Tag: Hari Raya Aidilfitri

  • Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    OLEH: Adam Razak

    PERSIAPAN SAAT AKHIR…Esok umat Islam di negara ini bakal menyambut 1 Syawal selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

    Pastinya ramai sudah berada di kampung bagi menyambut lebaran bersama yang tersayang namun ada juga menggunakan kesempatan cuti umum tambahan untuk membuat persiapan di saat akhir.

    Kelihatan orang ramai memilih baju melayu bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tinjauan Warta Rakyat di sekitar Jalan Tuanku Abdul (TAR) dan Jalan Chow Kit mendapati, suasana masih lagi meriah dengan lokasi popular itu terus menjadi perhatian ramai.

    Meskipun cuaca semasa agak panas dan kering namun ia tidak membantutkan hasrat warga kota memenuhi kehendak serta keperluan mereka menjelang Syawal.

    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Di antara gerai jualan yang menjadi tumpuan adalah baju Melayu, tudung, aksesori wanita, gerai songkok dan kuih raya.

    Turut menjadi tumpuan adalah gerai inai, lokasi kegemaran kaum Hawa untuk ‘menghias’ tangan mereka supaya kelihatan menarik di Aidilfitri.

    Pada saat ini juga kelihatan para peniaga menawarkan potongan harga istimewa bagi menarik perhatian pembeli untuk menghabiskan stok-stok jualan mereka.

    Kelihatan seorang pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menghias tangan di gerai inai sempena menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai memenuhi sekitar Jalan TAR untuk membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan peniaga menyusun stok-stok kuih raya di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis tudung bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih aksesori wanita bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Walaupun ramai warga kota telah memulakan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, namun tidak kurang juga yang masih berada di ibu kota dan memilih saat akhir untuk berbelanja bagi persiapan Aidilfitri. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    POLIS menahan sebanyak 120 individu di seluruh negara kerana melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3,389,180.

    Rampasan itu bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu.

    Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk terhadap penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

  • Malam Tujuh Likur semakin dilupakan, ditelan zaman

    Malam Tujuh Likur semakin dilupakan, ditelan zaman

    guane

    RAMADAN 1444 Hijrah semakin menghampiri ke penghujungnya.

    Ini bermakna hanya beberapa hari sahaja lagi seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut hari raya Aidilfitri, iaitu hari yang paling dinantikan oleh kita semua.

    Sekarang kita sudah berada pada hari-hari kesepuluh dan esok pula iaitu 17 April merupakan hari ke 26 Ramadan.

    Ketika penulis di zaman kanak-kanak dahulu, setiap kali memasuki hari ke 20 Ramadan, masyarakat kampung turut memanggilnya dengan nama malam satu likur dan yang paling kemuncak dan meriah ialah pada malam tujuh likur.

    Pada malam tujuh likur, boleh dikatakan setiap kampung dan rumah ketika itu akan bertukar wajah.

    Rata-rata rumah penduduk yang sebelum itu kelihatan sunyi dan gelap gulita akan bertukar suasana menjadi riuh rendah serta terang benderang dilimpahi cahaya.

    Ini kerana, pada malam tersebut setiap penghuni rumah akan memasang pelita minyak tanah sama ada yang diperbuat daripada tin minuman atau batang buluh, buah kekabu dan juga tempurung kelapa.

    Selain itu, kanak-kanak juga akan bermain pelbagai bentuk tanglung yang diperbuat daripada kertas wau (layang-layang).

    Bagi masyarakat kampung, malam tujuh likur mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

    Selain malam ganjil yang dikaitkan dengan Lailatul qadar, ia turut dianggap sebagai malam kemuncak menjelang tiga hari sebelum menyambut hari raya Aidilfitri.

    Sebab itulah, ketika orang dewasa menumpukan amal ibadat di masjid dan surau-surau, anak-anak pula dengan riangnya melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan termasuk memasang Pelita di halaman dan sekeliling rumah.

    Penulis ketika itu baru berusia 7 tahun dan sewaktu menyambut malam tujuh likur penulis akan membawa pelita minyak tanah dan tanglung berjalan kaki ke kawasan kampung berdekatan bersama rakan-rakan sebaya.

    Aktiviti ini kadang-kadang berakhir sehingga lewat tengah malam.

    Bagaimanapun suasana tersebut semakin dilupakan oleh generasi sekarang dan ia dikatakan seakan ditelan zaman di mana yang tinggal hanyalah nostalgia.

    Anak-anak sekarang seakan sudah tidak mengenali kemeriahan malam tujuh likur, suatu malam penuh nostalgia warisan nenek moyang dahulu.

    Berdasarkan itulah, bagi mengembalikan nostalgia malam tujuh likur kepada generasi baharu, kerajaan negeri Terengganu telah mengadakan pertandingan Pelita Raya sejak beberapa tahun lalu.

    Pertandingan yang diadakan di kampung terpilih (secara bergilir) akhirnya diubah format ketika negara berada dalam perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 melanda negara.

    Sebelum PKP, pertandingan Pelita Raya memang menjadi cukup sinonim dengan penduduk di negeri ini setiap kali menjelang malam tujuh likur.

    Kali ini, kemeriahan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri itu diteruskan bermula 10 hingga 18 April ini.

    Acara yang menjadi produk pelancongan negeri diadakan bermula pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam.

    Acara dilangsungkan di Kampung Budaya Kompleks Muzium Negeri dengan melibatkan
    penyertaan daripada lapan daerah.

    Program kali ini menampilkan kelainan dengan pelbagai variasi pelita raya yang mungkin tidak pernah dilihat oleh generasi sekarang.

    Antaranya ialah Pelita Raya yang diperbuat daripada buah kekabu dan juga buah nyur (kelapa).

    Turut diadakan ialah gerai moreh, persembahan dan jualan makanan tradisional.

  • Penerbangan sehala KL-Tawau RM3,138, syarikat penerbangan dirayu tolong rakyat

    Penerbangan sehala KL-Tawau RM3,138, syarikat penerbangan dirayu tolong rakyat

    BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kecewa apabila harga tiket penerbangan untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini melambung mencecah lebih RM3,000 sehala.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, hasil semakannya mendapati harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini bagi kelas ekonomi menjangkau RM3,138.

    Tegasnya, harga tiket penerbangan yang mahal itu amat mengejutkan sekali gus mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam.

    “Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ini? Pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19!

    “Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan (grounded) seperti waktu pandemik,” katanya dalam ciapan di Twitter.

    Mengulas lanjut, Ka Siong menegaskan syarikat penerbangan tiada lagi alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan.

    Malah kata beliau, tiada lagi sekatan bebanan penumpang sebanyak 50 peratus semasa COVID-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi sebelum ini.

    Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.

    “Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pun sudah meluluskan banyak penerbangan sama seperti zaman pra COVID-19. Dijangkakan jawapan standard kerajaan adalah “dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana mekanisme harga dinamik.

    “Apa pun, tidak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard terbabit. Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat,” katanya.

    Ka Siong berkata, beliau juga pernah dikritik teruk ketika menjawat jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini kerana harga penerbangan yang melambung tinggi.

    “Tahun lalu ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April, tambang ketika itu melebihi RM1,000 kerana tak banyak pesawat boleh beroperasi, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.

    “Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi terbabit dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang,” katanya.

    Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik pada musim perayaan kerana ia mungkin menjejaskan industri pengangkutan udara.

    Sebaliknya, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

  • Kerlipan lampu LED penyeri suasana menjelang Aidilfitri

    Kerlipan lampu LED penyeri suasana menjelang Aidilfitri

    OLEH: Adam Razak

    KEMERIAHAN CAHAYA LED…..Malam tujuh likur sinonim dengan pemasangan pelita untuk memeriahkan baki 10 Ramadan terakhir.

    Namun begitu, peredaran zaman menyaksikan lampu LED mula menambat hati masyarakat sebagai hiasan utama dalam menyerikan sesebuah kediaman.

    Peniaga, Mohd Syarofi Ishak,37, memasang pelbagai jenis lampu raya LED yang dijual sempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri digerainya di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sudah tentu pada ketika ini penjual lampu hiasan tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan, dan perkara itulah yang berlaku kepada Mohd Syarofi Ishak, 37.

    Mohd Syarofi sudah berkecimpung dalam perniagaan ini hampir 20 tahun dengan membuka sebuah gerai di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

    Sebahagian daripada pengunjung tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis lampu raya LED yang dijual bagi persiapan menghias rumah bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. GAMBAR: Warta Rakyat

    Terdapat lebih 50 jenis lampu hiasan terdapat di gerai beliau dan antara menjadi pilihan adalah lampu jurai ketupat, lampu jurai net serta lampu 100 LED.

    Sambutan begitu menggalakkan terutama menjelang Aidilfitri sehingga hasil jualan boleh mencecah RM7,000 hanya pada satu malam.

    Lampu jurai ketupat , lampu jurai bulan dan bintang serta lampu jurai Net antara lampu yang menjadi pilihan orang ramai ketika berkunjung di gerai lampu hiasan LED milik Mohd Syarofi Ishak,37, di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Mohd Syarofi Ishak,37, (kiri) melayan orang ramai untuk memilih pelbagai jenis lampu raya LED yang dijual sempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri digerainya di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan seorang pengunjung bersama anaknya tertarik melihat pelbagai jenis lampu led menghiasi gerai milik Mohd Syarofi Ishak,37, di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Sebahagian daripada pengunjung tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis lampu raya LED yang dijual bagi persiapan menghias rumah bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. GAMBAR: Warta Rakyat
    Pembantu Kedai, Saat Mohamad,63, menyusun pelbagai jenis lampu-lampu hiasan Led yang dijual sempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Sebahagian daripada pengunjung tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis lampu raya LED yang dijual bagi persiapan menghias rumah bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMUNGKINAN untuk mencerap anak bulan pada hari Khamis depan bagi menandakan tarikh 1 Syawal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada keesokan harinya tipis, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Namun, beliau berkata, walau apa pun keputusannya, ia akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan kelak.

    “Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat. Kita mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.

    “Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena, hari ini.

    Justeru, Syeikh Fadzil menasihatkan umat Islam agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.

    Katanya, tindakan itu termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.

    Tambah beliau, umat Islam sebaliknya perlu fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.

    “10 malam Ramadan ini yang dinanti-nantikan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, Carilah nanti kedatangan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkat tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

    “Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipat gandakan amal ibadat kita namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.

    “Mungkin kerana sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan? Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipat gandakan amalan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UEA), baru-baru ini menjangkakan tarikh 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat bersamaan 21 April.

  • ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus menempelak netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.

    Ini berikutan kenyataan dibuat pihak tertentu sebelum ini mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.

    Berdasarkan perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

    “Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.

    “Nabi kata muliakan puasa jika nampak anak bulan Ramadan, mula berhari raya jika nampak anak bulan Syawal. Kamu siapa nak ulas-ulas? Ini masalah tidak sedar diri.

    “Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

    Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

    Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

    Sementara itu, Azhar mendakwa ramai netizen yang mahu tarikh hari raya ditetapkan awal bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi raya mengejut termasuk tidak sempat menyiapkan tempahan kuih raya.

    “Jadi raya selama ni kena tengok kuih kamu ke macam mana? Raya mengejut ini apabila nampak anak bulan.

    “Kalau tak nampak (anak bulan) tak mengejut, lusa raya,” katanya.