Tag: harga barang

  • Harga barang, kos sara hidup semakin menghimpit rakyat-Muhyiddin

    Harga barang, kos sara hidup semakin menghimpit rakyat-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan sekitar Pusat Komersial dan Pasar Malam Taman Melawati semalam.

    Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri itu tersentuh apabila orang ramai dan peniaga yang ditemuinya meluahkan masalah kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin menghimpit mereka.

    Berikut adalah entri yang dimuat naik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas melakukan lawatan berkenaan;

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Apa khabar semua?

    Semalam, saya meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan di sekitar Pusat Komersial dan Pasar Malam Taman Melawati, dua tempat tumpuan ramai penduduk di Hulu Kelang.

    Turut bersama saya ialah YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

    Terdahulu, kami singgah solat Asar di Masjid Al-Hidayah sebelum minum teh dengan pengunjung di Restoran Nasi Kandar Deen yang terletak di Pusat Komersial Taman Melawati.

    Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga di sebuah pasar malam di Hulu Kelang

    Saya dan Azmin mengambil kesempatan beramah mesra dengan para pengunjung yang kebanyakannya golongan muda yang singgah minum petang di situ.

    Mereka yang ditemui bercerita tentang kos sara hidup yang semakin menekan khususnya bagi golongan muda yang baru memasuki dunia pekerjaan atau alam berumahtangga.

    Sebahagiannya mengeluh mengenai harga barang keperluan asas yang naik mendadak dan secara diam-diam.

    Ada juga yang bercerita, mereka terpaksa membuat dua pekerjaan, satu kerja hakiki dan satu lagi kerja di luar waktu pejabat bagi menampung kos kehidupan.

    Muhyiddin mendengar rintihan peniaga yang mengeluh jualan dan pendapatan tidak serancak ketika zaman sebelum pandemik, malah bekalan seperti ayam juga sukar diperolehi sebagaimana biasa.

    Saya kagum dengan semangat mereka yang tidak berputus asa berjuang demi kelangsungan hidup keluarga.

    Saya dan Azmin kemudiannya singgah di pasar malam berdekatan yang menjadi tumpuan penduduk setempat membeli barangan dapur dalam perjalanan balik dari tempat kerja.

    Selain membeli barangan saya dan Azmin juga mengambil kesempatan bertanya khabar dengan para peniaga serta bagaimana aktiviti jualan harian mereka sebagai peniaga dan penjaja pasar malam.

    Hampir kesemua mereka mengeluh, jualan dan pendapatan tidak serancak ketika zaman sebelum pandemik, malah bekalan seperti ayam juga sukar diperolehi sebagaimana biasa.

    Muhyiddin bertemu orang ramai dan mendengar masalah mereka terutama berkaitan masalah kos sara hidup

    Para pembeli menurut mereka, membeli barangan perlu sahaja dan sangat berhati-hati berbelanja kerana hampir kesemua barangan keperluan naik harga.

    Para peniaga seperti mereka pula tidak boleh lagi menjual semurah dahulu kerana harga yang diperoleh daripada pembekal dan pemborong juga tinggi.

    Saya memahami situasi ini dan minta mereka bersabar dan terus berusaha meneruskan hidup dan pada masa yang sama berdoa agar keadaan ekonomi negara kembali pulih, insya-Allah.

  • Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 pada 1 Julai ini dikhuatiri masih tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan pendapatan rakyat, namun tidak berguna jika harga barang turut meningkat.

    “Justeru itu, apakah tindakan kerajaan agar perkara sama tidak berulang? Walaupun naik gaji minimum, tetapi harga barang semakin naik, jadi kuasa pembeli semakin berkurangan.

    “Apakah perancangan jangka masa panjang, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk kita mencari punca supaya perkara ini dapat diselesaikan, khususnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, situasi berkenaan diyakini dapat diselesaikan jika nilai mata wang Malaysia kembali meningkat dan stabil.

    “Apabila nilai mata wang meningkat, kita juga mengawal harga barang walaupun kita tidak boleh kawal semuanya,” katanya.

    Bagi jangka masa panjang pula, kata Fuziah, ia memerlukan peranan daripada kementerian-kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dalam inisiatif pendapatan rakyat.

  • Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa peniaga termasuk yang menjual makanan bermasak mengenakan harga munasabah selaras harga barangan asas yang kini semakin stabil hasil intervensi kerajaan.

    Memetik Harian Metro, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kenaikan harga barangan asas yang bersifat sementara sebelum ini tidak wajar diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga makanan secara kekal dan membebankan pengguna.

    Beliau berkata, penurunan harga makanan dilihat perlu dibuat selaras dengan harga barangan yang semakin stabil hasil intervensi dan langkah penyelesaian diambil kerajaan dalam mengatasi isu kenaikan harga bahan mentah sebelum ini.

    Katanya, harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan lain kini stabil menerusi pemberian subsidi dan penetapan harga siling, malah usaha kerajaan menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dengan menawarkan harga barangan sehingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran semasa turut memanfaatkan peniaga makanan.

    “Kita memandang serius isu ini yang mana sering kali berlaku apabila harga barangan mentah naik, harga makanan dinaikkan, tetapi apabila turun (bahan mentah), makanan bermasak yang dinaikkan harga sebelum itu tidak turun.

    “(Sebagai contoh), dahulu bila harga ayam naik, harga makanan pun naik daripada RM8 jadi RM12 tetapi sekarang harga ayam sudah turun tetapi kita perhatikan harga makanan tak turun.

    “Jadi ini masalah dan kita sentiasa memikirkan cara untuk atasi isu ini sebab kita tak boleh nak kawal harga makanan bermasak ini sebab ia bukan barang kawalan.

    “Dalam hal ini, ada pegawai kita yang sentiasa turun padang buat pemeriksaan, termasuk melakukan penyamaran untuk memantau isu berkaitan kepenggunaan termasuk membabitkan harga makanan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) Tahun 2022 di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu merangkap Penasihat PPSNT Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

    Rosol berkata, walaupun kerajaan tidak boleh mengawal harga makanan yang sudah dimasak tetapi tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) boleh diambil sekiranya terdapat aduan dan peniaga terbukti cuba mengaut untung berlebihan.

    Katanya, terdapat beberapa faktor diambil kira terhadap peniaga atau premis yang dilaporkan meletakkan harga yang tidak munasabah.

    “Jadi kita harap semua peniaga dapat terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.

    “Pengguna juga boleh mainkan peranan dengan salurkan aduan ke saluran rasmi KPDNHEP sekiranya ada peniaga didapati cuba mencatut,” katanya.

  • Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa para peniaga untuk tidak sesuka hati menaikkan harga barangan menjelang fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bermula 1 Mei.

    Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan aktiviti pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan terhadap mana-mana peniaga yang berbuat demikian.

    “Komuniti peniaga janganlah suka-suka naikkan harga susulan kenaikan gaji minimum dan pembukaan sempadan kerana aktiviti ekonomi akan lebih rancak,” katanya.

    Namun pada masa yang sama, Nanta memberi amaran tegas kepada peniaga sekiranya dikesan melakukan perkara tersebut, tindakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada termasuk kompaun akan dilaksanakan,

    “Kami akan membuat advokasi kepada pengguna supaya lebih mengetahui keadaan semasa dan turut melakukan langkah-langkah pencegahan dengan melarang dan memastikan peniaga tidak membuat tindakan tidak beretika seperti menaikkan harga dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Klang hari ini.

    Terdahulu Nanta menyaksikan sesi penyerahan sumbangan peralatan perubatan melibatkan dua unit N15 Patient Monitor bernilai RM100,000 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

    Nanta turut mengulas mengenai laporan media semalam, berkenaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengesan 63 syarikat menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar sebanyak RM200 juta.

    “Sebenarnya KPDNHEP sedar berlaku hal sebegini dan kami sentiasa memantau, mengesan serta menyiasat kes yang serupa ini dan apa yang dinyatakan LHDN adalah penemuan mereka mengenai keseluruhan kes berkenaan. Saya tak mahu nyatakan sekarang kerana akan biarkan pihak LHDN buat siasatan terlebih dahulu.

    “Saya difahamkan penguat kuasa (KPDNHEP) sudah berhubung dengan pihak LHDN dalam hal ini dan bersama mereka nanti, kami akan meneliti dan perincikan apa sebenarnya dan mengambil langkah wajar,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan diketuai BN gagal tangani kenaikan harga barang

    Kerajaan diketuai BN gagal tangani kenaikan harga barang

    RATA-RATA penduduk Johor mengeluh tentang masalah kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi sejak pemimpin Barisan Nasional (BN) kembali menerajui pentadbiran negara.

    Ayam, ikan, daging dan telur semuanya naik harga. Minyak masak bersubsidi dalam peket 1 kilogram pun semakin susah hendak cari.

    Harga makanan di restoran dan kedai makan juga naik melambung. Kalau dulu, mi goreng sepinggan biasanya dijual pada harga RM5. Sekarang sudah naik jadi RM6.50.

    Belanja beli barang dapur bagi keluarga yang mempunyai tiga orang anak pun antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Itu hanya untuk keperluan asas, belum campur barangan lain yang kadang-kadang mesti dibeli juga.

    Cuba bayangkan kalau ketua keluarga yang hanya menerima gaji minimum RM1,200 sebulan. Memang jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan sekeluarga, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

    Hendak minta naik gaji, memang susah juga sebab majikan terpaksa menanggung kos tambahan yang akhirnya akan dipindahkan kepada pelanggan atau pengguna. Harga barang atau perkhidmatan akan meningkat lagi.

    Walaupun selepas enam bulan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, pentadbirannya masih gagal menangani isu kenaikan harga barang yang sangat meresahkan rakyat termasuk di Johor.

    Sebagai parti yang telah memerintah negara selama 61 tahun sebelum kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN sepatutnya mampu mengambil langkah yang benar-benar berkesan bagi menangani isu kenaikan harga barang.

    Sekadar menghulurkan bakul makanan tidak mencukupi kerana rakyat marhaen juga ingin membeli bahan makanan yang segar di pasar.

    Takkanlah hari-hari kena menyuap sardin, bihun dan biskut kering sahaja. Lama-lama tekak pun jadi muak.

    Memandangkan BN yang mengetuai pentadbiran negara tidak mampu mengawal kenaikan harga barang, wajarlah pengundi di Johor memberi ‘peringatan’ kepada parti yang semakin hari semakin angkuh itu.

    Manfaatkan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik-baiknya untuk mengajar BN atas kelemahan mereka yang menyebabkan rakyat hidup menderita dalam keadaan serba kesempitan.

    Andainya peluang keemasan ini dipersia-siakan, BN akan menterjemahkan kemenangan di Johor sebagai petunjuk bahawa isu kenaikan harga barang yang melampau tidak menjejaskan sokongan terhadap parti yang didominasi kluster mahkamah itu.

  • Peniaga akur harga kawalan walaupun untung sedikit

    Peniaga akur harga kawalan walaupun untung sedikit

    KETIKA ramai pihak terutama pengguna melahirkan kegusaran mengenai kenaikan harga barangan basah, masih ada peniaga berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan meskipun hanya untung sedikit.

    Tinjauan Bernama di Pasar Pudu mendapati beberapa peniaga terpaksa menjual barangan basah di bawah harga kawalan kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia.

    Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputra Pasar Pudu, Abdul Rahim Ardi berkata, walaupun harga barangan basah terus meningkat, peniaga di Pasar Pudu masih berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan.

    “Saya sebagai pengerusi persatuan dan juga sebagai peniaga ayam di sini kami juga terpaksa menjual harga ayam dengan harga RM9.20 sekilogram kepada sesetengah pelanggan walaupun harga kawalan bagi ayam adalah RM9.50,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

    Tambahnya, majoriti peniaga di Pasar Pudu kesal kerana terpaksa menjual harga barangan lebih tinggi sedikit daripada biasa kerana peniaga juga perlu membayar kos-kos lain seperti beg plastik, sarung tangan dan juga membayar khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) di kawasan terbabit.

    Seorang peniaga sayur Thangni Ramasamy, 45, berkata, dia juga terpaksa untuk menjual harga sayuran dengan memberikan sedikit potongan harga kepada pelanggan tetap khususnya peniaga kedai makan.

    “Walaupun harga jualan sayur-sayuran meningkat seperti kacang panjang, terung bulat dan lain-lain, saya cuba untuk memberikan potongan harga kepada pelanggan tetap saya bagi menjaga hati mereka walaupun untung sekadar 50 sen hingga RM1 dan bagi saya itu sudah memadai,” katanya.

    Sementara itu, peniaga ikan Yusof Azmi, 33, berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa menjual ikannya tanpa potongan kepada pelanggannya kerana harga ikan yang dijual di situ sudah ditetapkan.

    “Kenaikan harga kali ini membuatkan saya tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan, kalau dahulu ikan keli yang kami jual adalah berharga RM5 sekilogram, kini harga ikan keli boleh mencapai RM8 sekilogram dan kalau kami cuba untuk turunkan harga walaupun sedikit kami yang menanggung rugi,” katanya.

    Seorang pembeli dan juga peniaga kedai makan, Vincent Lee, 56, berkata, walaupun dia mendapat harga murah kerana potongan harga sebagai pelanggan tetap namun menganggap perkara itu tidak adil kepada penjual. – BERNAMA

  • Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh dan berterusan bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kementerian memperkenalkan program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

    Beliau berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program itu di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara secara berperingkat.

    “Buat masa ini kementerian mencadangkan program ini dibuat dua kali sebulan, tapi ada permintaan supaya dibuat lebih kerap. Jualan Keluarga Malaysia ini adalah langkah jangka pendek supaya pengguna boleh pergi ke tempat seperti ini membeli dengan harga yang lebih kurang daripada pasaran yang dikatakan tinggi.

    “Kita juga perlu melihat bagaimana untuk menangani masalah ini (kenaikan harga) untuk jangka panjang. Kita risau juga kalau kita tidak ada perancangan yang lebih menjurus kepada penyelesaian jangka panjang takut ini (kenaikan harga) boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam temu bual program Selamat Pagi Malaysia di TV1 yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KPDNHEP hari ini.

    Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini, pada 5 petang ini.

    Mengulas lanjut, Nanta berkata kenaikan harga barangan dan makanan disebabkan beberapa faktor antaranya aktiviti perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mula beroperasi sepenuhnya selepas kelonggaran diberikan kerajaan yang menyebabkan permintaan barangan asas meningkat secara mendadak.

    “Begitu juga faktor keluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang yang kurang kerana lazimnya hujung tahun musim tengkujuh dan industri itu kekurangan tenaga buruh asing yang telah memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran untuk menampungnya.

    “Kita juga difahamkan ada sayur-sayuran yang diimport dari negara asing, tapi apabila diimport dari negara asalnya harganya sudah tinggi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Nanta berkata KPDNHEP mengalu-alukan individu yang kehilangan kerja atau perniagaan berikutan pandemik COVID-19 supaya menceburi industri francais.

    Beliau berkata potensi industri itu amat besar kerana berasaskan perniagaan yang sudah sedia ada dan mudah untuk memulakannya selain mempunyai pasaran yang luas.

    “…untuk membuka cawangan (francais) contohnya, kita (KPDNHEP) boleh bantu, kerana kita telah diberikan peruntukan dalam bajet untuk mengembangkan francais,” katanya. – BERNAMA

  • Banyak rantaian kaut untung berlebihan punca harga barang naik

    Banyak rantaian kaut untung berlebihan punca harga barang naik

    KENAIKAN harga barang yang berlaku di Malaysia ketika ini dikatakan berpunca daripada kewujudan terlalu banyak rantaian perniagaan untuk memperoleh keuntungan berlebihan.

    Memetik laporan Utusan TV, bagi menangani isu tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mencari jalan memerangi orang tengah supaya dapat mengurangkan harga.

    Menurut beliau, langkah itu pernah dilakukan sewaktu beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi program ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’.

    Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan kenaikan harga tidak disebabkan manipulasi peniaga.

    “Saya lihat tadi kenaikan harga juga berpunca kerana terlalu banyak rantaian untuk mengaut keuntungan. Sebagai contoh, harga ayam daripada penternak ke pasar ini, setiap rantaian ada kos hingga menyebabkan bila sampai ke sini harga dah pun jadi RM8.30.

    “Kita pun tak boleh salahkan peniaga di pasar kerana rantaian itu terlampau banyak sebab itu saya beritahu Ronald untuk lihat semula perangi orang tengah yang pernah saya lakukan dahulu supaya kita boleh potong rantaian itu bagi kurangkan harga.

    “Saya faham rakyat marah, memang betul. Saya tak salahkan rakyat kerana harga begitu tinggi tetapi kita akan lakukan sesuatu,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan harga barang di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, hari ini.

    Berhubung laporan harga ais dan roti yang dikatakan akan naik, Ismail Sabri berkata, harga ais tidak patut meningkat kerana tarif air dan elektrik kekal seperti biasa.

    Kata beliau, tiada alasan bagi pengusaha ais menaikkan harga.

    Bagi harga roti pula, Ismail Sabri mengakui kemungkinan kenaikan harga gandum yang diimport memberi kesan kepada peningkatan produk roti.

    Namun, beliau telah mengarahkan KPDNHEP untuk membuat kajian mendalam tentang peningkatan harga berkenaan.

    “Saya dah beritahu KPDNHEP bahawa kita tak mahu dengan alasan. KPDNHEP mesti buat kajian dari segi kenapa kos itu meningkat.

    “Sebagai contoh, berapa kos import, berapa harga di luar negara. Semua rantaian itu saya minta KPDNHEP buat kajian terperinci.

    “Rakyat kena tahu dan kita juga kena telus tentang perkara ini,” jelas beliau.