeli

    Harimau berkeliaran, Perhilitan terima tiga aduan penduduk di Jeli

    TIGA aduan mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Kampung Baru Malaysia dekat Jeli diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sejak seminggu lalu.

    Ia dipercayai datang sama ada dari kawasan hutan Sungai Sator atau Jedok dan membaham seekor kambing ternakan penduduk.

    Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan pertama diterima pada 3 Ogos lalu namun tidak dapat dipastikan spesis sama ada harimau kumbang atau belang.

    Menurutnya, aduan kedua pula diterima keesokan harinya iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi aduan pertama.

    “Aduan terbaru pula diterima pagi semalam yang dibuat seorang penduduk yang memaklumkan kambingnya dibaham harimau pada malam Isnin lalu.

    “Semasa siasatan dibuat pagi semalam, pihak kami menjumpai kulit kambing yang tersisa dalam kebun getah belakang rumah jiran pengadu dan kami mengesyaki ia angkara harimau sama yang berkeliaran di lokasi dua aduan terdahulu,” katanya dipetik Harian Metro.

    Mohamad Hafid berkata, susulan itu pihaknya memasang perangkap yang dinamakan ‘Perangkap Wahab’ dengan meletakkan umpan seekor kambing namun setakat ini masih belum berhasil menangkap haiwan itu.

    Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa sentiasa dibuat sama ada di lokasi pemasangan perangkap atau kawasan sekitar.

    “Kita juga menjalankan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi kami sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau,” katanya.

  • Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    TIADA keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

    “Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

    “Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Jan lepas.

    Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.

    Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Mohd Amar berkata, pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).

    “Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

    “Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya. – BERNAMA

  • Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    KERAJAAN negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

    Beliau berkata, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

    “Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

    “Mahu siasat dan mencari sebab berlaku itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar, bagi saya itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai dakwaan Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, mengenai tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai berlaku disebabkan tindakan Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan dan sebagainya.

    Media semalam melaporkan Nasir turut menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri yang menggesa kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua.

    “Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memberitahu kadang-kadang apabila harimau sudah tua ia tidak mampu nak mengejar haiwan sebagai mangsa, jadi yang paling mudah adalah manusia sebab manusia lari pun tidak laju bukan seperti haiwan.

    “Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya.

    Katanya, setakat ini juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. — BERNAMA

  • 15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak tampil membantu Perhilitan Kelantan bagi menjejaki harimau di Pos Bihai, Gua Musang.

    Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hampir 15 anggota daripada jabatan berkenaan turun ke penempatan yang diduduki oleh hampir 100 penduduk Orang Asli itu bagi melakukan operasi menjejaki dan memantau harimau sejak Ahad lepas.

    Beliau berkata, tindakan dilakukan susulan kejadian seorang masyarakat Orang Asli suku Temiar yang maut dibaham harimau pada Jumaat lepas di Kampung Sau, Pos Bihai.

    “Kita dapatkan tambahan anggota daripada Perhilitan Ibu Pejabat dan NWRC Sungkai untuk membantu dalam operasi menjejaki harimau di Pos Bihai selain tiga perangkap harimau dan tiga perangkap kamera telah dipasang.

    “Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan berapa ekor harimau yang masih ada mahupun sebaliknya memandangkan tiada imej harimau yang ditangkap menerusi kamera yang telah dipasang” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, usaha menangkap harimau agak sukar selain kebiasaannya akan mengambil tempoh yang agak lama berbanding hidupan liar lain terutama membabitkan harimau yang agresif.

    “Tangkapan hidupan liar tidaklah semudah seperti yang disangkakan memandangkan hidupan liar ini bergerak dalam skala yang luas terutama harimau dan gajah.

    “Selain itu, pihak kami juga dalam pertimbangan untuk memohon bantuan perangkap harimau daripada negeri lain untuk ditambah di lokasi-lokasi sekitar bagi mempercepat operasi ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

    “Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim telah tampil menghulurkan bantuan bakul makanan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

    Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kejam! Anjing disembur cat seperti harimau

    [VIDEO] Kejam! Anjing disembur cat seperti harimau

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Masih ada insan yang dikesan sanggup melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan dengan pelbagai cara.

    Tanpa diketahui tujuan mereka berbuat demikian sama ada untuk kepuasan diri atau sekadar suka melihat haiwan terseksa, perbuatan kejam seumpama itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab.

    Terkini, seekor anjing yang disembur cat mirip harimau ditemukan mati dan terbiar di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya, di Kulim, Kedah baru-baru ini.

    Penemuan bangkai anjing itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun apliksasi TikTok dalam rakaman video yang berdurasi 39 saat.

    Individu terbabit mendakwa dia dalam perjalanan pulang dan memaklumkan tidak menyangka masih ada lagi ada harimau di kawasan perumahan.

    Pemilik akaun TikTok itu juga mendakwa yang anjing terbabit adalah anak harimau dan bernasib malang kerana mati selepas dilanggar.

    Malah, dia sempat berpesan kepada penduduk supaya berhati-hati kerana kononnya bangkai anjing berkenaan adalah harimau belang yang berkeliaran di kawasan perumahan itu.

    Tidak dapat dipastikan sama ada badan anjing terbabit disembur ketika ia masih hidup atau sudah mati.

    Selain itu, foto tiga anjing dengan badan seekor daripadanya disembur cat mirip harimau turut tular dalam media sosial.

    Sumber: YouTube

    Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada anjing yang disembur cat itu adalah haiwan sama yang video bangkainya dimuat naik pemilik akaun TikTok terbabit.

    Setakat ini, motif individu yang menyembur cat pada badan haiwan terbabit masih belum diketahui namun tindakan itu mengundang kecaman warganet di media sosial.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes terbabit semalam dan mendapati haiwan yang didakwa harimau itu adalah palsu.

    “Kakitangan Perhilitan yang membuat pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan sebenarnya adalah anjing yang disembur cat dan kelihatan mirip harimau.

    “Kita tidak pasti motif sebenar individu yang sanggup berbuat demikian terhadap anjing terbabit dan kejadian sebegini memang amat dikesali,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.