Tag: Hari Wartawan Nasional

  • Profesion kewartawanan harus bebas demi kebebasan bersuara

    Profesion kewartawanan harus bebas demi kebebasan bersuara

    PROFESION kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, malah ada antaranya dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti penyaluran bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

    ”Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia.

    “Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka hari ini.

    Turut hadir pada sambutan HAWANA tahun ini yang bertemakan “Suara Jelata, Aspirasi Negara” adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

    Hadir sama pemimpin media utama dari Indonesia terdiri daripada Pemimpin Redaksi atau Ketua Pengarang serta pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Indonesia.

    Perdana Menteri mengakui golongan wartawan melaksanakan fungsi media sebagai estet keempat bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan agenda pembangunan negara.

    “Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan termasuk teguran bernas dan berasas supaya kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat dan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, wartawan dianggap sebagai golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

    “Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media,” katanya.

    Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana meneruskan inisiatif menggerakkan usaha penganjuran HAWANA 2022 dengan sokongan organisasi-organisasi media di negara ini.

    Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada ISWAMI bagi membolehkan ia melaksanakan aktiviti-aktiviti mengukuhkan hubungan media antara Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain yang sudah terjalin sejak sekian lama.

    “Diharapkan dengan peruntukan ini, ISWAMI dapat merancang program kerjasama media kedua-dua negara seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar yang berupaya meningkatkan ilmu para pengamal media selain menjadi jambatan dalam isu-isu berkepentingan bersama. Kalau tak cukup, boleh minta lagi,” katanya.

    Perdana Menteri turut menyarankan supaya media Malaysia-Indonesia memainkan peranan yang lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

    Beliau juga menyarankan konsep ISWAMI diperkembangkan merentasi negara anggota ASEAN untuk mengeratkan hubungan wartawan antara negara terlibat, selain membantu menggalakkan promosi mengenai Malaysia secara meluas seterusnya menarik lebih ramai pelancong serta pelabur luar ke negara ini menerusi laporan berita dan penulisan rencana. – BERNAMA

  • Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.

    Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan serta pengamal media dalam menjalankan tugas.

    Ini termasuk menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat, terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

    “Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” menurut catatan itu hari ini.

    Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

    “Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” menurut catatan itu.

    Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

    “Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” menurut catatan itu.

    Sambutan kemuncak HAWANA 2022 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini petang ini.

    Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.

    Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

    Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – BERNAMA