Tag: Hari Sukan Negara

  • Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya Sabtu lalu tanpa protokol atau sambutan rasmi yang menjadi sebahagian daripada aktivitinya sepanjang berada dalam kementerian.

    Beliau melawat sekolah tersebut bertujuan untuk bersama-sama para pelajar GENIUS Negara dan GENIUS Kurnia menyertai program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

    “Meriah program tadi dengan kehadiran murid dan ibu bapa. Bukan anak-anak sahaja yang gembira dan seronok menyertai aktiviti yang disediakan, ibu bapa pun saya nampak begitu teruja menyertai pertandingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

    ANTARA pelajar yang terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di SK Putrajaya Presint 17(1).Gambar FB Radzi Jidin

    Beliau berkata, mereka mewakili pasukan adiwira Superman, Ninja Turtle, Bumblebee & Captain America.

    “Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.

    “Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa,” tambahnya.

    Katanya, pentadbir sekolah dan guru juga tidak perlu membuat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa dan apa yang penting beliau dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sesebuah sekolah.

    “Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.

    “Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya.

  • Vaksinasi Orang Asli sudah capai 67 peratus

    Vaksinasi Orang Asli sudah capai 67 peratus

    PROGRAM vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.

    “Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai caralah.

    “Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), kita ada bas MARA Liner, kita tukar bas MARA Liner tu jadi macam PPV bergerak,” katanya.

    Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau menambah, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.

    Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin serta membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

    Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir November tahun ini.

    “Insya-Allah kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali.”

    Ditanya mengenai adakah 56,639 Orang Asli yang belum divaksin itu menolak untuk divaksin, beliau berkata, masyarakat Orang Asli menerima baik Program Vaksinasi Kebangsaan.

    “Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang Yang Berhormat Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter,” jelasnya.

    Mengenai bekalan vaksin pula, Mahdzir berkata, bekalan untuk keseluruhan Orang Asli yang layak divaksin sudah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki.

    Sementara itu, beliau menyeru masyarakat luar bandar agar meraikan sambutan Hari Sukan Negara setiap tahun dengan aktif bersukan setiap masa.

    “Ayuh seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga luar bandar dan keluarga KPLB, kita laksanakan aktiviti riadah hari ini dan teruskan bersukan pada hari-hari akan datang bagi membudayakan gaya hidup sihat,” katanya dalam ucapan.

  • Impak Olimpik, Paralimpik 2020 membanggakan Malaysia

    Impak Olimpik, Paralimpik 2020 membanggakan Malaysia

    TEMASYA Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah memberi impak yang sangat membanggakan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini.

    Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia merangkul pingat perak dan gangsa, manakala pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, Malaysia meraih lima pingat yang tiga daripadanya pingat emas dan dua perak.

    Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih pingat perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

    Sukan Paralimpik Tokyo pula menyaksikan tiga pingat emas diraih melalui Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20, Cheah Liek Hou dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 dan menerusi jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

    Pingat perak Paralimpik diperoleh menerusi Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

    “Marilah kita memberikan penghormatan kepada mereka yang telah menumpahkan bakti dan jasa kepada negara,” kata Ismail Sabri.

    Perdana Menteri berkata pencapaian dalam kedua-dua temasya itu adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing.

    “Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet, termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat,” katanya. – BERNAMA

  • Sambutan Hari Sukan Negara 2021 penuh makna

    Sambutan Hari Sukan Negara 2021 penuh makna

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada tahun ini penuh makna setelah setahun tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19.

    Merasmikan HSN 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya adalah untuk meraikan usaha dan kejayaan dalam membudayakan sukan dan riadah seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

    Menurutnya, sejak Hari Sukan Negara mula disambut pada 2015, negara telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai agenda nasional dalam melahirkan rakyat yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sebagai individu yang pernah menjawat portfolio Menteri Belia dan Sukan, saya faham betapa sambutan sebegini memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak,” katanya yang merakamkan ucapan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berusaha memastikan acara hari ini disambut serentak di seluruh negara.

    Sempena HSN 2021, KBS merancang beberapa program ikonik di peringkat kebangsaan antaranya Mega Aerobic Challenge dan Virtual Run.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik COVID-19 apabila aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas.

    Menurutnya, sebanyak 1,968 perniagaan berkaitan sukan difahamkan terpaksa menamatkan operasi pada tahun lepas kerana kekurangan modal pusingan dan tidak dapat menampung kos operasi.

    Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta tenaga pengajar sukan.

    “Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

    Menurut Perdana Menteri, bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai lepas (2021) telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID19.

    Ismail Sabri berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (atau PPN) adalah merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor itu dapat beroperasi semula.

    Beliau berkata, pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 Sept lepas telah merancakkan kembali aktiviti berkenaan dengan pematuhan SOP yang ketat.

    Beliau dimaklumkan dalam tempoh sebulan selepas keizinan itu diberikan, jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan telah melebihi 1.4 juta orang, melibatkan aktiviti yang bermanfaat termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

    Ismail Sabri turut mengajak rakyat Malaysia menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

    smail Sabri Yaakob turut bersukan sempena HSN 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di perkarangan KBS.

    Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.

    Ismail Sabri turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketika mencuba aktiviti sukan bola jaring.

    Terdahulu ketika berucap melancarkan HSN 2021 itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

    Perdana Menteri turut menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

    Beliau melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara. – BERNAMA